Sunday, August 7, 2022

Saya bukan menteri pertahanan ketika kontrak LCS diberikan, kata Zahid

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-August 7, 2022 11:47 AM

Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan laporan audit PAC, kontrak LCS dianugerahkan kepada Boustead Naval Shipyard mengikut garis panduan permohonan perolehan secara rundingan terus.

PETALING JAYA: Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak patut dipersalahkan atas kegagalan projek kapal tempur pesisir (LCS) kerana beliau bukan menteri pertahanan ketika kontrak itu dianugerahkan.

Katanya, kontrak itu diberikan pada 2014, setahun selepas tempoh perkhidmatannya sebagai menteri pertahanan berakhir.

“Saya memegang jawatan sebagai menteri pertahanan dari April 2009 hingga Mei 2013.

“Jadi, mana-mana pihak yang menyebabkan kelewatan pembinaannya haruslah bertanggungjawab memberikan penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“(Ia bagi) menyokong penuh pendedahan kelewatan ini,” katanya menurut laporan MalaysiaGazette.

Khamis lalu, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, Kementerian Pertahanan (Kementah) dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak menghiraukan pandangan tentera laut mengenai projek LCS.

Beliau berkata, pada asalnya, kapal model Sigma yang dipilih tentera laut telah diluluskan Kementah, tetapi ia ditukar kepada model Gowind pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS pada 8 Julai 2011.

Katanya, tiada sebuah pun LCS diserahkan kepada kerajaan sehingga kini, walaupun RM6.08 bilion sudah dibayar kepada BNS yang mendapat projek itu secara rundingan terus. Mengikut jadual asal, BNS sepatutnya menyerahkan lima unit LCS sejak 2013 hingga bulan ini.

Zahid antara pegawai tertinggi yang dipanggil PAC kerana beliau merupakan menteri pertahanan pada 2011.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, berdasarkan laporan audit PAC, kontrak LCS dianugerahkan kepada BNS mengikut garis panduan permohonan perolehan secara rundingan terus.

“Secara jelas, ia tiada kaitan dengan saya, malah LTAT (Lembaga Tabung Angkatan Tentera) sendiri menjadi pemegang saham terbesar dalam syarikat pembinaan LCS itu.”

Tetapi katanya, beliau sedia memberi keterangan mahupun penjelasan kepada PAC bagi melengkapkan prosiding itu dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-