Wednesday, November 2, 2022

Annuar mahu tanding atas tiket PN? Takiyuddin kata ada kejutan esok

agendaily.com
2/11/2022
Ketua Puteri UMNO Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin diumum bertanding di kerusi Parlimen Ketereh menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang digugurkan.

Setelah digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berhasrat bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN).

Sementara Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula memberitahu media malam ini, bahawa ada kejutan yang akan dibuat pada majlis pengumuman calon-calon PN Kelantan malam esok.

Sumber memberitahu Annuar yang juga penyandang kerusi Parlimen Ketereh berusia 66 tahun itu dijangka bertanding di salah satu daripada 14 kawasan Parlimen di Kelantan.

Sumber itu berkata pencalonan Annuar akan diumumkan malam esok, di mana PN Kelantan juga akan mengumumkan senarai calonnya.

“PN Kelantan dijangka mengumumkan nama Annuar dalam barisan calon Perikatan Nasional di Kota Bharu malam esok,” kata sumber itu.

“Tunggulah kejutan itu, kami semua akan berada di atas pentas, esok,” kata Takiyuddin yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Kota Bharu.

Takiyuddin ketika melancarkan bilik gerakan Dewan Himpunan Penyokong PAS di Kota Bharu, malam ini berkata beliau bersimpati dengan Annuar yang disifatkannya sebagai kawan baik dan menteri kanan yang hebat.

Annuar pada sidang media lebih awal hari ini berkata beliau hanya akan memutuskan langkah seterusnya selepas pengumuman calon oleh pemimpin BN malam ini.

“Saya tidak akan kecewa jika saya tidak diturunkan ke Ketereh. Bagi saya, karier politik saya tidak akan berakhir sekarang.

“Saya akan duduk dan fikir betul-betul, tanpa tergesa-gesa. Ada banyak pilihan. Kalau bukan salah satu parti gabungan kerajaan, ada juga parti politik lain di luar sana,” katanya memberi bayangan akan tetap bertanding pada PRU-15 ini.

Pada majlis pengumuman calon-calon BN di ibu negara malam ini, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata calon gabungan itu bagi kerusi Parlimen Ketereh ialah Ketua Puteri UMNO Kelantan Marzuani Ardila Ariffin.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-