Thursday, October 6, 2022

K’jaan lunas faedah hutang 1MDB berjumlah RM1.7 bilion tahun lalu

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 6, 2022 1:57 PM
Kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM1.7 bilion untuk melunaskan faedah pinjaman 1MDB tahun lalu, termasuk menggunakan lebih RM400 juta daripada peruntukan untuk pembangunan negara.

Ini menurut Laporan Ketua Audit Negara mengenai penyata kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2021.

“Pelunasan faedah pinjaman syarikat yang berjumlah RM1.7 bilion pada tahun 2021 adalah menggunakan peruntukan pembangunan berjumlah RM0.459 bilion dan Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (AAMKA) berjumlah RM1.241 bilion.

“Baki AAMKA pada 31 Disember 2021 adalah berjumlah RM15.281 bilion,” kata laporan itu.

Laporan Ketua Audit Negara dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini. Salinan laporan penuh juga disediakan di laman web jabatan.

Menurut laporan itu, jaminan kerajaan ke atas pinjaman 1MDB berjumlah RM32.073 bilion setakat 31 Disember tahun lalu.

Daripada jumlah itu, RM14.578 bilion prinsipal pinjaman akan matang tahun ini, RM12.495 bilion tahun depan, dan RM5 bilion lagi pada 2039.

“Komitmen bayaran faedah pinjaman sehingga tempoh matang dianggarkan sehingga RM1.705 bilion setahun,” kata laporan itu lagi.

Pada Ogos lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dilaporkan sebagai berkata kerajaan akan membayar faedah RM1.57 bilion untuk hutang 1MDB bagi tahun 2022.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-