Showing posts with label Jabatan Penjara. Show all posts
Showing posts with label Jabatan Penjara. Show all posts

Tuesday, June 13, 2023

'Jabatan Penjara perlu perjelas layanan berbeza kepada Najib'

bharian.com.my
Oleh Suraya Ali 
suraya.ali@bh.com.my
- Jun 13, 2023 @ 12:57pm
Jabatan Penjara digesa menjelaskan mengapa Ahmad Zahid dibenarkan melawat Najib yang sedang menjalani hukuman penjara dengan layanan berbeza. - Foto fail NSTP

SHAH ALAM: Jabatan Penjara digesa menjelaskan mengapa Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dibenarkan melawat Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara dengan layanan berbeza.

Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla Haniff, berkata ada tatacara dan proses serta prosedur tertentu yang membolehkan pelawat berjumpa dengan jumpa banduan.

"Ada keadaan tertentu di mana ada permohonan dibuat kepada penguasa penjara, namun semua ini spekulasi kerana Zahid tidak memberitahu sama ada beliau membuat permohonan itu ataupun diberi layanan khas kerana memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

"Soalnya kini bukan undang-undang atau peraturan dua darjat, sebaliknya pihak penjara perlu perjelaskan sama ada ada berlaku pelanggaran protokol atau ada permohonan khas yang telah dibuat.

"Jika ada permohonan, mengapa layanan istimewa diberi, peguam yang mewakili Najib dan pihak penjara kena jelaskan apakah permohonan itu," katanya kepada BH hari ini.
Peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla Haniff. - Foto fail NSTP
Haniff mengakui, ada situasi tertentu yang membolehkan pelawat berjumpa dua mata dengan banduan seperti contoh pemegang saham atau ahli lembaga pengarah syarikat perlu tandatangan dokumen atau resolusi atau cek syarikat atau selainnya, akan ada permohonan dari pihak peguam pembelaan, namun mesti atas alasan yang kukuh.

"Sekarang ini kita tak tahu siapa mohon apa, kita tak boleh teka atau anggap yang Timbalan Perdana Menteri diberi layanan khas.

"Untuk bersikap adil, Zahid bercakap dalam konteks beliau ditanya khabar Najib dipenjara dan beliau dedahkan telah berjumpa dan memberitahu sempat makan bersama, bawa makanan kegemaran dan sebagainya, Zahid tidak menjelaskan sama ada permohonan khas dibuat mana-mana pihak," katanya.

Pertemuan empat mata sambil menikmati pelbagai makanan yang dibawa, berlangsung di antara Ahmad Zahid dan Najib itu didedahkan sendiri Ahmad Zahid dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini.

Haniff berkata, pihak yang wajib memberi penjelasan itu adalah Jabatan Penjara yang membenarkan lawatan itu.

"Dengan penjelasan yang baik, rakyat takkan pandang serong terhadap Jabatan Penjara dan tanggapan wujudnya undang-undang dan peraturan dua darjat di antara rakyat dan VIP boleh dihapuskan," katanya.

Haniff menambah, setiap perkara perlu ada penyelesaian dan beliau meminta rakyat Malaysia hentikan budaya membuat spekulasi dan buruk sangka.

"Dapatkan maklumat yang tepat, tak perlu diperbesarkan perkara selagi boleh diselesaikan dengan penjelasan pihak berwajib," katanya.

Thursday, October 20, 2022

Najib dilarang keluar kenyataan berkait PRU15, kata Jabatan Penjara

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-October 20, 2022 1:37 PM
Bekas perdana menteri Najib Razak sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta.

PETALING JAYA: Najib Razak tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan, termasuk berkaitan pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan Supri Hashim.

Beliau berkata, bekas perdana menteri itu sama seperti mana-mana banduan lain yang sedang menjalani hukuman penjara, tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan, lapor Sinar Harian.

“Semua surat serta dokumen dikeluarkan juga perlu ditapis terlebih dahulu oleh pihak penjara, termasuk surat yang dihantar kepada keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pameran Menjangkau Abad Dinding Penjara di Muzium Penjara Banda Hilir, Melaka, hari ini.

Tambahnya, Jabatan Penjara ialah jabatan kerajaan yang tidak terlibat dengan mana-mana politik dan warganya terus menggalas tanggungjawab diamanahkan tidak kira kerajaan yang memerintah.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Nordin Muhammad sebagai berkata, bekas ahli Parlimen Pekan yang sedang menjalani hukuman penjara itu tidak dibenarkan keluar berkempen untuk PRU15.

