Sunday, November 27, 2022

Kos sara hidup: PM beri masa 2 minggu majlis tindakan kaji subsidi bersasar

malaysiakini.com
Alyaa Alhadjri
Diterbitkan: Nov 27, 2022 1:59 PM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi tempoh dua minggu kepada ahli Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 untuk menganalisis kesan subsidi bersasar berbanding dasar subsidi menyeluruh pada masa ini.

Anwar berkata semua kementerian dan agensi berkaitan telah ditugaskan untuk mengumpul maklumat yang akan dibentangkan kepada kabinet barunya selepas ia dibentuk kelak.

"Saya tidak mempunyai masalah dengan subsidi untuk rakyat, khususnya golongan miskin. Tetapi dalam perbincangan kami, kami mendapati bahawa subsidi mesti disasarkan.

“Ambil contoh (subsidi) harga minyak, itu juga menguntungkan orang kaya,” kata Anwar pada sidang media di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.
“Jadi saya beri masa dua minggu untuk menganalisis, meneliti semua implikasi dan berbincang dengan pihak swasta, pelabur supaya mereka faham sebab subsidi adalah untuk meringankan beban rakyat miskin,” kata Anwar.

Pada masa yang sama, Anwar membayangkan akan ada insentif lain yang diperkenalkan untuk perniagaan dan industri sebagai tukaran untuk sebarang penghapusan subsidi.

Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 dan dia melahirkan rasa bangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua penjawat awam yang terlibat.

Dia berkata walaupun diadakan pada hari Ahad, mesyuarat itu perlu dibuat untuk lebih memahami isu-isu berkaitan kos sara hidup yang menjadi keutamaan pentadbirannya.

Antara pegawai tinggi kerajaan yang hadir ialah Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, Gabenor Bank Negara Malaysia Nor Shamsiah Mohd Yunus, para pegawai kanan Jabatan Perangkaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-