Tuesday, October 18, 2022

BN akan putuskan kerjasama bentuk kerajaan selepas PRU

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 18, 2022 2:11 PM
BN akan menunggu selepas keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sebelum menentukan sama ada akan bekerjasama dengan mana-mana parti lain untuk membentuk kerajaan, kata perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob.

“Kita tunggu dulu keputusan. Lepas itu kita akan keluar keputusan selepas itu. Jadi kita seberang jambatan dulu, lepas itu baru kita buat keputusan.

“(Jika) Kita buat andaian terlalu awal pun kita tak tahu apa akan berlaku dalam pilihan raya nanti,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau menghadiri majlis perasmian mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Ismail Sabri berkata sebarang keputusan yang dibuat akan mengambil kira yang terbaik untuk negara.

“Yang pentingnya kita nakkan sebuah kerajaan yang stabil,” katanya.

Umno sebelum ini mencadangkan kepada PAS supaya bekerjasama pada PRU15 di bawah gabungan Muafakat Nasional (MN).

Bagaimanapun, PAS akhirnya memuktamadkan bahawa mereka tidak akan lagi mengadakan kerjasama pilihan raya dengan Umno, dan menuduh parti itu korup.

Ini secara rasminya menamatkan pakatan MN yang bermula pada September 2019.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-