Wednesday, September 7, 2022

“Rampasan Rembau” simptom budaya rakus Umno

bebasnews.my
By Editor
-07/09/2022
Khairy Jamaluddin - Foto via Blogspot com
Oleh Shahril Abdul Ghani

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin telah mengesahkan akan mengosongkan kerusi Parlimen Rembau yang disandangnya bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan pada pilihan raya umum akan datang.

Perkara ini tidak mengejutkan kerana khabar angin itu telah tersebar sejak sekian lama. Timbalan presiden Umno dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan telah lama mengidamkan platform Parlimen. Oleh sebab, beliau juga ketua bahagian Umno Rembau, maka Mohamad Hasan, seperti “warlord” Umno lain, pun “merampas” kerusi Parlimen tersebut.

Sepatutnya, pembahagian kerusi Umno adalah urusan dalaman parti dan tidak melibatkan kepentingan orang ramai. Namun, “Rampasan Rembau” jelas menunjukkan pemimpin Umno masih mabuk kuasa, bukan mahu berkuasa untuk membela rakyat.

Realitinya, Khairy, atau lebih dikenali sebagai KJ, telah menghembuskan nafas baharu ke dalam parti yang lebih dikenali dengan unsur-unsur rasuah, kronisme dan nepotisme.

Apabila Khairy, seorang lepasan Universiti Oxford, menceburkan diri dalam politik, beliau telah memberikan harapan besar kepada rakyat Malaysia yang dahagakan peremajaan Umno, sebuah parti yang paling berpengaruh di negara ini.

Setakat ini, Khairy tidak mengecewakan. Daripada kejayaan besar Sukan SEA 2017 sebagai Menteri Belia dan Sukan kepada pelaksanaan Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi kepada cadangan undang-undang Generational End Game sebagai Menteri Kesihatan, KJ telah menangkap imaginasi orang ramai.

Bintangnya yang bersinar itu juga dilihat sebagai ancaman oleh sesetengah puak dalam Umno. Dengan pilihan raya umum ke-15 dijangka dalam beberapa minggu sahaja lagi, Khairy pula sekarang terkial-kial mencari kerusi baharu untuk ditandingi, walaupun telah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Rembau sejak 2008.

Dalam erti kata lain, Khairy, yang pernah menerima latihan payung terjun tentera pada masa lalu, kini akan menjadi “ahli politik payung terjun” di kerusi di mana beliau terpaksa bergelut dengan “warlord” tempatan Umno dan membina semula rangkaian akar umbi untuk tujuan pilihanraya dalam beberapa bulan sahaja lagi.

Dengan keadaan politik negara yang tidak menentu sekarang dan kerusi selamat Umno dipaut erat oleh penyandang atau “warlord” setempat, ada kemungkinan KJ tidak akan menjadi Ahli Parlimen selepas pilihan raya akan datang, sama ada kerana tiada pemimpin itu mahu memberi laluan atau dia kalah di kerusi berisiko.

Maka Malaysia akan kehilangan seorang pemimpin yang berkebolehan yang boleh mengangkat partinya dan negara keluar dari kemelut semasa. Soalnya adakah pucuk pimpinan Umno kisah?


Kenyataan Mohamad Hasan beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dan turut bertanding kerusi Parlimen dikatakan jelas memperlihatkan cita-cita pemimpin Umno nombor 2 menjadi PM ke-10, ketika Presiden Parti Datuk Seri Zahid Hamidi berdepan pelbagai pertuduhan rasuah .

Sebagai timbalan presiden, bukankah Mohamad Hasan yang sepatutnya menjadi calon payung terjun dan bukannya mengorbankan KJ?

Tetapi begitulah cara Umno. Penyingkiran KJ dari Rembau jelas menunjukkan bahawa Umno, walaupun mengalami kekalahannya yang teruk pada tahun 2018, sukar untuk membuang tabiatnya yang lama.

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

BebasNews

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-