Showing posts with label SPR. Show all posts
Showing posts with label SPR. Show all posts

Tuesday, February 27, 2024

Bersih kemuka tiga tuntutan Reformasi 100 Peratus

bebasnews.my
By Editor
-27/02/2024
KUALA LUMPUR — Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengemukakan tiga tuntutan Reformasi 100 Peratus untuk mendesak kerajaan memenuhi tiga perkara utama yang dijadikan manifesto kempen pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

Tiga tuntutan itu adalah berkaitan kaedah pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditambah baik dengan melibatkan Jawatankuasa Parlimen, supaya semua pihak boleh membahaskannya secara demokratik dan inklusif, reformasi Akta Kesalahan Pilihan Raya, dan reformasi Parlimen.

Bersih turut menuntut tiada lagi keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) oleh mahkamah terhadap mana-mana ahli politik yang sedang dibicarakan dengan kes rasuah dan salah guna kuasa.

Tuntutan ketiga Bersih adalah menolak undang-undang dua darjat membabitkan kes-kes perbicaraan berprofil tinggi membabitkan ahli politik yang diutamakan.
Memorandum berkenaan masing-masing diserahkan kepada empat ahli Parlimen PH iaitu Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.

Selain itu, dua ahli Parlimen pembangkang iaitu Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Al-Sagoff dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Terdahulu, kira-kira 60 peserta Himpunan Tuntut Reformasi 100 peratus anjuran Bersih berarak ke bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum tuntutan mereka.

Peserta himpunan mula berkumpul berhampiran Plaza Tugu Negara di sini, seawal pukul 7 pagi sebelum berarak sehingga ke laluan persimpangan masuk ke bangunan Parlimen kira-kira pukul 8.30 pagi.

Mereka berarak secara aman dengan diiringi kira-kira 100 anggota polis yang melakukan tugas kawalan keselamatan dan aliran trafik.

Sementara itu dalam kenyataannya, Bersih menegaskan ini adalah aksi pertama untuk mengingatkan Kerajaan Madani, dan juga Ahli-Ahli Parlimen yang berkempen atas manifesto untuk mereformasikan negara.

“Bahawa rakyat tidak akan berdiam diri dan akan terus mendesak supaya agenda reformasi pilihan raya dan reformasi institusi dilaksanakan.

Bersih menegaskan Parlimen adalah institusi keramat yang menjadi nadi kepada usaha reformasi khususnya dalam membawa agenda tatakelola yang baik dalam negara,” kata kenyataan itu.

Bersih juga menggesa agar tuntutan ini dipandang serius oleh Kerajaan Madani dan Ahli-Ahli Parlimen terutamanya backbencher untuk terus mendesak pelaksanaan reformasi dalam negara.

“Kita perlu mencipta dan mencari ruang terbaik kepada pelaksanaan agenda Reformasi 100 Peratus ini yang perlu melibatkan semua pihak, demi mengukuhkan institusi awam dan demokrasi berparlimen dalam fasa transisi demokrasi negara,” kata kenyataan itu.

BebasNews

Sunday, November 20, 2022

PRU-15: Pengarah SPR Perak menghadap Sultan

hmetro.com.my
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
MOHD Nazri Ismail tiba di Istana Kinta FOTO L Manimaran

Ipoh: Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak, Mohd Nazri Ismail dilihat tiba di Istana Kinta, di sini, bagi sesi sembah menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Perak yang bersekali dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Difahamkan, sembah menghadap itu dijadualkan susulan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak serta pembentukan kerajaan negeri Perak yang masih tergantung susulan tiada gabungan parti politik berjaya pada kedudukan mejoriti mudah iaitu 30 kerusi DUN ke atas daripada keseluruhan 59 DUN di Perak.

Beliau tiba menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail kira-kira jam 10.23 pagi

Terdahulu, kenderaan membawa Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Azmir Shah Zainal Abidin turut kelihatan memasuki perkarangan istana dengan luar perkarangan istana turut dikawal polis.

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan, Perikatan Nasional (PN) mendahului apabila memenangi 26 kerusi DUN namun kekurangan empat lagi kerusi bagi membentuk mejoriti mudah.

Ia seterusnya diikuti Pakatan Harapan (PH) yang berjaya merangkul 24 kerusi, dan Barisan Nasional (sembilan) kerusi DUN.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi PN Perak yang juga Pesuruhjaya PAS Perak dalam sidang media awal pagi tadi mengulangi pendirian tegas menolak kerjasama dengan PH khususnya bersama Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta parti DAP.

Razman yang turut diumumkan memenangi kerusi DUN Gunong Semanggol, berkata PN Perak akan mengadakan perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) bagi kerjasama membentuk kerajaan negeri Perak susulan kelompongan bilangan kerusi yang ada.

Disiarkan pada: November 20, 2022 @ 11:18am

BN alami kekalahan terburuk

bharian.com.my
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi dan Ahmad Suhael Adnan 
bhnews@bh.com.my
- November 20, 2022 @ 2:23am
Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas gagal mempertahankan sejumlah besar kerusi yang dimenangi mereka pada PRU14 lalu.

Setakat jam 2 pagi ini, makluman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan BN hanya menang di 25 kerusi Parlimen.

BN tewas semua kerusi Parlimen yang ditandingi mereka di Perlis, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Melaka, termasuk tewas di banyak kerusi kubu kuatnya.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi pula, BN yang diwakili empat parti utama termasuk UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) diramal tidak menang di lebih 40 kerusi Parlimen pada PRU15 kali ini.

Antara kerusi BN dan UMNO yang tewas kali ini termasuk Parlimen Jasin, Labuan, Mersing, Pasir Salak, Machang, Kepala Batas, Ketereh, Baling, Gerik, Arau, Gua Musang dan Padang Besar.

Lebih mengejutkan, kerusi disandang pemimpin utamanya seperti Naib Presiden UMNO, Datuk Mahadzir Khalid di Padang Terap dan Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Putrajaya, turut tewas kali ini.

Semua kerusi yang tewas itu dirampas Perikatan Nasional (PN).

