Thursday, October 6, 2022

Zahid kata PM tak dihormati, tapi terlupa insiden ‘boo’ dalam dewan

agendaily.com
06/10/2022
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak dihormati walaupun menjadi ketua kerajaan dan mengkritik Menteri daripada parti lain yang memegang jawatan dalam Kabinet.

Presiden UMNO itu berkata kononnya Naib Presidennya itu diserang oleh ahli jemaah menteri lain, tetapi terlupa insiden ‘boo’ dan sorakan ‘bubar’ yang dilakukan ahli parti itu sendiri terhadap Ismail Sabri dalam perhimpunan raksasa yang diadakan sebelum ini.

Malah, Ismail Sabri juga sebelum ini dikecam oleh Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang melabelnya sebagai Perdana Menteri daripada UMNO yang paling lemah dalam sejarah negara kerana didakwa tidak boleh membuat keputusan atau menegaskan kuasanya.

“Tidak pernah seorang Perdana Menteri UMNO selemah ini dalam sejarah negara. Senario yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan ketika ini dilihat bercelaru dan mencerminkan kedudukannya yang lemah,” kata Nur Jazlan sebelum ini.

Malah, semasa taklimat khas yang diadakan Zahid pada 27 Ogos lalu selepas Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun, beberapa kali Ismail Sabri dihina dan diejek oleh ahli UMNO sendiri semasa program tersebut.

Sepanjang ucapannya semasa taklimat tersebut, setiap kali nama Ismail Sabri atau menerusi jawatannya – naib presiden UMNO – disebut, para perwakilan yang hadir dapat didengar memberikan sorakan ‘boo’.

Ketika itu, Ismail Sabri tidak hadir ke taklimat itu kerana menghadiri program lain di kawasan Parlimennya, Bera.

Dalam satu hantaran terbaharu Facebooknya hari ini, Zahid sekali lagi mengulangi Ismail Sabri perlu mengambil langkah membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

“Pentadbiran negara jadi bersimpang-siur dengan setiap parti politik dalam kerajaan mentadbir portfolio Kabinet masing-masing mengikut agenda dan fahaman sendiri.

“Negara dibawah pentadbiran kerajaan PN (Perikatan Nasional) disertai sebilangan wakil rakyat Barisan Nasional (BN), namun diketuai pemimpin politik bermuslihat menamatkan lawan politik bagi mengukuhkan kedudukan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Khamis.

Spekulasi bertiup kencang Ismail Sabri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini bagi memohon pembubaran Parlimen selepas mendapat mandat daripada UMNO untuk mempersembahkan cadangan PRU-15 diadakan segera.

UMNO juga dilihat membuat pelbagai persediaan sebagai isyarat PRU-15 akan diadakan pada masa terdekat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-