Thursday, November 3, 2022

Setelah ambil Rembau, Tok Mat kata Sungai Buloh ‘kerusi selamat’ Khairy

agendaily.com
03/11/2022
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Parlimen Sungai Buloh adalah kerusi selamat untuk Khairy Jamaluddin.

Setelah ambil kerusi Parlimen Rembau daripada penyandang Khairy Jamaluddin sejak tiga penggal lalu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Sungai Buloh adalah ‘kerusi paling selamat’ bagi Menteri Kesihatan itu.

Mohamad atau ‘Tok Mat’ yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata kerusi itu adalah yang ‘paling selamat’ kerana 70 peratus majoriti pengundinya adalah Melayu.

“Bertentangan dengan apa yang dikatakan oleh sesetengah orang, Sungai Buloh adalah kerusi yang sangat selamat untuk Barisan.

“Saya yakin KJ (Khairy) akan menang di sana,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan surat kebenaran kepada calon BN yang bertanding kerusi Parlimen di Negeri Sembilan di Wisma UMNO hari ini (3 November 2022), menurut laporan The Star.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) calon PKR R Sivarasa menang dengan majoriti 26,634 undi apabila memperoleh 43,631 undi berbanding calon PAS (16,997 undi); BN (16,681 undi); dan PSM (642 undi).

Pada PRU-15 ini, Khairy akan berdepan calon PKR yang masih belum diputuskan sama ada Sivarasa akan bertanding mempertahankan kerusinya atau tidak.

Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan wakil PAS Mohd Ghazali Md Hamin untuk bertanding di Sungai Buloh.

Mengulas lanjut Mohamad berkata antara sebab Khairy diletakkan di situ adalah kerana UMNO Bahagian Sungai Buloh gembira menerima beliau bertanding di situ.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Bulog Datuk Megat Firdouz Megat Junid juga adalah Setiausaha Politik Khairy.

“Adalah lebih baik untuk bertanding di kawasan yang jentera pilihan raya menyambut anda dengan tangan terbuka.

“Tidak ada gunanya bertanding kerusi di mana anda tidak akan mendapat sokongan pekerja parti,” katanya.

Mohamad berkata BN tidak berjaya di Sungai Buloh pada pilihan raya lalu kerana ramai pengundi mahukan calon daripada UMNO.

Sebelum ini, Parlimen Sungai Buloh adalah kerusi tradisi ditandingi MIC. Laporan baru-baru ini menyebut bahawa MIC Sungai Buloh menolak calon lain selain daripada parti mereka.

Mohamad juga menolak dakwaan bahawa langkah meletakkan Khairy di Sungai Buloh adalah untuk membunuh karier politiknya.

“Sungai Buloh akan baik untuk KJ, yang mempunyai masa depan yang panjang dan cerah dalam UMNO,” katanya.

Terdahulu, Mohamad menyampaikan surat kebenaran kepada calon BN yang akan bertanding pada 19 November ini.

Selain beliau sendiri, mereka yang terpilih adalah Datuk Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah), Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (Jempol), Ng Kian Nam (Rasah), Datuk Seri Jalaluddin Alias (Jelebu), Datuk Mohd Isam Mohd Isa (Tampin), Wong Yin Ting (Seremban) and Datuk P. Kamalanathan (Port Dickson).

Pada PRU-14, BN menang dikerusi Jempol, Jelebu dan Rembau, manakala kerusi lain dimenangi Pakatan Harapan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-