Monday, October 31, 2022

PRU-15: Apa nasib Shahidan, Zahidi?

agendaily.com
31/10/2022
Nasib penyandang kerusi Arau Datuk Seri Shahidan Kassim dan Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin pada PRU-15 akan datang belum pasti.

Status Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin masih belum terjawab sama ada bakal digugurkan atau dikekalkan bagi mewakili Barisan Nasional (BN) Perlis dalam pencalonan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Sabtu ini.

Menurut sumber parti, nama penyandang kerusi Parlimen Arau dan Padang Besar itu tiada dalam senarai calon yang dimuktamadkan.

Dikhabarkan kedua-duanya diganti dengan muka baharu.

“Bagi kerusi Parlimen Arau, BN akan menampilkan muka baharu dalam kalangan orang muda, manakala kerusi Parlimen Padang Besar akan diwakili calon wanita yang juga muka baharu.

“Apa-apa pun tunggu pengumuman rasmi yang kita akan buat pada hari ini atau esok,” katanya.

Sebelum ini, Shahidan pernah menegur pimpinan tertinggi partinya susulan kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang dilaporkan berkata pihaknya menghantar lima nama calon bagi setiap Parlimen di Perlis.

Shahidan juga dilihat sering membidas Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Mengikut rekod, Shahidan sebagai orang lama dalam politik memegang Parlimen itu pertama kali pada PRU-7 (1986) kemudian menang lagi pada PRU-8, PRU-13 dan PRU-14.

Sementara Zahidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Besar pula menguasai Parlimen berkenaan sejak dua penggal lalu iaitu pada PRU 2013 dan 2018.

Sebelum nya beliau merupakan ADUN Beseri pada 1999 dan 2004.

Dalam perkembangan sama, sumber parti itu turut mengesahkan Azlan akan kekal bertanding kerusi DUN bukan Parlimen seperti yang dikhabarkan.

Sebelum ini, timbul desas-desus Azlan yang juga Menteri Besar akan bertanding di kerusi Parlimen Kangar setelah dua penggal bertanding di kerusi DUN.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-