Friday, November 11, 2022

Wujud persefahaman Ahmad Zahid-Anwar bentuk kerajaan selepas PRU-15 – Muhyiddin

satuberita.my
By Admin
-November 11, 2022
WUJUD persefahaman antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penggabungan bakal dilakukan dengan PH yang diterajui Presiden PKR itu jika UMNO tidak mendapat kerusi diperlukan bagi membentuk kerajaan pada PRU15 ini.

“Memang ada persefahaman antara Ahmad Zahid dan Anwar supaya lepas pilihan raya ini, kalau UMNO tak dapat sejumlah kerusi yang mencukupi untuk bentuk kerajaan, maka dia akan bergabung dengan parti PH dipimpin Anwar.

“Siapa di belakang Pakatan Harapan? Anwar Ibrahim? Bukan? DAP? DAP ini saudara pun tahu bagaimana ideologi DAP yang terbentuk sekian lama, dia menolak hak istimewa orang Melayu, tidak mendokong perjuangan Islam sebagai agama Persekutuan, banyak perkara bercanggah dengan kepentingan rakyat, khususnya orang Melayu,” katanya ketika berucap pada siri jelajah PN Best di Balok, Kuantan.

Pada 14 Oktober lalu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, UMNO dan PKR sedang mengadakan rundingan sulit untuk bekerjasama bagi menghadapi PRU-15.

Wan Saiful mendakwa, agenda untuk bekerjasama itu adalah bagi meminimumkan pertembungan dalam pilihan raya umum nanti seterusnya mengusahakan pembentukan kerajaan secara bersama antara kedua-dua parti itu.

Muhyiddin berkata, nasib rakyat akan menjadi pertaruhan jika kerjasama antara UMNO dan PH menjadi kenyataan selepas PRU15 ini.

Beliau turut mempersoalkan parti mana yang akan menguasai kerajaan jika UMNO dan PH bergabung membentuk jajaran baru.

“UMNO atau PH? Saya bimbang kalau ini berlaku, maka apakah nasib kita semua pada masa akan datang,” kata penyandang dan juga calon PN kerusi Parlimen Pagoh, Johor.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-