Wednesday, October 5, 2022

Najib cabar keputusan Jabatan Penjara tolak permintaan ke Dewan Rakyat

freemalaysiatoday.com
Bernama
-October 5, 2022 8:15 PM
Najib Razak memohon perintah untuk membatalkan keputusan komisioner jeneral penjara tidak membenarkannya mengakses pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja Parlimen, perundangan dan pengundi kawasannya.

KUALA LUMPUR: Najib Razak memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara menolak permintaannya untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Bekas perdana menteri itu memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman melalui Tetuan Shafee & Co di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Najib, 69, menamakan kerajaan, menteri dalam negeri dan komisioner jeneral penjara sebagai responden.

Dalam permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden ketiga (komisioner jeneral penjara) yang tidak membenarkannya mengakses pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja Parlimen, perundangan dan pengundi kawasannya.

Najib juga memohon perintah untuk mengetepikan keputusan responden ketiga itu yang tidak membenarkannya ke Parlimen pada tarikh persidangan yang dijadualkan.

Beliau memohon pengisytiharan beliau berhak mendapat akses kepada pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja Parlimen, perundangan dan pengundi kawasannya serta memohon perintah mandamus kepada responden supaya mengambil segala langkah yang perlu bagi membolehkannya mendapat akses munasabah kepada pegawainya/pembantu bagi tujuan tersebut.

Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata, keputusan responden pertama dan ketiga menolak permohonannya atas alasan keselamatan disampaikan kepadanya melalui Pejabat Penjara Kajang pada 28 Sept dan beliau telah merayu terhadap keputusan itu kepada responden kedua pada 30 Sept.

Memandangkan hari pertama persidangan Parlimen dijadualkan pada 3 Okt, Najib berkata, beliau memohon supaya keputusan dibuat segera agar permohonan itu menjadi tidak bermakna atau bersifat akademik.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada sebarang maklum balas daripada responden kedua dan mengambil kira keperluan masa, beliau memfailkan tindakan undang-undang tersebut.

Najib juga menyatakan keengganan responden pertama dan ketiga membenarkannya mengakses pegawai dan pembantunya bagi tujuan perkara berkaitan Parlimen serta pengundinya dan tindakan tidak diambil oleh responden kedua tidak munasabah atau tidak rasional.

Katanya, menurut Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan, beliau mempunyai kewajipan Perlembagaan untuk melaksanakan tugasnya dengan berkesan dan sebagai Ahli Parlimen dalam mewakili pengundi Pekan.

“Penafian hak itu oleh responden kerana menolak keupayaan saya untuk mentadbir kawasan pilihan raya saya sebenarnya penafian terhadap kesejahteraan kawasan Parlimen Pekan,” katanya dalam afidavit itu.

Permohonan itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Kamal Md Shahid pada 12 Okt.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee mengesahkan permohonan itu difailkan 1 tengah hari tadi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-