Setakat jam 2 pagi ini, beberapa kerusi yang sudah dimenangi BN antaranya di Parlimen Bera, Bagan Datuk, Rembau, Sembrong, Ayer Hitam, Tenggara, Kota Tinggi, Tanjung Piai, Pengerang dan Pontian.

BN juga berjaya merampas kerusi Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) termasuk Titiwangsa dan Simpang Renggam.

Saturday, November 19, 2022

PRU15: 70 peratus keluar mengundi setakat jam 4 petang

bharian.com.my
Oleh Irwan Shafrizan Ismail 
bhnews@bh.com.my
- November 19, 2022 @ 6:13pm
Roslan @ Abd Razak Masran, 59, menjadi pengundi terakhir di Pusat Mengundi SJKC Chung Hwa, Kota Kinabalu sebelum ditutup tepat jam 5.30 petang. - Foto NSTP/Mohd Adam Arinin

PUTRAJAYA: Sebanyak 70 peratus pengundi sudah menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), setakat jam 4 petang ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Meskipun peratusan itu masih lebih rendah berbanding PRU14 yang mencatat keseluruhan 82.32 peratus keluar mengundi, namun jumlah pengundi PRU15 setakat ini sudah melebihi jumlah pengundi pada PRU14.

Pada PRU14 empat tahun lalu, jumlah 82.32 peratus yang keluar mengundi adalah bersamaan dengan 12,299,514 daripada keseluruhan 14,940,624 pengundi.

Dalam PRU15, jumlah pengundi keseluruhan meningkat kepada 21,173,638 berikutan pelaksanaan daftar pemilih automatik dan pembabitan pengundi berusia 18 tahun ke atas.

Pemilih terdiri daripada 20,853,681 pengundi biasa, 146,737 tentera serta pasangan, 118,794 polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan, dan 2,741 pengundi tidak hadir luar negara.

Proses pengundian PRU15 bermula secara rasmi pada jam 7.30 pagi tadi di Sabah, Sarawak dan Labuan, manakala di Semenanjung Malaysia pula jam 8 pagi.

Turut diadakan serentak kali ini ialah pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, yang tertangguh berikutan proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19.

Banjir: SPR gantung pengundian di 11 pusat mengundi di Baram

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 19, 2022 5:06 PM
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) ingin memaklumkan keputusan untuk menggantung pengundian di 11 Pusat Mengundi di bahagian pilihan paya parlimen Baram

"(Ini) kerana keadaan cuaca yang tidak baik serta menyebabkan petugas tidak dapat sampai ke tempat bertugas sama ada melalui laluan udara, darat dan air," kata Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh.

SPR juga berkata tarikh baru pengundian bagi pusat mengundi dan saluran tempat mengundi akan dimaklumkan kelak setelah keadaan selamat untuk petugas dan pengundi sampai ke pusat mengundi bagi menjalankan pengundian.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) ingin memaklumkan keputusan untuk menggantung pengundian di 11 Pusat Mengundi di bahagian pilihan raya parlimen Baram.

Dengan pengundian di Baram digantung, hanya keputusan untuk 220 kerusi parlimen akan diumumkan dalam tempoh 24 jam akan datang.

Ambang untuk majoriti mudah di parlimen hari ini juga secara teorinya akan turun kepada 111.

Sebelum ini, pengundian di Padang Serai ditangguhkan selepas kematian calon Pakatan Harapan.

Senarai Pusat Mengundi dan Tempat Mengundi (Saluran) yang terlibat di Baram adalah seperti berikut:

1 Sekolah Kebangsaan Long Naah (Saluran 1 & 2)

2 Sekolah Kebangsaan Long Luteng (Saluran 2)

3 RH TK Matthew Belulok Lalo Kpg. Lepo Gah (Saluran 1 & 2)

4 Sekolah Kebangsaan Long Sait (Saluran 2)

5 Sekolah Kebangsaan Long Tungan (Saluran 1 & 2)

6 Sekolah Kebangsaan Long Moh (Saluran 1 & 2)

7 Sekolah Kebangsaan Long Mekabar (Saluran 1)

8 Sekolah Kebangsaan Long Jekitan (Saluran 1 & 2)

9 Sekolah Kebangsaan Long Lamei (Saluran 2)

10 Sekolah Kebangsaan Lio Mato (Saluran 1 & 2)

11 Sekolah Kebangsaan Long Banga (Saluran 1 & 2)

Saturday, November 12, 2022

Isu undi tentera, Anwar akan serah bukti kepada SPR

agendaily.com
12/11/2022
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkempen di Parlimen Kuala Nerus hari ini (11 November 2022).

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan dakwaan berhubung isu undi tentera dan akan menyerahkan bukti kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Pengerusi Pakatan Harpaan itu menafikan dakwaan tersebut dibuat tanpa mempunyai bukti dan sudah membuat kenyataan terbuka supaya tindakan diambil dengan segera.

“Saya sudah buat kenyataan terbuka dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu saya mengemukakan bukti. Jadi, saya akan beri kepada mereka,” katanya dipetik laporan FMT.

Terdahulu, Anwar mendakwa terdapat anggota tentera, khususnya dalam kawasan Parlimen Bera di Pahang, sudah mengundi untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

Kerusi Parlimen Bera ditandingi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam saingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional, Asmawi Harun, dan Abas Awang (PH).

Menurut laporan MKini, Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra di Kuala Terengganu.

Laporan itu juga menyatakan, Presiden PKR itu turut mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian (mengundi).

“Saya dapat maklumat sahih bahawa anggota tentera, undi pos telah mula mengundi pagi ini, (dan ia) melanggar peraturan SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), terutama untuk (kawasan) parlimen Bera dan (mereka) dibayar RM300,” katanya dipetik laporan media tersebut.

Susulan itu, Ismail Sabri membidas Anwar mengenai dakwan itu, sambil menyatakan dakwaan itu “berniat jahat” dan “fitnah”.

Ismail, yang mempertahankan kerusi Bera, mendesak Anwar menarik balik kenyataan dibuat, sambil menyatakan presiden PKR itu menghina angkatan tentera.

Malaysia akan mengundi pada 19 Nov dengan undi awal ditetapkan, pada 15 Nov.

