Tuesday, November 1, 2022

Zahida calon Padang Besar, ganti Zahidi yang disingkirkan?

agendaily.com
1/11/2022
Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.
  Foto kredit UMNO Online

Menjelang pengumuman calon Barisan Nasional (BN) yang dijadualkan malam ini, spekulas berhubung calon Parlimen Padang Besar yang baharu adalah Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

Penyandang kerusi Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin difahamkan sudah tercicir namanya daripada senarai calon dan UMNO-Barisan Nasional (BN) dijangka meletak muka baharu yang lebih jelita untuk pengundi di Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

Menurut laporan Utusan Online, nama Zahida disebut-sebut sebagai pengganti Zahidi, malah diperkuatkan lagi dengan maklumat sumber calon luar akan bertanding di Padang Besar.

Dakwaan tersebut diperkuat lagi apabila Zahidi sebelum itu meminta pucuk kepimpinan melihat semula senarai pencalonan yang dihantar bahagian itu dan menolak calon luar.

“Bahagian UMNO Padang Besar telah menghantar senarai lima calon seperti dikehendaki perlembagaan parti bagi PRU15.

“Sekiranya lima senarai tersebut tidak terpilih, ia mungkin akan melanggar perlembagaan parti dan sekiranya calon luar diletakkan di Padang Besar, ia mungkin menyebabkan sokongan penyokong berbelah-bagi,” kata Zahidi dipetik laporan tersebut.

Selain Zahidi, seorang lagi pemimpin lama UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim juga dikatakan tidak terpilih mempertahan kerusi Parlimen Arau dalam pilihan raya kali ini.

Zahidi menguasai Parlimen Padang Besar sejak dua penggal lalu iaitu pada Pilihan Raya Umum 2013 dan 2018. Sebelum itu, pada pilihan raya umum 1999 dan 2004, Zahidi menjadi penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Beseri.

BN akan mengumumkan nama calon mereka pada pukul 8 malam ini di ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) iaitu selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi parti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-