Nor Fazlina Abdul Rahim dan Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my
MUHYIDDIN bersalaman dengan Abdul Hadi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Kota Bharu: Perikatan Nasional (PN) akan meletakkan calon di semua 222 kerusi Parlimen di seluruh negara termasuk 27 kerusi yang dianggap kritikal pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu sudah pun diselesaikan dari segi pembahagian kerusi dalam PN.
"Itu (27 kerusi kritikal) kita sudah pun selesaikan pembahagian dalam parti PN. PN akan letakkan calon di semua Parlimen termasuk 27 kerusi berkenaan.
"Kita ada 222 Parlimen dan kesemuanya akan ada calon," katanya ketika ditemui selepas Himpunan Penyatuan Ummah Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di perkarangan Stadium Sultan Muhammad V, di sini, lewat malam tadi
Turut hadir Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, isu pembahagian kerusi antara parti komponen PN sudah selesai.
"Calon yang terpilih akan diumumkan di setiap negeri tidak lama lagi," katanya.
Pada masa sama, Muhyiddin berkata, PN yakin memenangi kesemua 14 kerusi Parlimen di Kelantan pada PRU-15.
Katanya, ia berdasarkan semangat kerjasama yang cukup kukuh antara parti Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri itu.
"Semangat kerjasama yang cukup kukuh dan saya yakin rakyat di Kelantan memang faham dan sudah tahu mengenai isu-isu yang penting seperti ekonomi, kebajikan, kesihatan dan sebagainya," katanya.
Disiarkan pada: Oktober 22, 2022 @ 9:31am
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.