Friday, November 11, 2022

Tentera undi awal, dibayar RM300, SPR minta lapor SPRM

freemalaysiatoday.com
Bernama
-November 11, 2022 8:31 PM
Suruhanjaya Pilihan Raya meminta individu mempunyai bukti berlaku rasuah ketika proses undi pos di Parlimen Bera supaya lapor kepada SPRM.

KUALA LUMPUR: Individu mempunyai maklumat atau bukti berlaku perbuatan sogokan atau rasuah ketika proses pengundian pos di Parlimen Bera, Pahang diminta melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini sebagai maklum balas terhadap dakwaan berlaku perbuatan sogokan atau rasuah semasa proses pengundian pos di Parlimen Bera.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini dilaporkan mendakwa ada anggota tentera khususnya dalam kawasan Parlimen Bera sudah mengundi untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Anwar turut mendakwa anggota tentera terbabit dibayar RM300 untuk berbuat demikian.

Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata dakwaan tersebut sebagai fitnah serta tuduhan jahat kepada pasukan keselamatan itu.

Ismail berkata dakwaan itu juga mencemarkan imej Angkatan Tentera Malaysia dan menghina anggota tentera bukan hanya di Bera, malah di seluruh negara yang selama ini berkhidmat mempertahankan negara serta dihormati masyarakat.

Thursday, November 10, 2022

Pengundi muda ubah landskap politik negara?

agendaily.com
10/11/2022
Dianggarkan terdapat seramai 4.8 juta pengundi baharu yang telah didaftarkan secara automatik sehingga kini, tetapi daripada jumlah tersebut kurang daripada 30 peratus dijangkakan keluar mengundi pada PRU-15 kelak. -Gambar hiasan

Satu kajian daripada sebuah universiti tempatan menyatakan bahawa 61.7 peratus golongan muda hendak turun mengundi dengan apa jua cara sekali pun.

Faktor keterbukaan dan perubahan kerajaan pada 2018 telah memberi ruang untuk media lebih bebas sekali gus menarik perhatian golongan muda.

Sekiranya orang ramai masih melihat seolah-olah anak muda tidak mengambil tahu, ia merupakan satu stigma yang perlu diperbetulkan.

Ini kerana anak muda mulai sedar tentang kuasa yang diberikan oleh negara kepada golongan remaja untuk digunakan sebaiknya dalam memilih pemimpin yang berwibawa.

Dalam pada itu, perkembangan sihat dalam media sosial dapat menyaksikan penampilan wajah-wajah generasi baharu dalam iklim demokrasi negara, selain keyakinan anak muda juga sebenarnya diperoleh daripada pengaruh rakan-rakan yang sudah terlibat dengan politik.

Situasi ini mewujudkan suasana baharu dalam kalangan orang muda untuk sama-sama terlibat dan sama-sama sedar, bukan lagi sekadar menjadi penonton.

Menerusi satu hantaran sahaja di media sosial, ia mampu untuk menjadi tular apabila menyedari suara mereka lebih didengari kerana bersifat kolektif.

Ini membuktikan golongan muda ini bukan tidak mahu ambil tahu tetapi kadang-kadang mereka ini tidak diberi pendedahan yang bersifat adil, selain kadang kala anak muda melihat pendedahan yang dilakukan oleh parti politik itu bersifat berat sebelah iaitu kepentingan buat satu-satu kelompok tertentu.

Bagaimanapun, timbul persoalan adakah landskap politik negara akan berubah selepas ini terutamanya apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemas kini daftar pemilih baharu secara automatik yang menyaksikan pertambahan dalam bila­ngan pengundi muda?

Menurut penganalisis politik, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani, perkara itu adalah tidak mustahil lebih-lebih lagi apabila pengundi muda atau belia berusia bawah 40 tahun kini menca­tatkan lebih separuh daripada jumlah pembuang undi iaitu kira-kira 51 peratus.

“Susulan peningkatan jumlah pengundi muda ini, tidak mustahil akan berlaku perubahan besar pada landskap politik negara, malah parti-parti politik sudah pasti akan menampilkan lebih banyak calon muda untuk bertanding bagi menarik undi.

“Hasil kajian saya mendapati, kebanyakan pengundi muda cenderung untuk mengundi calon dalam lingkungan usia mereka juga atau tidak terlalu ketara jurang usia kerana merasakan lebih memahami kehendak mereka,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Mohd. Azizuddin, penguatkuasaan had umur pemilih kepada 18 tahun yang berkuat kuasa 15 Disember tahun lalu juga dijangka memberikan impak kepada kancah politik negara, namun ia tidaklah terlalu ketara memandangkan jumlah­nya yang tidak terlalu besar.

“Pengundi berusia 18 tahun ini hanya kira-kira 10 peratus sahaja daripada keseluruhan jumlah pengundi iaitu dianggarkan 1.8 juta individu, jadi mereka ini akan tetap memberikan impak, namun agak minimal.

“Yang dibimbangkan adalah jika mereka tidak keluar me­ngundi. Mungkin tidak mengundi kerana tidak pernah mengundi atau tidak tahu yang mereka kini boleh mengundi atau juga faktor-faktor lain seperti tidak minat, latar belakang keluarga dan lain-lain,” ujar beliau.

Mohd. Azizuddin berkata, dianggarkan terdapat seramai 4.8 juta pengundi baharu yang telah didaftarkan secara automatik sehingga kini, tetapi daripada jumlah tersebut kurang daripada 30 peratus dijangkakan keluar mengundi pada PRU-15 kelak.

“Tidak mustahil juga hanya 10 peratus yang akan keluar me­ngundi kelak dan ini akan menjadi satu kerugian kepada negara.

“Jika mereka memang tidak mahu mengundi, tidak mengapalah kerana itu hak mereka, namun lebih rugi jika mereka tidak tahu yang mereka sudah jadi pengundi berdaftar,” katanya.

Melihat kepada kebimba­ngan ini, adalah penting untuk pihak-pihak seperti SPR de­ngan sokongan pengamal media terutamanya mengorak langkah memberikan penerangan kepada individu-individu yang tidak menyedari bahawa mereka kini sudah boleh mengundi.

