Friday, November 4, 2022

Dakwaan Teresa mengelirukan, saya belum muflis, kata Jamal

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-November 4, 2022 6:32 PM
Jamal Yunos berkata kelayakannya sebagai calon pilihan raya masih sah pada waktu penamaan calon dan pengundian sehingga satu perintah kebankrapan dibuat serta semua rayuan telah dilupuskan.

PETALING JAYA: Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos menafikan dakwaan bekas Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok bahawa prosiding kebankrapan telah difailkan terhadapnya dan pencalonannya sebagai calon Barisan Nasional (BN) Sungai Besar perlu ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jamal berkata, dakwaan itu wajar ditolak kerana ia jelas tidak tepat serta mengelirukan, dan peguamnya Rejinder Singh memaklumkan bahawa belum ada sebarang perintah kebankrapan dibuat terhadap dirinya .

“Beliau (peguam) menyatakan yang saya masih belum dibuat sebarang perintah kebankrapan dan di mana sehingga satu perintah kebankrapan dibuat dan semua rayuan saya gagal barulah saya hilang peluang untuk bertanding.

“Selagi perintah kebankrapan tidak dibuat maka saya layak untuk bertanding di pilihan raya ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya sedang merayu di Mahkamah Rayuan mengenai ganti rugi yang diperoleh Kok melalui penghakiman Mahkamah Tinggi pada 26 Julai lalu dan percaya rayuan itu adalah bermerit dan ganti rugi yang dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi, kelak akan diketepikan selepas rayuannya didengar.

Katanya, peguamnya juga berhubung dengan peguam Kok mengenai serahan secara kendiri mereka kepadanya mengenai notis kebankrapan agar ia dibuat pada 8 Nov ini.

“Oleh itu gesaan Kok agar SPR menolak pencalonan saya adalah sama sekali pramatang, sia-sia dan salah.

“Saya menegaskan di sini tindakan Kok adalah satu perbuatan terdesak beliau sebagai cubaan untuk menggagalkan saya daripada menjadi calon pilihan raya walaupun faktanya amat jelas yang saya belum lagi dikenakan sebarang perintah kebankrapan selaras dengan Akta Insolvensi 1967,” katanya.

Menurutnya, pengurusan kes pertama prosiding kebankrapan hanya bermula dan dijalankan pada 30 Nov dan peguamnya akan mencabar tindakan kebankrapan itu.

Jamal berkata, kelayakannya sebagai calon pilihan raya masih sah pada waktu penamaan calon dan pengundian sehingga satu perintah kebankrapan dibuat dan semua rayuan telah dilupuskan.

Terdahulu, Kok menghantar surat kepada SPR membantah keputusan Barisan Nasional (BN) menamakan Jamal sebagai calon Parlimen Sungai Besar pada PRU15.

Kok mendakwa, Jamal belum menyelesaikan syarat penghakiman dalam saman difailkan terhadapnya, yang mungkin menyebabkan beliau diisytiharkan muflis.

Pada 26 Julai, Mahkamah Tinggi memutuskan Jamal bertanggungjawab memfitnah Kok pada 2017 dengan menuduhnya menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) bawah inisiatif Skim Mesra Usia Emas (SMUE) milik kerajaan negeri.

Mahkamah mengarahkan Jamal membayar ganti rugi berjumlah RM300,000 dan RM50,000 sebagai kos.

Pada 18 Sept, Kok dilaporkan memfailkan notis kebankrapan terhadap Jamal selepas beliau gagal menjelaskan jumlah wang itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-