Friday, October 21, 2022

Tun M sedia jumpa Anwar demi kalahkan perosak negara

ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe24 mins ago
Tak kisah jika dianggap jilat ludah sendiri

BANGI, 24 Rabiulawal 1444H, Jumaat – Tun Dr Mahathir Mohamad bersedia untuk bertemu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengadakan rundingan kerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu turut memaklumkan jika perlu untuk memulakan langkah bertemu Anwar, beliau bersedia berbuat demikian bagi mengalahkan kejahatan yang merosakkan negara.

Menurut Dr Mahathir, dakwaan mana-mana pihak yang menganggapnya tidak tahu malu atau jilat ludah sendiri sudah tidak memberi kesan kepada bekas Perdana Menteri itu.

“Telah beberapa kali saya terbaca bahawa saya ini akan terhegeh-hegeh untuk bertemu musuh apabila membuat percaturan politik.

“Contoh yang kerap diguna ialah bagaimana saya sanggup pergi berjumpa Datuk Seri Anwar Ibrahim sampai ke mahkamah sebelum pilihan raya 2018 untuk mendapat sokongan darinya,” katanya dalam sebuah hantaran video, hari ini.

Mengaku perkara itu, beliau berpandangan bahawa perasaan peribadi, sikap sombong, ego dan kepentingan diri tiada tempat dengan sesuatu perjuangan terutama apabila mengaitkan agama, bangsa serta tanah air.

“Semasa saya pergi bertemu Datuk Seri Anwar di mahkamah, perkara utama yang ada di dalam fikiran saya ialah bagaimana cara untuk menyekat Datuk Seri Najib dan kerajaan UMNO-BN pimpinannya dari terus berkuasa.

“Ketika itu, seluruh dunia melapor puluha bilion wang rakyat dirompak oleh Najib dan jika Najib dan kerajaan itu tidak dijatuh, pengkhianatan mereka akan tersembunyi selain mereka dapat terus menyamun,” katanya.

Dr Mahathir berkata, sifir politik ketika itu juga amat jelas, sekiranya pihak pembangkang tidak bersatu dan bertanding di atas pentas yang sama, maka Najib dan pengikutnya akan terus berkuasa.

“Maka pilihan yang saya perlu buat juga amat mudah untuk mengalahkan kejahatan yang sangat merosakkan negara.

“Saya perlu bekerjasama dengan bekas musuh-musuh saya yang juga bersetuju perlu menyekat kejahatan tersebut.

“Yang penting matlamat kita untuk menyekat kemaraan orang yang merosakkan negara tercapai. Kejatuhan najib menunjuk kita telah lakukan sesuatu yang menjayakan kita,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-