Friday, November 11, 2022

PRU15: 'Tak perlu isytihar harta, harta kami tak banyak'

hmetro.com.my
Oleh Zatul Iffah Zolkiply 
zatuliffah@hmetro.com.my
- November 11, 2022 @ 12:53pm
Abdul Hadi pada sidang media selepas menyampaikan kuliah pagi di Masjid Rusila Marang. - Foto NSTP/Ghazali Kori

MARANG: Tiada keperluan untuk pemimpin PAS mengisytiharkan harta kerana rakyat sudah mengenali pemimpin daripada parti berkenaan, tegas Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Calon Parlimen Marang itu berkata malah pemimpin parti berkenaan juga tidak mempunyai harta yang banyak untuk diisytiharkan.

Bagaimanapun, beliau tidak menghalang mana-mana pemimpin yang mahu membuat pengisytiharan harta masing-masing.

"Harta kita tak banyak… orang lain sebut juta-juta, kita ratus ribu... tak sampai juta, jadi tak perlu isytihar.

"Memang ada orang kita yang jutawan tetapi tak terbabit dengan politik... berniaga pun kena sekat macam-macam," katanya.

Abdul Hadi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Kuliah Mingguan di Masjid Rusila di sini hari ini.

Ditanya sama ada PAS bimbang isu berkenaan dimanipulasi pihak lawan, penyandang kerusi Parlimen Marang tidak melihat ia sebagai isu besar dan tidak kisah sekiranya ia dijadikan modal politik untuk berkempen.

"Dia (pihak lawan) tak boleh buat apa kerana orang PAS didapati tiada salah laku, kita perintah Kelantan, Terengganu, Kedah, tiada seorang pun orang kita yang diheret ke mahkamah, dibicarakan.

"Tetapi dalam PH (Pakatan Harapan), BN (Barisan Nasional), PH pula bicara berhenti… yang BN sambung bicara.

"Bukan masa dua minggu ini nak isytihar harta, patutnya orang kena tahu bertahun-tahun tentang harta kita dan masyarakat setempat lebih tahu calon kita di kawasan masing-masing, (jadi) tiada guna kita nak bermuka-bermuka dengan orang," katanya.

Calon PKR yang bertanding dalam PRU15 disyaratkan melaksanakan proses pengisytiharan harta.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-