Saturday, August 20, 2022

Selamatkan negara daripada pengkhianat, penipu: Hadi Awang

agendaily.com
20/08/2022
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mengajak rakyat Malaysia menyelamatkan negara daripada pengkhianat dan penipu, serta golongan yang terlibat dengan rasuah.

Menurutnya banyak laporan yang menyenaraikan mereka yang telah dihukum menerima rasuah, termasuk mereka yang masih dibicarakan di mahkamah.

“Ada juga kalangan mereka yang nasibnya menjadi kambing hitam yang disembelih menjadi korban atau yang menjadi proksi kepada penyangak yang sebenarnya bersembunyi melakukan rasuah yang lebih besar jumlahnya sehingga berlipat kali ganda.

“Dalam kalangan yang memberi rasuah itu pula tidak kelihatan, mungkin senarainya lebih panjang dan jumlahnya lebih ramai. Malah, ada yang terlibat dengan projek yang dinamakan ‘Ali Baba’ bersama penyamun hasil negara yang dicuri atau dibocorkan.

“Pada masa sama, mereka juga pelaksana projek yang gagal atau runtuh setelah selesai dibina. Termasuklah bertindak membocorkan peruntukan sehingga tidak sampai ke sasarannya, khususnya kepada rakyat yang menderita kemiskinan yang tidak dapat diselesaikan dan sentiasa bertambah jumlahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini tanpa merujuk kepada mana-mana pihak.

Ahli Parlimen Marang itu turut mengingatkan mengenai kalangan pembiaya politik wang yang mengangkat sesiapa sahaja yang tidak layak menjadi pemimpin kerana jahil dan fasik.

“Selain itu, ada dalam kalangan yang membiayai politik wang bagi mengangkat sesiapa yang tidak layak menjadi pemimpin kerana jahil atau fasiq. Oleh yang demikian, disebabkan pemimpin sedemikian rupa boleh dipergunakan selepasnya, amalan khianat yang paling bahaya kerana menjadi sumber segala penyelewengan dan kezaliman,” katanya lagi.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga mengingatkan bahawa sifat integriti hanya terdapat pada kalangan mereka yang beriman dan budiman, bukan sekadar mempunyai ilmu sahaja.

Oleh itu, Abdul Hadi berkata sepatutnya semua golongan yang terlibat dengan rasuah mestilah dihapuskan.

“Saya pernah membuat satu perbandingan melawan rasuah dengan usaha mencegah penyakit denggi. Hal ini disebabkan mencegah denggi bukan sekadar merawat pesakit dan membunuh nyamuknya, tetapi hendaklah juga bertindak terhadap takungan air yang membiakkan nyamuk. Pada masa yang sama, bertindak terhadap manusia yang tidak menjaga kebersihan.

“Begitulah juga dengan usaha menangani penyakit rasuah, ia wajib dilakukan secara holistik supaya tidak menjadi wabak apabila diambil tindakan yang tidak menyeluruh sehingga ke akar umbinya. Khususnya, terhadap mereka yang menjadi punca rasuah kerana mengejar harta secara haram;

“Sehinggakan, dalam kalangan mereka itulah yang menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman. Malah, mereka juga golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan bumiputera,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-