Friday, November 4, 2022

Dakwaan Teresa mengelirukan, saya belum muflis, kata Jamal

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-November 4, 2022 6:32 PM
Jamal Yunos berkata kelayakannya sebagai calon pilihan raya masih sah pada waktu penamaan calon dan pengundian sehingga satu perintah kebankrapan dibuat serta semua rayuan telah dilupuskan.

PETALING JAYA: Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos menafikan dakwaan bekas Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok bahawa prosiding kebankrapan telah difailkan terhadapnya dan pencalonannya sebagai calon Barisan Nasional (BN) Sungai Besar perlu ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jamal berkata, dakwaan itu wajar ditolak kerana ia jelas tidak tepat serta mengelirukan, dan peguamnya Rejinder Singh memaklumkan bahawa belum ada sebarang perintah kebankrapan dibuat terhadap dirinya .

“Beliau (peguam) menyatakan yang saya masih belum dibuat sebarang perintah kebankrapan dan di mana sehingga satu perintah kebankrapan dibuat dan semua rayuan saya gagal barulah saya hilang peluang untuk bertanding.

“Selagi perintah kebankrapan tidak dibuat maka saya layak untuk bertanding di pilihan raya ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya sedang merayu di Mahkamah Rayuan mengenai ganti rugi yang diperoleh Kok melalui penghakiman Mahkamah Tinggi pada 26 Julai lalu dan percaya rayuan itu adalah bermerit dan ganti rugi yang dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi, kelak akan diketepikan selepas rayuannya didengar.

Katanya, peguamnya juga berhubung dengan peguam Kok mengenai serahan secara kendiri mereka kepadanya mengenai notis kebankrapan agar ia dibuat pada 8 Nov ini.

“Oleh itu gesaan Kok agar SPR menolak pencalonan saya adalah sama sekali pramatang, sia-sia dan salah.

“Saya menegaskan di sini tindakan Kok adalah satu perbuatan terdesak beliau sebagai cubaan untuk menggagalkan saya daripada menjadi calon pilihan raya walaupun faktanya amat jelas yang saya belum lagi dikenakan sebarang perintah kebankrapan selaras dengan Akta Insolvensi 1967,” katanya.

Menurutnya, pengurusan kes pertama prosiding kebankrapan hanya bermula dan dijalankan pada 30 Nov dan peguamnya akan mencabar tindakan kebankrapan itu.

Jamal berkata, kelayakannya sebagai calon pilihan raya masih sah pada waktu penamaan calon dan pengundian sehingga satu perintah kebankrapan dibuat dan semua rayuan telah dilupuskan.

Terdahulu, Kok menghantar surat kepada SPR membantah keputusan Barisan Nasional (BN) menamakan Jamal sebagai calon Parlimen Sungai Besar pada PRU15.

Kok mendakwa, Jamal belum menyelesaikan syarat penghakiman dalam saman difailkan terhadapnya, yang mungkin menyebabkan beliau diisytiharkan muflis.

Pada 26 Julai, Mahkamah Tinggi memutuskan Jamal bertanggungjawab memfitnah Kok pada 2017 dengan menuduhnya menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) bawah inisiatif Skim Mesra Usia Emas (SMUE) milik kerajaan negeri.

Mahkamah mengarahkan Jamal membayar ganti rugi berjumlah RM300,000 dan RM50,000 sebagai kos.

Pada 18 Sept, Kok dilaporkan memfailkan notis kebankrapan terhadap Jamal selepas beliau gagal menjelaskan jumlah wang itu.

Teresa: Jamal belum bayar saman, kelayakannya jadi calon diragui

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 4, 2022 10:40 AM
Penyandang kerusi Parlimen Seputeh Teresa Kok menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya membatalkan pencalonan Jamal Md Yunos untuk bertanding pada pilihan raya di kerusi Sungai Besar.

Dalam suratnya kepada pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh, Kok berkata dia telah memulakan prosiding kebankrapan ke atas Jamal pada 30 Ogos lalu berdasarkan kepada penghakiman yang diterimanya pada 26 Julai.

"Jamal masih belum menyelesaikan penghakiman tersebut dan prosiding kebankrapan saya terhadap beliau masih sedang berlangsung,” kata Kok kepada Abdul Ghani.

Sehubungan itu, Kok menggesa SPR menolak Jamal daripada menjadi calon semasa proses penamaan calon esok.

Semasa proses penamaan calon, pihak polis dan wakil jabatan insolvensi akan hadir untuk menapis calon.

Menurut Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan, seseorang individu hilang kelayakan untuk menjadi ahli parlimen jika adalah “seorang bankrap belum lepas” atau banduan yang telah menjalani hukuman penjara lebih satu tahun atau didenda lebih RM2,000 dan belum mendapat pengampunan.

Menurut notis kebankrapan Kok, Jamal berhutang RM351,479.45.

Pada 25 Julai, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Jamal supaya membayar RM300,000 kepada Kok sebagai ganti rugi berhubung ucapannya pada 2017 yang mendakwa ahli parlimen DAP itu menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Jamal membuat laporan kepada SPRM dengan tuduhan yang sama, sehingga menyaksikan serbuan di pejabat Kok. Tiada pertuduhan dikenakan terhadap Kok.

Wednesday, October 12, 2022

Perdana Menteri disaman kerana pembubaran Parlimen

hmetro.com.my
Rafidah Mat Ruzki
am@hmetro.com.my
PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada perutusan khas pengumuman pembubaran Parlimen.

Putrajaya: Penyandang Parlimen Klang, Charles Santiago memfailkan saman pemula terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan pembubaran Parlimen yang dibuat Perdana Menteri kelmarin.

Saman pemula itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, bertujuan menghalang SPR daripada menjalankan Pilihan Raya Umum (PRU).

Berdasarkan salinan saman pemula yang difail dan dilihat BH, Charles menuntut supaya satu deklarasi bahawa kuasa yang terletak pada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 55(2), Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilaksanakan mengikut Perkara 40(1) dan (1A).

