Wednesday, September 14, 2022

Spekulasi dua kerusi Parlimen untuk Khairy pilih bertanding

agendaily.com
14/09/2022
Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Selepas diminta memberi laluan kepada Ketua Bahagian untuk bertanding di kerusi Parlimen Rembau, spekulasi mengatakan terdapat dua kerusi Parlimen diberikan kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk dipilih pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Menteri Kesihatan itu sebelum ini mendedahkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memintanya untuk mengosongkan kerusi Rembau dan Khairy yang juga penyandang kerusi itu sejak 2008 juga mengumumkan kesediaannya untuk memberi laluan kepada bosnya yang juga Ketua Bahagian disitu.

Difahamkan, berkemungkinan Mohamad juga sedang mengintai peluangnya untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi PRU-15 nanti.

Bagaimanapun, selepas pengumuman Khairy untuk memberi laluan kepada calon baharu di Rembau, UMNO dikatakan bakal memberi kerusi Parlimen baharu kepada Khairy untuk bertanding nanti dan antaranya Alor Setar dan Port Dickson.

Menurut laporan Utusan Malaysia, gerak kerja bagi mengukuhkan posisi sedang diatur oleh jentera UMNO di peringkat Bahagian Port Dickson.

“Sah atau tidak Khairy ke Port Dickson? Confirm. Dia sudah suruh Ketua UMNO Port Dickson, Mohd. Faizal Ramli dan timbalan, Datuk Abdul Rahman Redza buat kerja,” menurut laporan tersebut yang memetik sumber tidak dinamakan.

Katanya, strategi itu pada peringkat awal tidak dihebohkan kerana tidak mahu disabotaj pihak lawan.

Kerusi Parlimen Port Dickson kini disandang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, sumber UMNO mendakwa kepimpinan tertinggi parti tiada masalah dengan percaturan Khairy untuk bertanding di Parlimen Port Dickson.

Malah dakwanya, strategi itu lebih baik berbanding menyerahkan kerusi tersebut kepada komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MIC.

Dalam laporan sama juga, Khairy juga dikatakan mungkin akan diletak di kerusi Parlimen Alor Setar pada PRU-15 nanti juga.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Zambri Mat memaklumkan, memang terdapat ura-ura untuk mencalonkan Menteri Kesihatan itu di Parlimen Alor Setar pada PRU-15.

“Dalam mesyuarat UMNO Cawangan, keseluruhan usul mahu Datuk Mohd. Yusof Ismail (Ketua UMNO Bahagian Alor Setar) bertanding di Parlimen Alor Setar, tempat MCA yang kalah dua penggal.

“Juga dibincangkan kemungkinan membawa Khairy bertanding di Parlimen Alor Setar. Ingatkan sulit kami berdua sahaja tahu.

“Rupanya semasa mesyuarat bersama beberapa agensi di bawah Majlis Perundingan Usahawan yang dihadiri hampir 30 orang, Datuk Mohd. Yusof ‘berjiwa besar’ memaklumkan kepada pegawai pejabat kesihatan daerah agar bersedia kerana Menteri nak bertanding di Parlimen Alor Setar,” katanya dalam kemas kini status di Facebook miliknya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-