Sunday, October 2, 2022

‘UMNO jangan jadi diktator’

agendaily.com
02/10/2022
Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan Fahmi Fadzil.

UMNO diingatkan supaya tidak menjadi diktator dengan memetingkan diri dalam menetapkan pelbagai perkara, termasuk untuk membubarkan Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil turut mengecam kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan keputusan parti itu mendesak supaya Parlimen dibubarkan demi kepentingan rakyat.

Menurutnya desakan untuk membubarkan Parlimen itu adalah daripada Zahid sendiri demi kepentingannya

“Tidak, ini hanya kepentingan beliau seorang. Kalau benar, ada atau tidak sesiapa yang mahukan pilihan raya selain UMNO? Mereka sahaja asyik meratib seolah-olah ekonomi negara tidak menjadi masalah, ringgit jatuh tidak jadi masalah bahkan kadar pengangguran pun tiada masalah.

“Kalaupun ditakdirkan pilihan raya tahun ini, kami bersedia. Malam semalam pun kami lancarkan tabung untuk pilihan raya,” katanya menurut Utusan.

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO kelmarin sepakat memutuskan pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU-15 diadakan pada tahun ini.

Sehubungan itu, Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memohon pembubaran Parlimen dan menetapkan tarikh PRU-15.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan berkata negara hanya mempunyai tempoh masa tiga bulan sebelum melangkah ke tahun baharu 2023 dalam keadaan cuaca yang tidak menentu di seluruh negara.

“Takkanlah UMNO ini mahu menentukan segala perkara termasuk pembubaran Parlimen? UMNO ada berapa ahli Parlimen sahaja? Asyik meratib hari-hari nak bubar Parlimen ini pasal apa?

“Saya tidak faham mengapa UMNO tentukan (bubar Parlimen) dan bukannya BN yang mempunyai parti-parti komponen lain. Saya amat sedih disebabkan beberapa pemimpin UMNO yang langsung tidak berhati perut dan tidak memikirkan nasib rakyat.

“Secara mudahnya, UMNO tidak kisah pendapat pihak lain. Kalau tidak, kenyataan kelmarin bukan dari Setiausaha Agung UMNO, tetapi Setiausaha Agung BN. Mereka sangat mementingkan diri. Malulah sikit, jangan bersikap diktator,” katanya.

Semalam Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menggelar lima pemimpin tertinggi UMNO – ‘Top 5’ – sebagai oligarki kerana mendesak PRU-15 diadakan tahun ini.

Oligarki ialah sistem politik di mana sekumpulan kecil individu mempunyai kawalan ke atas sesebuah negara atau organisasi.

Hassan berkata UMNO mendesak PRU-15 sebelum mahkamah membuat keputusannya terhadap presiden parti itu Zahid menjelang Disember.

‘Top 5’ UMNO merujuk kepada Zahid, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dan tiga Naib Presiden – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin; dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-