Perkara 55(2) membabitkan Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

Peruntukan Perkara 40(1) pula menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

Manakala (1A) adalah sewaktu menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Charles juga menuntut satu deklarasi bahawa permintaan Defendan Pertama kepada Yang di-Pertuan Agong pada 9 Oktober 2022 untuk pembubaran Parlimen ke-14 adalah menyalahi Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan kerana permintaan itu tidak dibuat berdasarkan nasihat, atau berdasarkan kuasa am, Jemaah Menteri dan oleh itu terbatal dan tidak sah.

Beliau juga menuntut satu deklarasi bahawa pembubaran Parlimen ke-14 pada 10 Oktober 2022 seperti yang dimaklumkan melalui P.U.(A) 320 tidak mengikut Perkara 55(2) dibaca bersama Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan dan tidak mempunyai kesan undang-undang.

Justeru, Charles menuntut satu deklarasi bahawa defendan ketiga iaitu SPR, tidak mempunyai asas undang-undang untuk mengambil apa-apa langkah mengadakan PRU termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pengeluaran mana-mana writ bawah Seksyen 12, Akta Pilihan Raya 1958 dan pengeluaran sebarang notis bawah Peraturan 3(1), Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

Beliau juga memohon suatu perintah dikeluarkan Mahkamah Tinggi untuk menghalang defendan ketiga dan ejen, pengkhidmat dan/atau pekerjanya daripada mengambil sebarang langkah untuk mengadakan PRU berdasarkan kepada pembubaran itu termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pengeluaran sebarang writ bawah Seksyen 12, Akta Pilihan Raya 1958 pengeluaran mana-mana notis bawah Peraturan 3(1), Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 dan/atau daripada memberi kesan kepada mana-mana writ atau notis sedemikian jika dikeluarkan.

Beliau turut menyertakan afidavit sokongan yang antara lain menyatakan antara fakta menyokong saman pemula berkenaan termasuk banjir yang melanda pada Disember 2021 serta bantahan parti-parti yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan dalam situasi ketika ini.

Sementara itu, Charles ketika dihubungi mengesahkan tindakan terbabit, sambil memaklumkan akan mengeluarkan satu kenyataan media mengenainya hari ini.

"Salam. Saya akan hantar kenyataan dalam masa terdekat," katanya secara ringkas.

Kelmarin, Perdana Menteri mengumumkan beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen Ke-14.

Ia selaras Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, apabila Yang di-Pertuan Agong bertindak menurut budi bicara baginda untuk memperkenankan permintaan itu.

Disiarkan pada: Oktober 12, 2022 @ 11:50am

Monday, February 14, 2022

Golongan belia mampu ubah lanskap politik negara Politik

suaramerdeka.com.my
Home/Politik
/
DAHULU apabila genap usia 21 tahun, sebagai warganegara Malaysia, kita digalakkan mendaftar sebagai pengundi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya kita menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat negara ini apabila tiba Pilihan Raya Umum (PRU).

Kesedaran itu amat perlu kerana sejak merdeka, negara ini diwarisi oleh generasi seterusnya dan hari ini, Wira Bahagian Gombak PUTRA merasakan, untuk mengubah lanskap politik negara, perlu pengundi muda.

Melalui satu kenyataannya kepada SUARA MERDEKA hari ini, mereka menggesa golongan belia negara agar segera mendaftar sebagai pengundi.

Timbalan Ketua Bahagian PUTRA Gombak, Mohamed Shahrin Ismail berkata, selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang diwartakan pada 8 Februari 2022 yang akan dikuatkuasakan pada 15 Disember 2022, ia membolehkan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik (PPSA) mengikut Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019.

“Wira PUTRA Bahagian Gombak menggesa mana-mana individu terutama belia yang masih belum mendaftar sebagai pengundi, segeralah mendaftar,” katanya.

Kenyataannya itu disokong oleh Ketua Wira PUTRA Bahagian Gombak, Hazriq Zamali yang mana menurut beliau, kesedaran mendaftar segera sebagai pengundi adalah perlu kerana ia atas rasa tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia.

Katanya, penglibatan belia dalam pembentukan di peringkat akar umbi memberi ruang dan pengalaman seusia mereka yang cenderung dalam berfikiran positif dan pasif.

“Sewajarnya peluang yang diberikan perlulah diambil untuk mereka mempamerkan pandangan dan kehendak di samping menambah ilmu kepimpinan cerminan masa hadapan,” katanya.

Mohamed Shahrin berkata, PUTRA memberi peluang kepada generasi muda mendalami dan memahami politik untuk bersama-sama dalam kepimpinan serta mewujudkan kerjasama dengan golongan belia agar menjadikan Malaysia sebagai negara yan g kembali dihormati di mata dunia.

Tambah beliau, belia mestilah sentiasa bersifat aktif dan proaktif dengan kehendak mereka dan ia perlulah disantuni.

“Ini kerana mereka golongan belia atau anak muda inilah yang akan mewarnai kancah politik negara pada masa depan.

“Mereka inilah yang akan memimpin serta mewakili suara golongan majoriti yang mampu membawa perubahan sekiranya mereka dipimpin dengan betul dan atas kesedaran tentang pentingnya politik Bersih dan Bermoral untuk mengurustakbir negara,” ujarnya.

Beliau berkata, golongan belia hari ini juga wajib sedar dan bangkit untuk membuat perubahan demi masa depan mereka sendiri.

Katanya lagi, terdapat penambahan 749,731 pengundi bawah 18 tahun.

“Pendaftaran automatik di Johor melibatkan 2.599 juta pengundi berdaftar SPR dan ia boleh ditingkatkan lagi sekiranya golongan belia peka dengan situasi ini,” katanya.

Beliau juga berkata, selepas mendapat perkenan Sultan Johor, SultanIbrahim Iskandar mendatangani watikah Pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) penggal ke-14 yang lalu, golongan belia akan sekali lagi diberi peluang memilih siapakah yang akan memimpin mereka.

Memetik ucapan Presiden PUTRA, Datuk Dr. Ibrahim Ali di Persidangan Agung Kali Kedua PUTRA pada 23 Januari lalu, beliau menegaskan, segala punca kegagalan demi kegagalan adalah disebabkan kepimpinan-kepimpinan politik negara termasuk penjawat-penjawat awam yang terlibat dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa, pemborosan dan kegagalan penguatkuasaan undang-undang iaitu “Rule of Law “.

