Monday, August 29, 2022

PRU-15: UMNO bakal terjun dalam lubang digali sendiri

agendaily.com
29/08/2022
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Rosol Wahid bertemu orang ramai selepas Majlis Penutup Jelajah Kepenggunaan KPDNHEP Kedah di Kolej Vokasional Langkawi, di Langkawi, semalam (29 Ogos 2022). - Gambar FB Rosol Wahid

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Datuk Rosol Wahid berpendapat UMNO akan terjun ke dalam lubang digali sendiri apabila mendesak Pilihan Raya Umum Ke-15 disegerakan.

Menurutnya parti itu tidak mungkin dapat berkuasa semula walaupun mendesak PRU dipercepatkan setelah berasa situasi sekarang adalah waktu terbaik untuk mereka menang.

“Tindakan itu sebenarnya ibarat terjun ke dalam lubang yang digali sendiri. Masih banyak masalah rakyat yang belum diselesaikan oleh kerajaan ketika ini dan tiada jaminan PRU-15 akan menyelesaikan semua perkara itu.

“Masalah-masalah ekonomi, harga barang belum selesai, Covid-19 pun sama. Kemudian isu buruh asing, memang banyak masalah. Jadi seolah-olahnya kalau buat (PRU-15) sekarang, saya rasa dia seolah-olah macam gali lubang, terjun sendiri.

“Tapi bagi orang yang ada agenda lain dikira ini masa terbaik. Walhal itu bukan terbaik pun. Mungkin lepas pada ini lebih teruk lagi. Tak ada orang tahu.

“Dia ada dua kemungkinan, mungkin lebih baik atau mungkin lebih teruk,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Jelajah Kepenggunaan KPDNHEP Kedah di Kolej Vokasional Langkawi, di Langkawi, semalam.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu berkata desakan UMNO supaya PRU dipercepatkan dipercayai dibuat untuk menyelesaikan isu yang dihadapi Kluster Mahkamah membabitkan pemimpin parti terbabit.

Bagaimanapun, Rosol yakin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob lebih memahami masalah yang dihadapi kerana mempunyai ‘bird’s eye view’ mengenai isu yang melanda negara.

“Pemimpin ini dia tengok macam bird’s eye view seperti burung. Dia tengok semua sekali di mana ada lurah, di mana ada bukit, di mana ada lembah dan sebagainya dia tahu.

“Orang lain (hanya) tengok ke atas, jadi tak tahu masalah,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-