Wednesday, November 2, 2022

PN Perlis sahkan akan letak Shahidan bertanding selepas disingkir BN

agendaily.com
2/11/2022
Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim akan bertanding di Arau atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Veteran UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim akan diletak sebagai calon Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding di Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

PN Perlis mengesahkan langkah untuk meletak penyandang kerusi Parlimen Arau tersebut, malah semalam nama bagi calon di kerusi tersebut tidak diumumkan kerapa sedang berunding pada saat akhir.

“Ya, betul ada rundingan dengan beliau (Shahidan). Semua bermula apabila kami berjumpa secara tidak sengaja di lapangan terbang pada Isnin lepas.

“Kami mempunyai hubungan baik selama ini dan perkara ini (tawaran menjadi calon PN) tercetus selepas terdapat ura-ura beliau mungkin tidak tercalon pada PRU15.

“Di peringkat negeri, kami belum tahu lagi keputusannya kerana perbincangan masih berjalan di ibu pejabat. Saya masih menunggu keputusan ibu pejabat,” kata Pengerusi PN negeri, Mohd Shukri Ramli dipetik laporan Sinar Harian.

Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis berkata, pihaknya sebelum ini telah menghantar nama calon untuk dipilih di peringkat Pusat bagi bertanding di kerusi Parlimen Arau pada PRU-15.

“Kerusi Parlimen Arau ini adalah milik Pas. Sebelum ini, kita sudah hantar senarai nama yang sesuai untuk bertanding di kerusi Parlimen Arau.

“Berdasarkan situasi sekarang, kita akan beri laluan kepada Shahidan sebab beliau adalah calon boleh menang. Paling penting pada kami adalah memenangi sebanyak kerusi pada PRU-15,” katanya.

Tambah Mohd Shukri, beliau percaya bahawa penyokong Pas di peringkat akar umbi akan merestui keputusan ini kerana mereka ahli yang taat kepada parti.

Pada Selasa, Shahidan mengesahkan tetap mahu bertanding di kerusi Parlimen Arau walaupun perlu menggunakan tiket parti lain selepas namanya digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) dan digantikan dengan Datuk Rozabil Abdul Rahman.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-