Katanya, Najib tertakluk kepada Akta Penjara dan peraturan selain prosedur operasi standard jabatan itu.

“Selagi beliau masih menjalani hukuman penjara, beliau tertakluk kepada akta dan peraturan penjara,” katanya.

Najib kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan dan hukuman ke atasnya dalam kes membabitkan dana SRC International.

Wednesday, October 12, 2022

Najib boleh bertanding PRU-15?

bharian.com.my
Oleh Faris Fuad - Oktober 12, 2022 @ 12:40pm
faris.fuad@bh.com.my
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
KUALA LUMPUR: Persoalan berbangkit di Mahkamah Tinggi hari ini, sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara, dibenarkan menjadi calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) atau sebaliknya.

Ia berdasarkan keputusan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara tidak membenarkan Najib menghadiri persidangan Dewan Rakyat, yang mungkin memberi kesan secara langsung kepada peluang Najib bertanding pada PRU-15.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata perkara itu penting kerana bekas Perdana Menteri itu, mempunyai hak mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

"Najib mempunyai hak hadir ke Parlimen. Peruntukan undang-undang memberi hak kepada banduan untuk ditemani (dan hadir ke Parlimen).

"Namun, laporan mengatakan Parlimen dibubarkan, soalan berbangkit sama ada Najib boleh hadir ke tempat pencalonan dan dicalonkan (pada PRU-15).

"Perkara ini boleh dipertikaikan mengikut Perkara 48 dan sebab itu, saya cadangkan kes permohonan semakan kehakiman seawal Jumaat ini," katanya pada pengurusan kes itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, hari ini.

Terdahulu, Peguam Persekutuan, M Kogilambigai yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC), memohon tarikh pendengaran kes itu ditetapkan sekurang-kurangnya seminggu dari hari ini.

Ia berikutan AGC memerlukan masa untuk meneliti permohonan difailkan bekas Perdana Menteri itu.

"Sekiranya terdapat bantahan (berhubung permohonan), pihak kami akan memaklumkan kepada mahkamah," katanya.

Mahkamah kemudian memutuskan 19 Oktober ini untuk pendengaran kes berkenaan.

Menerusi notis permohonan semakan kehakiman itu, Najib yang bertindak sebagai pemohon, menamakan Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Jabatan Penjara sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon antaranya perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan Komisioner Jeneral Penjara, yang tidak membenarkannya mendapatkan akses kepada pegawai atau pembantu bagi tujuan menjalankan kerja di kawasan Parlimennya.

Najib juga memohon perintah sama untuk mengetepikan keputusan Komisioner Jeneral Penjara yang tidak membenarkannya hadir pada persidangan Dewan Rakyat.

Turut dimohon, perintah mandamus supaya responden mengambil semua langkah perlu untuk membenarkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat pada tarikh yang sudah ditetapkan dan relif, perintah serta lain-lain arahan yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara melalui Penjara Kajang pada 28 September lalu, menyampaikan keputusan menolak permohonannya untuk menghadiri sidang Parlimen atas alasan keselamatan.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Najib mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri pada 30 September lalu dan oleh kerana sidang bermula pada 3 Oktober lalu, beliau memohon supaya keputusan dipercepatkan.

Oleh kerana tiada sebarang jawapan, Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman.

Katanya, berdasarkan Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan, beliau mempunyai kewajipan dari segi Perlembagaan untuk melaksanakan tugas dengan efektif sebagai Ahli Parlimen Pekan.

Wednesday, October 5, 2022

Najib cabar keputusan Jabatan Penjara tolak permintaan ke Dewan Rakyat

freemalaysiatoday.com
Bernama
-October 5, 2022 8:15 PM
Najib Razak memohon perintah untuk membatalkan keputusan komisioner jeneral penjara tidak membenarkannya mengakses pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja Parlimen, perundangan dan pengundi kawasannya.

KUALA LUMPUR: Najib Razak memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara menolak permintaannya untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Bekas perdana menteri itu memfailkan permohonan mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman melalui Tetuan Shafee & Co di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Najib, 69, menamakan kerajaan, menteri dalam negeri dan komisioner jeneral penjara sebagai responden.