Selain itu, kata Ibrahim, ketiadaan iltizam politik dan kelemahan iman dalam kalangan pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh tauladan kepada rakyat.

Bukannya melahirkan pemimpin-pemimpin yang berperanan memusnahkan kepentingan dan maruah negara, kata Ibrahim. 

SM

Friday, March 26, 2021

Alasan SPR tangguh Undi18 kerana PKP tak munasabah, kata KJ

FMT Reporters
-March 26, 2021 1:03 PM

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) di Dewan Rakyat pada November tahun lalu mengekalkan sasaran Julai 2021 bagi pelaksanaan Undi18.

PETALING JAYA: Seorang menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengkritik langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk menunda pelaksanaan Undi18 yang dijadualkan bermula pada Julai depan ke September tahun hadapan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, alasan bahawa perintah kawalan pergerakan (PKP) menjejaskan perancangan dan persiapan SPR adalah tidak munasabah memandangkan ia sudah dilaksanakan sejak lebih setahun lalu.

“Malah jawapan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) di Dewan Rakyat pada November tahun lalu juga masih mengekalkan sasaran Julai 2021 bagi pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik ini.

“Tidak sampai lima bulan selepas jawapan di Dewan Rakyat ini dikeluarkan, SPR secara tidak semena-mena mengumumkan penangguhan pelaksanaannya kepada lebih satu tahun, iaitu September 2022 berbanding Julai 2021,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, pendaftaran pengundi 18 tahun secara automatik dijangka ditangguhkan sehingga selepas September 2022.

Beliau berkata, sekatan pergerakan yang dilaksanakan susulan pandemik Coid-19 mengganggu persiapan SPR untuk melaksanakan dasar itu, yang diluluskan oleh Parlimen pada Julai 2019.

Khairy berkata, kenyataan terbaharu SPR itu juga bercanggah dengan kenyataan pengerusi SPR pada 7 Jun tahun lalu yang menyebut bahawa persiapan pelaksanaan dasar Undi18 dan pendaftaran automatik, termasuk pindaan undang-undang serta peraturan pilihan raya sedia ada serta penyediaan sistem dan infrastruktur akan diselesaikan pada Julai 2021.

“Harus diingatkan, kenyataan SPR pada tahun lalu ini hanyalah ulangan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, mendiang V K Liew pada Oktober 2019 yang menetapkan sasaran sama iaitu Julai 2021 sebagai permulaan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik,” katanya.

Menurutnya, kenyataan SPR berkenaan gerak kerja bagi tujuan libat urus dengan parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) juga menimbulkan tanda tanya.

Beliau berkata, SPR perlu memberi penjelasan lanjut berkenaan program libat urus itu memandangkan ia sudah dipersetujui di Parlimen.

“Proses libat urus juga sepatutnya boleh berlangsung sepanjang masa tanpa sedikit pun perlu menjejaskan tempoh masa yang diumumkan sebelum ini.

“Penurunan umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun serta pendaftaran automatik bukanlah hasrat kerajaan terdahulu semata-mata.

“Malah ia mendapat persetujuan kesemua parti politik termasuklah menerusi Ahli Dewan Rakyat yang membuat pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan dan memerlukan sokongan dua pertiga majoriti dewan,” katanya.

Dewan Rakyat sebelum ini meluluskan RUU bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan had umur calon bertanding kepada 18 tahun pada 16 Julai 2019.

Saturday, September 12, 2020

PRN Sabah: Proses penamaan calon bermula pagi ini

Bernama
-September 12, 2020 8:17 AM
Petugas kesihatan menjalankan kerja sanitasi di Kompleks Wisma Wanita di Kota Kinabalu sempena pilihan raya negeri Sabah bermula hari ini. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Proses penamaan calon bagi pilihan raya negeri (PRN) Sabah ke-16 bermula pada 9 hingga 10 pagi ini di 73 pusat di seluruh negeri ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan rapi di semua pusat penamaan calon, yang antara lain terdiri daripada dewan komuniti dan sekolah, bagi memastikan kelancaran proses berkenaan di sebalik prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

PRN Sabah bakal menyaksikan 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertanding dengan 13 kerusi baru hasil persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Kerusi tersebut ialah Bengkoka, Bandau, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Keramat, Limbahau, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.

SPR menetapkan 26 Sept sebagai tarikh pengundian, manakala pengundian awal pada 22 Sept.

Sebanyak 1.12 juta pengundi layak memilih pada pilihan raya itu.

PRN Sabah diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lepas, sehari selepas bekas ketua menteri Musa Aman mendakwa mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

Saturday, June 20, 2020

BN dicabar 2 calon bebas di PRK Chini

FMT Reporters
-June 20, 2020 10:50 AM

(Dari kiri) Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli ialah calon bebas yang akan menentang Mohd Sharim Md Zain (kanan) daripada BN.

PETALING JAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini akan menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon Barisan Nasional dan 2 calon bebas.

Calon BN, Mohd Sharim Md Zain, 41, berdepan saingan daripada ahli perniagaan, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64 dan aktivis masyarakat, Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Pengumuman calon yang layak bertanding itu dibuat Pegawai Pengurus PRK, Zaliza Zulkipli di pusat penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Pekan, Pahang pagi ini.

Sharim ialah ahli jawatankuasa Umno Bahagian Pekan dan pengerusi Majlis Belia Felda Kuantan.

Tengku Zainul Hisham dilaporkan ialah timbalan ketua PPBM Bahagian Pekan yang menggunakan simbol ‘rumah’, manakala Shukri ialah penulis blog yang menggunakan simbol kunci.

Chini antara 4 kerusi Dewan Undangan Negeri di bawah Parlimen Pekan yang diwakili bekas perdana menteri, Najib Razak.

PRK Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu.

Abu Bakar yang mewakili BN pada pilihan raya umum 2018 berjaya mempertahankan kerusi disandangnya itu dalam saingan 3 penjuru dengan majoriti 4,622 undi, mengetepikan calon PAS yang mendapat 5,405 undi dan calon PKR mewakili Pakatan Harapan yang meraih 1,065 undi.

