Tuesday, November 1, 2022

Tak puas hati dengan UMNO, 13 cawangan di Jempol tutup bilik gerakan

agendaily.com
1/11/2022
Penyandang kerusi Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif yang juga Ketua UMNO Bahagian Jempol dilaporkan tidak tersenarai sebagai calon pada PRU-15 kali ini. Gambar Facebook.

13 cawangan UMNO di Parlimen Jempol dilaporkan ditutup dipercayai susulan tidak berpuas hati dengan calon bukan pilihan yang diletakkan di kawasan tersebut, lapor BH.

Ia melibatkan UMNO cawangan Batu Kikir Timir, Kampung Gajah Mati, Kampung Kuala Kepis, Batu Kikir Pekan, Taman Melor, Rompin, Serting Hilir, Palong 13, Serting Hilir 7, Taman Seri Serting, Taman Seri Rompin, Serting Hilir 1 dan Palong 10.

Laporan itu menyebut berdasarkan senarai calon yang bocor sejak semalam, penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif yang juga Ketua UMNO Bahagian Jempol tidak tersenarai sebaliknya Timbalan Ketua UMNO bahagian, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli dicalonkan di kerusi terbabit.

Shamsulkahar ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

“Tunggu sehingga pengumuman oleh pucuk pimpinan parti,” katanya.

Setiausaha UMNO Bahagian Jempol, Zamri Omar berkata pihaknya kecewa dengan tindakan Shamsulkahar yang sebelum ini sudah menyatakan hasrat untuk tidak bertanding dan memaklumkan perkara itu dalam mesyuarat bahagian.

“Mohd Salim sudah lama menyusun gerak kerja bagi memperkukuh UMNO bahagian dan sudah bersedia bagi menghadapi PRU-15.

“Ahli jawatankuasa bahagian yang bermesyuarat semalam mengambil keputusan mahu menutup semua bilik gerakan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Jempol,” katanya pada sidang media di Jempol, hari ini.

Setakat ini, Pakatan Harapan sudah menamakan Ketua Wanita Amanah Negeri Sembilan, Norwani Ahmat sebagai calon kerusi tersebut.

Pada PRU-14, Mohd Salim menang 26,819 undi melawan Bersatu (25,188) dan PAS (5,267) dengan majoriti 1,631 undi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-