Dalam permohonannya, Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden ketiga (komisioner jeneral penjara) yang tidak membenarkannya mengakses pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja Parlimen, perundangan dan pengundi kawasannya.

Najib juga memohon perintah untuk mengetepikan keputusan responden ketiga itu yang tidak membenarkannya ke Parlimen pada tarikh persidangan yang dijadualkan.

Beliau memohon pengisytiharan beliau berhak mendapat akses kepada pegawai/pembantunya bagi tujuan kerja Parlimen, perundangan dan pengundi kawasannya serta memohon perintah mandamus kepada responden supaya mengambil segala langkah yang perlu bagi membolehkannya mendapat akses munasabah kepada pegawainya/pembantu bagi tujuan tersebut.

Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata, keputusan responden pertama dan ketiga menolak permohonannya atas alasan keselamatan disampaikan kepadanya melalui Pejabat Penjara Kajang pada 28 Sept dan beliau telah merayu terhadap keputusan itu kepada responden kedua pada 30 Sept.

Memandangkan hari pertama persidangan Parlimen dijadualkan pada 3 Okt, Najib berkata, beliau memohon supaya keputusan dibuat segera agar permohonan itu menjadi tidak bermakna atau bersifat akademik.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada sebarang maklum balas daripada responden kedua dan mengambil kira keperluan masa, beliau memfailkan tindakan undang-undang tersebut.

Najib juga menyatakan keengganan responden pertama dan ketiga membenarkannya mengakses pegawai dan pembantunya bagi tujuan perkara berkaitan Parlimen serta pengundinya dan tindakan tidak diambil oleh responden kedua tidak munasabah atau tidak rasional.

Katanya, menurut Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan, beliau mempunyai kewajipan Perlembagaan untuk melaksanakan tugasnya dengan berkesan dan sebagai Ahli Parlimen dalam mewakili pengundi Pekan.

“Penafian hak itu oleh responden kerana menolak keupayaan saya untuk mentadbir kawasan pilihan raya saya sebenarnya penafian terhadap kesejahteraan kawasan Parlimen Pekan,” katanya dalam afidavit itu.

Permohonan itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Kamal Md Shahid pada 12 Okt.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee mengesahkan permohonan itu difailkan 1 tengah hari tadi.

Sunday, October 14, 2018

Penjara minimum 30 tahun ganti hukuman mati

MyMetro
Mutakhir
Hazsyah Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my

INDIVIDU disabitkan kesalahan yang membawa hukuman mati akan dikenakan penjara minimum 30 tahun bagi menggantikan hukuman berkenaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata, selain Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 di mana pesalah dikenakan hukuman mati mandatori, terdapat 17 kesalahan jenayah lain yang membawa kepada hukuman sama.

Ia termasuk melancarkan serangan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan raja, keganasan, pembunuhan, cubaan untuk membunuh ketika menjalani penjara seumur hidup, pembunuhan mangsa ketika diculik, memiliki dan menggunakan senjata api serta merogol hingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.

Vui Keong berkata, berdasarkan rekod Jabatan Penjara Malaysia sehingga 11 Oktober lalu, terdapat 932 banduan disabitkan bersalah atau dijatuhkan hukuman mati mengikut Seksyen 39 (B) ADB 1952.

Bagaimanapun, katanya, sejak 2014 hingga kini tiada pelaksanaan hukuman mati terhadap banduan di bawah seksyen itu dan mereka masih menunggu hukuman disebabkan oleh Moratorium serta tiada waran pelaksanaan hukuman mati dikeluarkan kepada Jabatan Penjara Malaysia.

“Namun demikian, pada 10 Oktober lalu saya umumkan bagi pihak kerajaan bahawa semua kesalahan membabitkan hukuman mati termasuk Seksyen 39 (B) ADB 1952 akan dimansuhkan dan hukuman itu tidak patut dilaksanakan.

“Rang Undang-Undang pemansuhan ini akan dibentangkan di Parlimen selepas memorandum berkaitan diluluskan dalam Kabinet,” katanya pada program Community Combat - DAPS (CCD) di Sandakan, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Politiknya, Martin Tommy.

Justeru, Vui Keong yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi meminta Lembaga Pengampunan untuk menimbang menangguhkan hukuman mati ke atas banduan.

Katanya, berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Lembaga Pengampunan berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan undang-undang Persekutuan.

“Lembaga Pengampunan juga boleh mempertimbangkan untuk melepaskan banduan yang sudah menunggu lebih 20 tahun bergantung kepada situasi,” katanya.