Chini mempunyai 20,900 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal. Mereka yang berusia 40 tahun ke bawah terdiri daripada 56%.

Ini ialah PRK pertama yang diadakan sejak perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan calon dan parti diberi kelonggaran untuk berkempen secara berceramah, dari rumah ke rumah dan tinjauan mesra atau “walkabout”.

Tetapi, penganjur perlu memastikan pematuhan penjarakan sosial, memakai topeng, menggunakan cecair pembasmi kuman, saringan suhu badan dan pengambilan rekod kehadiran.

Katanya, setiap pengundi akan diberikan sarung tangan sebelum mendaftarkan diri dan diberikan berus pakai buang untuk mencalit jari sendiri.

Pengundian pos bermula esok, manakala pengundian awal pada 30 Jun ini dan hari mengundi pada 4 Julai nanti.

PRK Chini bermula dengan penamaan calon pagi ini

Bernama
Diterbitkan Hari ini 8:58 am

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini bermula hari ini, dengan proses penamaan calon di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Pekan, dibuka pada pukul 8 pagi.

Berikutan negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 yang melanda dunia, PRK kali ini 'mencipta sejarah', apabila bakal menyaksikan kebiasaan baharu dalam perjalanan pilihan raya di negara ini.

Proses penamaan itu akan bermula pada 9 pagi dengan bakal calon diberi tempoh sejam sehingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan.

Bagaimanapun hanya calon, pencadang dan penyokong, atau mana-mana dua orang daripada mereka, atau mana-mana seorang daripada mereka, dibenarkan masuk ke dalam dewan utama itu bagi mengemukakan kertas penamaan calon.

Selepas itu, Pegawai Pengurus PRK Datuk Zaliza Zulkipli akan mengumumkan nama calon yang layak bertanding, dijangka pada 11 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu khusus bagi PRK Chini, untuk mengelakkan berlaku ‘kluster pilihan raya’, dalam keadaan negara sudah semakin berjaya mengawal penularan wabak itu.

Berdasarkan SOP itu, penyokong parti dilarang berada di pusat penamaan calon selain tiada perarakan atau perhimpunan dibenarkan, berlainan daripada kebiasaan PRK yang meriah dengan sorakan dan laungan daripada penyokong parti dan calon yang bertanding. Penyokong calon dan parti hanya boleh berada 1.5 kilometer dari pusat penamaan calon bagi menjaga jarakan sosial.

Selain SPR, kakitangan Kementerian Kesihatan merupakan agensi penting pada PRK kali ini, dengan kehadiran mereka di pusat penamaan calon sebagai persediaan, sekiranya terdapat calon, penyokong, atau pencadang, mempunyai gejala COVID-19 sebagai langkah berwaspada.

PRK ke-11 sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) itu menjadi 'ujian pertama' buat kerajaan Perikatan Nasional, sejak mula terbentuk pada Februari lalu, selain kesinambungan kerjasama Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS, yang mula terbentuk sejak PRK Parlimen Cameron Highlands.
Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan Mohd Sharim Md Zain, 41, yang merupakan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan, sebagai calon mereka untuk mempertahankan kerusi tradisi UMNO, memandangkan DUN Chini adalah kubu kuat BN.

Walaupun Pakatan Harapan (PH) sudah memutuskan tidak meletakkan calon pada PRK itu, namun Mohd Sharim yang merupakan generasi kedua Felda Chini dijangka ditentang, memandangkan seorang calon Bebas sudah mengumumkan hasrat bertanding.

Ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, mengumumkan akan bertanding menggunakan simbol rumah, dan membawa manifesto 'Menjadi Suara Rakyat Chini' pada PRK itu.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur, akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11.

Pada PRU14 lalu, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi, selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi, manakala Mohamad Razali Ithnain daripada PKR sekadar memperoleh 1,065 undi.

- Bernama

Saturday, June 22, 2019

Zahid dakwa ada cadangan buat persempadanan semula tambah kerusi DAP

Haspaizi Zain 
Diterbitkan Hari ini 8:55 malam


Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa ada usaha untuk meminda perlembagaan bagi membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akhirnya akan menambah kerusi DAP di Parlimen.

Presiden Umno yang sedang bercuti itu berkata ia dibuat dengan menambahkan kerusi Parlimen di kawasan bandar.

"Kita tahu (akan ada) cadangan dalam sidang Dewan Rakyat Julai nanti untuk meminda perlembagaan untuk menambah kerusi DUN dan Parlimen.

"Mungkin ada cadangan kawasan yang mempunyai jumlah pengundi lebih 100,000, akan ada pertambahan kerusi (dengan pecahkan kawasan Parlimen itu). (Melibatkan) kerusi di kawasan bandar.

"Siapakah yang menjadi ahli-ahli Parlimen kawasan bandar, tentulah DAP. Ertinya DAP akan menambah ahli-ahli Parlimennya," dakwanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kepong, di Selayang, petang tadi.

Selain DAP, PKR juga banyak bertanding di kerusi bandar pada PRU lalu.

Misalnya di Kuala Lumpur, PKR memegang lima daripada 12 kerusi parlimen manakala DAP pula empat.

Di Selangor pula, PKR dan DAP masing-masing menguasai sepuluh dan empat daripada 22 kerusi parlimen.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin berkata perlembagaan perlu dipinda untuk persempadanan semula sebelum PRU ke-15 kerana Perkara 133 Perlembagaan Persekutuan menyatakan ia hanya boleh dilakukan dalam tempoh lapan tahun selepas persempadanan terakhir.

Kali terakhir ia dilakukan ialah sebelum PRU ke-14 yang lalu.

Untuk rekod, ia adalah acara rasmi pertama dihadiri Presiden Umno itu setelah enam bulan bercuti.

Pada 14 Mac lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun berkata badan itu sedang mengkaji sama ada persempadanan semula boleh dilakukan dalam dua tahun ini.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan reaksi pemimpin DAP berhubung dakwaan Zahid ini.

