Monday, October 31, 2022

Nama Khairy tiada dalam senarai calon BN Negeri Sembilan: Laporan

agendaily.com
31/10/2022
Ia adalah kebenaran dan saya tidak perlu membuktikannya, kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, pada 11 September 2022.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan tidak disenaraikan sebagai calon mana-mana kerusi Parlimen di Negeri Sembilan, dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

Beliau yang terpaksa melepaskan kerusi Parlimen Rembau kepada Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, sebelum ini dilaporkan bakal diletakkan di Tampin, Kuala Pilah atau Port Dickson.

Bagaimanapun, Utusan memetik sumber sebagai berkata ketiga-tiga kawasan Parlimen itu akan ditandingi pemimpin lain, dan nama Khairy sememangnya tiada dalam senarai calon Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan.

Khabar angin juga mengatakan bahawa Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau itu akan diletakkan bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh, Selangor atau Alor Gajah, Melaka.

Namun, Khairy sendiri membayangkan beliau akan dipertaruhkan bukan di kerusi selamat, sebaliknya kerusi yang dimenangi parti lawan pada PRU-14 lalu.

Tanpa mendedahkan kerusi di Parlimen mana, Khairy sebelum ini berkata buat masa ini terdapat tiga pilihan kawasan yang sedang dipertimbangkan dan beliau secara terbuka menerima cabaran berkenaan.

“Hampir sudah pasti saya akan dihantar ke kawasan yang di pegang oleh parti lawan, hampir pasti saya tidak akan dapat kerusi yang dianggap kerusi selamat dan kita tengok daripada pucuk pimpinan mana kerusi itu.

“Insya-Allah saya terima cabaran tersebut demi parti menggalas tanggungjawab untuk pergi mewakili parti saya di kawasan yang kita kalah, pelbagai negeri.

“Perbincangan dengan pucuk pimpinan dah ada, keputusan kerusi mana belum lagi, masih dalam penilaian pucuk pimpinan perbincangan sedang berlangsung, tetapi hampir pasti saya dihantar ke kawasan yang dulu kalah lah. Nak kena cuba menang balik,” katanya.

Sementara itu sumber Utusan berkata tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN di Negeri Sembilan, selain Mohamad akan bertanding pada di kerusi Parlimen.

Mereka ialah ADUN Senaling, Datuk Adnan Abu Hassan di Kuala Pilah; ADUN Serting, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli di Jempol dan ADUN Gemas, Datuk Abd. Razak Ab. Said di Parlimen Tampin.

Penyandang Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias pula dijangka terus menjadi calon bagi mempertahan kerusi tersebut.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan pula disebut-sebut akan mencuba nasib di Parlimen Port Dickson yang merupakan kerusi tradisi buat MIC.

Sementara itu, semalam turut tular senarai nama yang dikatakan akan menjadi calon BN di kelapan-lapan kerusi Parlimen di Negeri Sembilan.

Menerusi senarai itu, turut dinyatakan Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Siow Koi Voon menjadi calon di Parlimen Seremban manakala Setiausaha MCA Bahagian Rasah, Ng Kian Nam pula calon yang bakal dipertaruhkan di Parlimen Rasah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-