Katanya, setakat ini, jumlah banduan yang berdepan dengan hukuman mati bagi semua kesalahan membabitkan Seksyen 39 (B) ADB 1952 ialah 1,267 orang.

Berita berkaitan

Pelaksanaan hukuman mati dimansuhkan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 8:32 PM

Thursday, April 12, 2018

Anwar gagal rayu keputusan Pengarah Jabatan Penjara


PUTRAJAYA
:
Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini, untuk mengenepikan keputusan Pengarah Jabatan Penjara dan dua lagi yang tidak membenarkan sentuhan fizikal dengan ahli keluarga ketika lawatan di penjara.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan yang dikemukakan oleh Anwar dan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menolak permohonan itu.

Hakim Ahmadi memutuskan bahawa permohonan itu tidak mempunyai merit, tidak munasabah dan tidak berasas.

Mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.

Turut bersidang bersama adalah Datuk Ong Lam Kiat Vernon dan Datuk Suraya Othman.

Pengarah Penjara Sungai Buloh, Komisioner Jeneral Penjara dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan.

Manakala Anwar dan ahli keluarganya diwakili peguam N Surendran, Latheefa Koya, Sanjeet Kaur, Shahid Adli Kamaruddin.

Pada 18 Mei 2016, Anwar, 70, dan keluarganya memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Pengarah Jabatan Penjara dan dua lagi untuk mencabar sekatan bagi sentuhan fizikal ketika lawatan di penjara.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu pada 14 Mac tahun lalu.

Selain Anwar, turut dinamakan sebagai plaintif adalah isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 65, serta anaknya Nurul Izzah, 37, Nurul Nuha, 33, Nurul Ilham, 30, dan Nurul Iman, 27.

Empat cucunya iaitu anak kepada Nurul Izzah dan Nurul Nuha turut dinamakan sebagai plaintif.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan bakal dibebaskan Jun ini.

- BH Online

Saturday, January 17, 2015

KPN perlu perjelas rahsia identiti Sirul Azhar dan Azilah

Lim ingin tahu sebab utama pihak berkuasa begitu gigih menyembunyikan wajah Sirul Azhar dan Azilah.

KUALA LUMPUR, 16 Januari:

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Jabatan Penjara perlu memberi penjelasan kepada orang ramai, bagaimana pesalah boleh menikmati keistimewaan untuk dilindungi identitinya daripada pengetahuan umum.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, beliau ingin tahu sebab utama pihak berkuasa begitu gigih menyembunyikan wajah dua bekas anggota Unit Tindakan Khas, Koperal Sirul Azhar Umar dan Cif Inspektor Azilah Hadri, setiap kali mereka muncul di mahkamah sehinggalah disabitkan bersalah.

Menurutnya, Ketua Polis Negara juga perlu memberi jaminan, gambar Azilah dan Sirul Azhar yang dikeluarkan Bukit Aman, semalam, bukannya diambil 10 tahun lalu, iaitu ketika kejadian pembunuhan itu berlaku.

“Orang ramai perlu tahu bagaimana rupa mereka sekarang, supaya apabila mereka terserempak dengan dua pembunuh ini, mereka tahu apa yang telah mereka berdua lakukan kepada seorang wanita tidak berdosa dan boleh membantu polis, sekiranya Sirul Azhar menyelinap ke Malaysia.

“Ia juga membolehkan rakyat Malaysia di Australia membantu menyedarkan orang awam dan pihak berkuasa Australia, tentang kewujudan seorang pembunuh di kejiranan mereka,” katanya pada Jumaat.

Dalam pada itu, Lim mempersoalkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sama ada beliau akan menulis surat kepada kerajaan Australia untuk memaklum dan mengesahkan Sirul Azhar adalah seorang pembunuh yang telah disabitkan kesalahan.

Jelasnya, Ahmad Zahid juga perlu memperjelaskan kepada pihak terbabit, Sirul Azhar adalah seorang pembunuh dan orang dikehendaki atas kesalahan jenayah yang telah dilakukannya.

“Di samping itu, adakah beliau juga telah memohon supaya pihak berkuasa Australia segera mengekstradisi Sirul Azhar pulang ke Malaysia,” katanya.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/01/16/kpn-perlu-perjelas-rahsia-identiti-sirul-azhar-dan-azilah/#ixzz3OztJXl50

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-