Wednesday, March 6, 2019

Kekosongan kerusi DUN Rantau terisi 13 April ini

Hariz Mohd
Diterbitkan Hari ini 12:38 tengahari


PRK Rantau ditetapkan pada 13 April akan datang, kata Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini.

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata untuk hari penamaan calon pula pihaknya menetapkan untuk diadakan pada 30 Mac.

Dalam sidang medianya di Putrajaya hari ini Azhar berkata SPR dikehendaki mengadakan PRK dalam tempoh 60 hari selepas kekosongan sesuatu kerusi DUN atau parlimen dimaklumkan secara rasmi.

Katanya notis kekosongan kerusi DUN Rantau diterima SPR pada 26 Feb lalu.

Menurut Azhar tarikh untuk pengundian awal pula ditetapkan pada 9 April.

Dengan pemilihan tarikh tersebut parti atau calon yang bertanding mempunyai tempoh 14 hari untuk berkempen.

Kata Azhar, proses penyerahan borang dan penamaan calon akan diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bandar Seri Sendayan.

Mahkamah batal keputusan

Sekolah itu juga, katanya, akan menjadi pusat penjumlahan pada hari pengundian.

"Borang pencalonan boleh mula dibeli esok," katanya.
PRK Rantau dijangka akan menjadi lebih 'hangat' dan menarik perhatian ramai kerana dijangka melibatkan bekas menteri besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan, sebagai calon pembangkang.

Mohamad yang kini menjalankan tugas sebagai presiden Umno memang memenangi kerusi tersebut sejak dicalonkan di situ pada 21 Mac 2004.

Kemenangan itu juga membawa beliau dilantik perdana menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi, menjadi menteri besar Negeri Sembilan.

Pada PRU ke-14 tahun lalu Mohamad diumum menang tanpa bertanding selepas pegawai pengurus pilihan raya melarang pencabarnya - daripada PKR - memasuki dewan penamaan bagi menyerahkan borang.
Keputusan tersebut dicabar calon PKR, Dr S Streram dan membawanya ke mahkamah pilihan raya.

Pada Nov 2018 hakim Azimah Omar memutuskan kemenangan Mohamad terbatal dan mengarahkan PRK diadakan bagi memilih Adun bagi kerusi tersebut.

Jumlah pengundi di DUN Rantau setakat 25 Feb lalu ialah 20,926, Mengikut data PRU ke-14 jumlah keseluruhan pengundi berdaftar ialah seramai 20,427.

Daripada jumlah itu 54 peratus ialah Melayu, diikuti Cina 23 peratus dan India 23 peratus.

Azhar berkata seramai 5,150 petugas dilantik untuk bertugas dengan SPR di 55 saluran yang dibuka di 16 pusat pengundian.

Saturday, March 2, 2019

Pengundian PRK Semenyih bermula

MyMetro

Petugas SPR membawa dua peti undi ke pusat pengundian Dewan JKKK Kampung Sesapan Kelubi, Beranang seawal 7pagi bagi PRK DUN Semenyih.
 FOTO Mohd Yusni Ariffin
BERNAMA

SEBANYAK 24 pusat mengundi membabitkan 116 saluran dibuka 8 pagi hingga 5.30 petang ini bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baharu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Sejumlah 53,411 pengundi biasa layak berbuat demikian dalam PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mewakili Pakatan Harapan (PH), pada 11 Jan lalu.

Jumlah itu berdasarkan daftar pemilih pada suku ketiga 2018 yang dikemas kini sehingga 11 Jan 2019, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

DUN Semenyih mempunyai 53,520 pemilih biasa namun 109 telah mengundi secara pos, menjadikan jumlah yang layak mengundi hari ini ialah 53,411 orang. Pengundian awal bagi PRK itu diadakan Selasa lepas.

Sebanyak 996 kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bertugas di pusat-pusat mengundi berkenaan.

Pusat penjumlah rasmi undi yang ditetapkan bagi PRK DUN Semenyih ialah di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang di Saujana Impian, Kajang.

SPR sebelum ini menjangkakan peratusan keluar mengundi pada PRK itu adalah kira-kira 70 peratus dan keputusan pengundian dijangka diumumkan sebelum 10 malam.

Tempoh rasmi berkempen yang bermula sejak 16 Feb lepas berakhir 11.59 malam tadi.

PRK Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Muhammad Aiman Zainali daripada PH, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

Ia adalah PRK keenam selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Jan).
Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 8:32 AM

Wednesday, February 20, 2019

Pengundi boleh pakai baju 'Bossku' di hari mengundi

Diterbitkan Hari ini 8:34 malam


PRK SEMENYIH | Pengundi - terutama penyokong Najib Razak - boleh membuang undi mereka pada 2 Mac ini dengan memakai baju 'Bossku' yang sinonim dengan bekas perdana menteri itu, jika mereka mahu berbuat demikian.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun hari ini menjelaskan kriteria yang boleh menyebabkan pengundi dilarang memasuki pusat mengundi.

"Bagi mana-mana pilihan raya, memakai baju atau membawa masuk apa-apa bahan yang tertera tagline, slogan, motto atau apa-apa perkataan oleh pengundi adalah dibenarkan untuk memasuki pusat mengundi pada hari mengundi.

"Namun ia tidak boleh berbaur hasutan, cercaan, provokasi atau menyentuh sensitiviti kaum yang boleh menggugat keharmonian serta mengganggu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

"Mana-mana pengundi yang gagal mematuhi arahan itu tidak akan dibenarkan masuk ke dalam pusat mengundi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penjelasan itu susulan pertanyaan Najib di Facebook hari ini, sama ada mereka yang memakai baju 'Bossku' akan berdepan kesukaran ketika hari mengundi nanti.

"Saya tidak pasti kerana SPR kini selalu berubah-ubah. Oleh itu, saya harap SPR boleh memberi jawapan terlebih dahulu.

"Jangan nanti ada yang dilarang masuk pada hari itu," katanya.

Walaupun kenyataan Azhar tidak merujuk tagline itu secara khusus, beliau kemudian menjelaskan kepada Malaysiakini bahawa mereka yang memakai baju yang memaparkan perkataan itu, serta gambar Najib, tidak akan dihalang untuk mengundi.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-