Saturday, October 1, 2022

PAS aktifkan jentera pilihan raya selepas UMNO desak PM bubar Parlimen

agendaily.com
1/10/2022
Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Jentera pilihan raya PAS diaktifkan dengan serta-merta susulan kenyataan UMNO semalam yang mendesak Perdana Menteri supaya mempersembahkan cadangan pembubaran Parlimen semalam.

Arahan semua jentera PAS mula melakukan persediaan dan persiapan secepat mungkin itu diumumkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagi berdepan sebarang kemungkinan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dijalankan pada masa terdekat.

“Sehubungan dengan itu juga semua pemimpin dan Ahli PAS dikehendaki menjaga serta mematuhi tanzim dan disiplin Parti dengan menerima segala ketetapan dan keputusan yang dibuat terutama oleh Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat atas dasar wala’ dan taat yang tidak berbelah bahagi.

“Sebarang kenyataan media tidak boleh dibuat melainkan dengan kebenaran Presiden PAS (Abdul Hadi Awang) bagi mengelakkan timbulnya suasana yang boleh merugikan perancangan dan perjuangan parti khususnya dalam menghadapi PRU15,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Semalam, Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan “pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU-15 diadakan pada tahun ini juga.”

“Berdasarkan keputusan (UMNO) ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan,” umum Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Bagaimanapun, DAP hari ini membidas kenyataan MT UMNO itu, mendakwa ia membelakangkan kuasa budi bicara Yang Di-Pertuan Agong dalam soal pembubaran Parlimen.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara bahawa kenyataan terbuka berkenaan pembubaran parlimen dikeluarkan sebelum pun Ismail Sabri menghadap untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Bukankah ini satu tindakan derhaka terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong,” soal Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-