Thursday, November 3, 2022

SPRM siasat surat akujanji sokong Zahid jadi PM, gugur kes mahkamah

agendaily.com
03/11/2022
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan SPRFM membuka kertas siasatan terhadap surat akujanji menyokong Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan untuk meneliti surat akujanji yang dikatakan menyokong Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri Malaysia kesepuluh.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, yang mengesahkan perkara itu, berkata agensi berkenaan telah menerima laporan mengenai perkara itu.

“Kami telah menerima aduan mengenai surat tersebut dan dakwaan itu.

“SPRM akan membuka kertas siasatan supaya perkara itu dapat diteliti,” kata Azam menurut laporan The Star hari ini (3 November 2022).

Beliau berkata siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM kerana salah guna kuasa.

Menjawab soalan, Azam tidak menolak kemungkinan memanggil individu tertentu untuk direkodkan kenyataan mereka.

“Biar pegawai saya yang tentukan siapa yang perlu dihubungi. Mereka akan berbuat demikian selepas melihat dokumen yang telah diserahkan kepada mereka,” katanya.

Semalam, tular surat Akujanji yang ditandatangani calon-calon UMNO yang akan bertanding pada PRU-15 kali ini.

Surat yang tular dalam media sosial itu ditandatangani calon UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, ia antara lain menghendaki semua calon UMNO yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) supaya setia dan patuh kepada arahan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN.

Kandungan utama surat tersebut meminta semua calon UMNO dan BN menyokong Zahid sebagai calon Perdana Menteri sekiranya BN memenangi PRU-15 pada 19 November nanti.

Dalam surat tersebut semua calon juga perlu bersetuju supaya kes mahkamah yang sedang dihadapi pemimpin UMNO digugurkan dan siasatan dihentikan dengan serta-merta.

Bagaimanapun, Shamsul Anuar dalam satu kenyataan Facebook tampil membuat penafian berhubung surat tersebut.

“Disahkan bahawa Akujanji yang disebarkan dan sedang viral ini adalah palsu dan tidak benar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-