malaysiakini.com
Raveena NagotraDiterbitkan: Oct 26, 2022 9:20 AM
Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim mendakwa Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyedari bahawa DAP bukan pro-komunis.
Bercakap pada majlis jelajah mega PH di Alor Gajah, Melaka, malam semalam, katanya, atas sebab itu, perjanjian yang ditandatangani bersama oleh pemimpin Pakatan Rakyat menjunjung hak Melayu dan status Islam sebagai agama rasmi.

“Mengapa saya pilih mempertahankan DAP? Kerana saya tahu pertuduhan itu tidak benar. Dia (Hadi) pun tahu dia kata ada unsur (pengaruh) dalam PH yang nak tukar perlembagaan - tolak Raja-raja Melayu, tolak Islam dan Perlembagaan Persekutuan.
“Ustaz Hadi tahu (tuduhan itu tidak benar)... pada tahun 2008 dia, Kit Siang dan saya tandatangan surat dokumen (menegakkan) Islam sebagai agama persekutuan.
“Bahasa Melayu (sebagai) bahasa kebangsaan. Sign (tandatangan). Hak Islam, Melayu dan bumiputra. Sign. Kedudukan Raja-raja Melayu. Sign. Dia yang sign (tandatangan) dia tengok dan kita bincang isi tetapi masih lagi dia fitnah,” kata Anwar.

Bagaimanapun, isu agama akhirnya menyaksikan perbezaan di antara pemimpin konservatif Islam PAS dan pemimpin sekular DAP semakin melebar jurangnya.
PAS memutuskan pada muktamar parti itu pada Jun 2015 untuk memutuskan hubungan dengan DAP, dan ini mengakibatkan kematian Pakatan Rakyat. Pakatan Harapan kemudian ditubuhkan pada tahun itu yang dianggotai oleh PKR, DAP dan parti serpihan PAS, Amanah.

Hadi berkata, sebarang usaha untuk menyemai fahaman komunis di Malaysia yang didakwa dipelopori DAP sebelum ini harus ditolak.
Antaranya, Hadi mengaitkan DAP dengan kepulangan abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng, yang tinggal dalam buangan di Thailand selepas PKM dibubarkan.

“Justeru, sebarang usaha untuk mengangkat atau membenihkan semula ideologi komunisme di tanah air kita seperti mana yang pernah dilaksanakan oleh DAP sebelum ini hendaklah dicegah dan ditentang habis-habisan,” kata Hadi.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, politik hari ini telah menjadi gelanggang maki hamun.
“(Bila) kita tak suka DAP, maka DAP (adalah) komunis. Masa DAP kawan kita, kita peluk ok.
“Kita tukar berkawan dengan Bersatu, Umno, maka DAP menjadi komunis. Kalau DAP (itu) komunis, maka tangkaplah (mereka) simpan tu buat apa.
Pemimpin PKR itu juga mengingatkan orang ramai bahawa Hadi juga pernah memfitnahkannya sebagai ahli Freemason kepada pemimpin Islam di seluruh dunia.
“Saya ini (dituduh sebagai) agen Yahudi Israel dan Freemason. Yang tuduhnya kawan saya Ustaz Hadi Awang,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar mengingatkan orang ramai supaya menilai keputusan mereka dengan betul dan tidak mudah terpedaya dengan tuduhan sedemikian.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.