Monday, October 24, 2022

Rakyat tak sedar sepenuhnya betapa rasuah berleluasa, kata Mat Sabu

freemalaysiatoday.com
Samuel Chua
-October 24, 2022 11:45 AM
Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata, jika rasuah masih berleluasa, rakyat akan menderita.

PETALING JAYA: Rakyat masih belum sedar sepenuhnya tentang rasuah yang “berleluasa” di negara ini, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Beliau berkata, apabila Pakatan Harapan (PH) berkuasa pada 2018, beliau terkejut apabila mendapati amalan rasuah berleluasa yang berakar umbi selama 60 tahun Barisan Nasional (BN) memerintah.

“Saya terkejut apabila kita siasat semua dakwaan rasuah, (masalah itu) jauh lebih buruk daripada yang kita dapat bayangkan,” kata bekas menteri pertahanan itu di sebuah ceramah di Johor malam tadi.

“Kita sekarang ada skandal kapal tempur pesisir (LCS), dan kita masih belum dapat satu kapal pun. Jika rasuah masih berleluasa, rakyat akan menderita.”

Projek LCS itu mencuri perhatian selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengeluarkan laporan terperinci pada Ogos, yang antara lainnya mendapati tiada satu kapal pun disiapkan walaupun setelah Putrajaya membelanjakan RM6 bilion.

Mohamad, atau lebih mesra dipanggil Mat Sabu, juga berkata banyak parti Melayu cenderung menimbulkan isu perkauman dan agama untuk mengkritik seteru politik mereka dan membuat dakwaan tidak berasas.

Beliau memetik dakwaan bahawa DAP merancang untuk menutup Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan menukar agama rasmi Malaysia sebagai contoh, yang menurutnya tidak benar.

“DAP dah tandatangani perjanjian tak akan ubah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Secara berasingan, Pengarah Mobilisasi Amanah, Mohd Sany Hamzan mengkritik Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana mendakwa DAP “pro-komunis”.

Beliau berkata, jika Hadi atau pihaknya percaya dakwaan itu benar, mereka harus menyiasat DAP.

“Ramai dalam kerajaan hanya pentingkan guna (isu) kaum dan agama (untuk memburukkan parti lain) kerana mereka tiada isu lain untuk diperkatakan,” katanya.

Hadi sebelum ini dalam ciapan di Twitter berkata, DAP harus ditentang kerana ia “pro-komunis”. Tambahnya, komunis “mengganas lebih melampau daripada penjajah yang beragama Kristian dan Yahudi”.

Pada ceramah sama malam tadi, Pengarah Pilihan Raya DAP Liew Chin Tong berkata, kelebihan PH pada pilihan raya umum akan datang (PRU15) ialah sokongan majmuk daripada rakyat yang dapat ditariknya.

“PH mendapat sokongan daripada kaum Cina, India, Melayu dan rakyat Sarawak dan Sabah,” katanya.

“Tidak banyak gabungan yang mampu dapat sokongan daripada semua komuniti.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-