Wednesday, November 2, 2022

Tolak pakatan Zahid-Anwar, sokong gandingan Muhyiddin-Hadi

agendaily.com
2/11/2022
Ketua Penerangan Bersatu yang juga calon Perikatan Nasional kerusi Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai agenda sulit atau rancangan untuk menyelamatkan pemimpin tertentu daripada sebarang kes, termasuk mahkamah, sekiranya menang Pilihan Raya Umum kKe-15 (PRU-15), pada 19 November ini.

Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata PN hanya bermatlamat untuk menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan semula ekonomi negara setelah terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Rakyat tidak mempunyai banyak pilihan yang munasabah. Barisan Nasional akan mengangkat Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Perdana Menteri dan keutamaan mereka adalah memperkaya diri dan menyelamatkan diri.

“Pakatan Harapan akan mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan agenda mereka akan merosakkan struktur asas Perlembagaan Negara.

“Malahan, Zahid pernah berpakat untuk mengangkat Anwar menjadi Perdana Menteri. Mereka berdua juga tidak pernah menafikan secara tuntas dakwaan bahawa ada pakatan untuk Zahid dan Anwar bekerjasama selepas PRU-15.

“Pilihan yang munasabah hanyalah satu iaitu Perikatan Nasional,” katanya yang juga calon PN bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Berikutan itu, Wan Saiful berkata pengundi hanya mempunyai PN sebagai pilihan dalam memastikan nasib rakyat Malaysia dapat dibela.

“Hanya Perikatan Nasional menawarkan kerajaan prihatin yang bersih dan stabil, di bawah kepimpinan dua tokoh hebat iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Saiful mengucapkan terima kasih kepada PN kerana mencalonkan beliau di Parlimen Tasek Gelugor pada PRU kali ini.

Nama Wan Saiful diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), malam tadi.

“Saya mohon pengundi Tasek Gelugor bantu saya untuk menyumbang satu kerusi yang akan digunakan untuk menolak pakatan Zahid-Anwar, dan menjulang kepimpinan Muhyiddin-Hadi.

“Tugas ini adalah satu amanah yang berat. Saya menerima tanggungjawab ini dengan penuh kesedaran bahawa ia adalah amanah dari parti demi rakyat dan negara, serta untuk kebaikan seluruh warga Tasek Gelugor.

“Walaupun PRU-15 dijangka menyaksikan pertandingan banyak penjuru di seluruh negara, sebenarnya rakyat tidak mempunyai banyak pilihan yang munasabah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-