Wednesday, November 2, 2022

Selepas tak tercalon, Mastura bidas BN mungkiri janji 30 peratus calon wanita

agendaily.com
2/11/2022
Datuk Mastura Mohd Yazid.

Datuk Mastura Mohd Yazid mengkritik partinya sendiri, Barisan Nasional (BN) yang dilihat tidak cakap serupa bikin apabila tidak menunaikan janji untuk meletak lebih ramai calon wanita pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu yang namanya tercicir mempertikaikan BN yang dilihat tidak mengotakan janji untuk meletak sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita pada PRU-15, malah tiada satu calon wanita dinamakan di Perak dan Negeri Sembilan.

“Janji 30 peratus calon Wanita?? (Namun) Tak seorang pun Wanita UMNO dicalonkan untuk kerusi Parlimen di negeri Perak dan Negeri Sembilan,” kata Mastura dalam status Facebooknya malam ini.

Mastura yang juga Pengerusi Sekretariat Profesional Wanita UMNO, sebelum ini dilihat berkongsi kenyataan Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang menyambut baik keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bersetuju meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita pada PRU-15.

Mastura, 61, adalah antara beberapa nama dalam Kabinet kerajaan yang dikenal pasti digugurkan sebagai calon PRU-15 sejurus selesai Pengumuman Calon dan Serah Watikah BN yang bakal bertanding dalam PRU-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, malam tadi.

Tempat Mastura selaku penyandang Parlimen Kuala Kangsar, diganti serta dipertaruhkan dengan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan.

Untuk rekod, Mastura menang pada PRU-14 pada 2018 atas tiket BN apabila meraih 12,102 undi iaitu majoriti 731 undi menewaskan calon PKR, Dr Ahmad Termizi Ramli (11,371) serta calon PAS, Dr Khalil Idham Lim (6,583).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-