Wednesday, November 2, 2022

'Terima kasih Zahid kerana hancurkan perpaduan Umno Pasir Salak'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 2, 2022 9:33 AM
PRU15 | Beberapa ahli Umno bahagian Pasir Salak mengecam keputusan menggugurkan Tajuddin Abdul Rahman sebagai calon parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) seperti yang diumumkan malam tadi.

Mereka secara terbuka menolak pencalonan Khairul Azwan Harun dan menyindir keputusan itu dengan mengucapkan penghargaan kepada Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi kerana didakwa menyebabkan perpecahan Umno Pasir Salak.

Naib Ketua Umno Pasir Salak, Dr Faizal Tajuddin, yang juga anak Tajuddin mendakwa cadangan meletakkan bapanya sebagai calon untuk penggal keempat telah ditolak presiden Umno.

Katanya, keputusan itu dibuat walaupun mereka telah mendapatkan hampir tiga ribu tandatangan daripada ahli akar umbi bagi memohon sokongan kepada penyandang ahli parimen berkenaan.

Petisyen itu yang dilihat oleh Malaysiakini, ditujukan kepada Zahid; Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob dan Mahdzir Khalid dan Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad.

“Kami mengumpul (tandatangan) dalam masa 24 jam. Kalau kami ada lebih banyak masa, kami boleh mengumpulkan semua tandatangan daripada ahli.

"Tetapi masih lagi nama Tajuddin ditolak sebagai (calon) ahli parlimen. Sekali lagi, terima kasih presiden,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur selepas pengumuman calon BN malam tadi.

Kumpulan itu juga mengangkat sepanduk bertulis “Terima kasih presiden kerana hancur perpaduan Umno Pasir Salak”.

"Tidakkah mustahil untuk mengatakan bahawa mengumuman sebentar tadi, apa yang akan berlaku adalah perpecahan dalam sekelip mata Umno bahagian Pasir Salak.

"Jadi adakah top 5 atau presiden faham bahawa ini boleh berlaku?" soalnya.

Faizal berkata Tajuddin merupakan satu-satunya calon yang dicadangkan kepada pemimpin parti bagi mewakili Pasir Salak, manakala Khairul yang lebih dikenali sebagai Azwan Bro dicadangkan untuk kerusi Sungai Manik.

Selain mempersoalkan strategi parti, Faizal juga membidas Khairul kerana menerima pencalonan bagi kerusi parlimen berkenaan, dengan mendakwa jika Khairul adalah "pemain pasukan" dia akan menghormati keputusan bahagian.

Faizal bagaimanapun mengakui bapanya tidak digemari di kalangan rakan-rakannya, dengan mendakwa sekiranya Tajuddin tidak lantang dalam isu-isu tertentu dia akan kekal sebagai ahli majlis tertinggi Umno dan calon BN di Pasir Salak.

Bagaimanapun, bagi Faizal, isu peribadi tidak seharusnya menghalang Tajuddin untuk dicalonkan semula memandangkan pengorbanan dan pencapaian yang telah dilakukan penyandang ahli parlimen itu.

“Kami tidak dapat menggambarkan betapa kecewa dan kesalnya kami semua. Ia masih belum dapat dilihat sama ada pertukaran pencalonan akan memberi kesan besar kepada Pasir Salak.

“Kita akan lihat sama ada keputusan itu merupakan keputusan yang baik atau merugikan parti,” katanya.

Tajuddin sebelum ini beberapa kali secara terbuka menentang Zahid termasuk menggelar Zahid sebagai liabiliti terhadap Umno dan menunjukkan sokongan kepada Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-