Monday, October 24, 2022

PN, BN bertembung di 27 kerusi kritikal kerana keegoan UMNO

agendaily.com
24/10/2022
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Keegoan UMNO menolak perbincangan menjadi sebab pertembungan antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) di 27 kerusi kritikal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November depan, tidak dapat dielakkan.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata selama ini, UMNO telah menolak perbincangan dengan PN yang dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan, SAPP dan STAR, menyebabkan berlaku perpecahan dalam kalangan pengundi.

“Ya (ada pertembungan dengan UMNO di 27 kerusi kritikal) sebab mereka (UMNO) tidak mahu berbincang.

“Kita kena ingat selama ini yang menyebabkan berlakunya perpecahan dan pertembungan apabila UMNO tidak mahu berbincang dalam rundingan kerusi tersebut.

“Apabila sikap itu diambil mereka, kita tidak ada pilihan kerana keputusan itu telah dibuat oleh UMNO sendiri,” katanya menurut FMT, hari ini (Isnin, 24 Oktober 2022).

Wan Saiful berkata PN akan meletakkan calon di semuah 27 kerusi kritikal itu dan pembahagian kerusi telah dimuktamadkan, serta akan diumum tidak lama lagi.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pertembungan di 27 kerusi Parlimen yang dianggap kritikal dalam PRU-15 tidak dapat dielakkan berikutan ada pihak yang berasa ‘kuat’ dan mampu memenangi kerusi.

Sehubungan itu, katanya PN akan meletakkan calon daripada parti komponennya di semua kerusi terbabit bagi menentang calon BN dan Pakatan Harapan (PH).

“Pertembungan tidak dapat dielakkan sebab ada dalam kalangan pemimpin UMNO kata, kalau bertembung pun dia boleh menang, jadi rasa ‘cocky’ (yakin), jadi kita lawan.

“PAS akan ambil kerusi itu macam biasa… sama ada PAS atau Bersatu bergantung kepada keputusan akhir perundingan… ada yang Bersatu ambil, ada yang PAS ambil dan ada Gerakan ambil. Jadi, kita lihat hasil rundingan nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-