Thursday, October 6, 2022

Tak sesuai PRU tahun ini - MET Malaysia

hmetro.com.my
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@mediaprima.com.my
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak sesuai diadakan semasa Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, PRU-15 tidak wajar dilakukan tahun ini khususnya dalam keadaan perubahan iklim yang sedang berlaku.

"Jika mengambil kira pandangan kami daripada komuniti pengurusan bencana, secara umumnya kami tidak menggalakkan untuk diadakan PRU15.

"Ini kerana dalam tempoh peralihan MTL akan banyak lokasi di seluruh Malaysia menghadapi kemungkinan bencana banjir.

"Oleh itu, dari segi kesesuaian cuaca memang tidak membantu untuk diadakan pilihan raya kerana kita banyak bergantung kepada keadaan cuaca," katanya pada sesi soal jawab di Forum Iklim Kebangsaan: Monsun Timur Laut 2022/2023 anjuran MET Malaysia secara maya di sini, hari ini.

Forum itu dirasmikan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dan antara panel yang hadir termasuk Timbalan Pengarah (SME) Seksyen Pakar dan Nasihat Teknikal Bahagian Pengurusan Sumber Air dan Hidrologi Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, Ir Dr Asnor Muizan Ishak dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Persediaan Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Jabatan Perdana Menteri, Jamil Derus Ahmad.

Dr Mohd Hisham berkata, MTL dijangka bermula pada pertengahan November 2022 dan berakhir pada Mac 2023.

Menurutnya, dalam tempoh ini, empat hingga enam episod hujan lebat berterusan yang signifikan dan boleh mendatangkan banjir dijangka berlaku semasa fasa aktif MTL iaitu dari November 2022 hingga Januari 2023.

"Di Kelantan, Terengganu dan Pahang, episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku antara November hingga Disember 2022. Manakala, mulai Disember 2022 hingga Februari 2023, episod hujan lebat berterusan dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak.

"Bagaimanapun, hujan lebat berterusan juga boleh berlaku di negeri pantai barat sekiranya luruan monsun kuat dan atau kewujudan sistem tekanan rendah di rantau negara dan kebanyakan tempat dijangka menerima jumlah hujan bulanan pada paras purata pada MTL 2022/2023," katanya.

Dalam pada itu, MET Malaysia turut melancarkan myMETdata, portal permohonan data meteorologi secara dalam talian yang dibangunkan oleh jabatan itu.

Selari dengan saranan kerajaan ke arah pendigitalan sektor awam dan dalam usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai, MET Malaysia sudah mempelbagaikan saluran dengan membangunkan portal permohonan data meteorologi secara dalam talian selain dari permohonan di kaunter dan e-mel.

Matlamat utamanya adalah untuk memudahkan orang awam mengenal pasti serta memilih lokasi stesen yang dikehendaki dan menyemak kebolehdapatan data yang ingin dimohon.

Pelbagai data meteorologi disediakan merangkumi data pencerapan cuaca seperti hujan, suhu udara, kelembapan relatif dan angin manakala data pencerapan alam sekitar seperti hujan asid, aerosol dan zarah terampai bagi stesen terpilih juga boleh dibekalkan.

Di samping itu, data mentah (raw data), imej bagi radar dan satelit serta data kejadian seismik bagi kawasan yang mempunyai liputan stesen juga dapat diperolehi manakala orang awam juga boleh memohon pembekalan maklumat ramalan cuaca serta amaran mengikut lokasi pilihan pelanggan.

Melalui myMETdata, orang awam boleh membuat permohonan dalam talian tanpa perlu ke kaunter dan data yang siap diproses boleh dihantar secara terus kepada pelanggan melalui sistem selepas pelanggan mengemas kini maklumat bayaran.

Dengan ini, myMETdata menyediakan pusat belian data meteorologi dan perkhidmatan tempahan yang lebih mesra pengguna, mudah dan selamat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-