Saturday, October 1, 2022

Ku Li bidas keputusan UMNO mahu PRU-15 semasa banjir ikut nafsu semata-mata

agendaily.com
1/10/2022
Bekas Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO Tengku Razaleigh Hamzah.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan keputusan UMNO mahu juga mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) semasa musim banjir sebagai mengikut nafsu politik semata-mata.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata UMNO sepatutnya membuat keputusan menggunakan logik akal dan bukan semata-mata berlandaskan nafsu kerana nyawa rakyat lebih penting bukannya kepentingan untuk merebut kuasa sahaja patut jadi keutamaan.

“Keputusan (PRU15) seumpama ini saya rasa kita kena bertindak dengan logik dan dengan asas yang kuat, tak boleh kita ikut nafsu semata-mata,” katanya dipetik laporan.

Jelasnya, ketika bencana melanda negara perkara yang difikirkan rakyat adalah bagaimana cara mahu menyelamatkan diri dan bukannya lagi soal politik.

“Kita sendiri nak lari, nak selamatkan diri, macam mana nak adakan pilihan raya. Kita pun minta rakyat selamatkan diri, masa mana rakyat nak berfikir soal undi kalau rakyat terpaksa cari tempat tinggi, tempat selamat dan sebagainya,” katanya.

Selain itu beliau menegaskan tindakan mencalonkan pemimpin yang terbabit dengan kes mahkamah adalah tidak wajar kerana boleh menjejaskan imej parti.

“Itu boleh menunjukkan ahli tidak sayangkan parti, malah masih ramai muka-muka baharu yang boleh diketengahkan.

“Saya tiada kuasa nak menentu tetapi kalau kita pandang dari segi umumnya tak layak. Tak elok, itu menunjukkan kita tak sayang kepada parti.

“Kehadiran kita mungkin menjejas imej parti itu sendiri, jadi bahan ketawa orang, bahan percakapan orang, saya rasa kita ada ramai orang yang boleh dikemukakan,” katanya lagi.

Tengku Razaleigh juga tidak menolak UMNO bakal dihukum jika masih berdegil untuk terus mengadakan PRU-15 semasa musim tengkujuh.

“Kalau kita tak bersedia, kita seolah-olah nak cari maut. Jadi kita tak mahu menghadapi pilihan raya kalah dan jika kalah tahun ini, teruk kita.

“Kita tak mahu berlaku begitu pada parti kita. Ini parti harapan orang Melayu… apatah lagi orang Melayu sudah berpecah belah dengan banyak, jadi mana kekuatan kita,” katanya.

Terdahulu, Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam membuat pendirian Perdana Menteri akan mempersembahkan tarikh cadangan pembubaran Parlimen pada masa terdekat bagi memberi laluan PRU-15 tetap diadakan pada tahun ini juga.

Spekulasi mengatakan Parlimen berkemungkinan dibubar pada 10 atau 12 Oktober nanti selepas pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-