Monday, November 21, 2022

UMNO Johor bantah kerjasama dengan PH

agendaily.com
21/11/2022
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.

UMNO Johor menolak kerjasama BN-PH bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang membabitkan DAP.

“Buat masa sekarang, keutamaan parti-parti politik di Malaysia adalah untuk membentuk sebuah koalisi politik yang stabil dan kerajaan yang berfungsi serta moderat untuk memimpin Malaysia mendepani cabaran-cabaran sosial dan ekonomi masa hadapan.

“Oleh yang demikian, UMNO Johor berpendirian bahawa koalisi politik yang dibentuk tidak perlu melibatkan parti DAP,” kata Pengerusinya, Datuk Seri Hasni Mohammad dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini media melaporkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama beberapa pimpinan BN mengadakan pertemuan dengan pimpinan PH termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara dipercayai bagi membincangkan hal pembentukan kerajaan itu.

Namun usaha Zahid itu ditentang beberapa pemimpin termasuk Hishamuddin dan beberapa pimpinan lain.

Dalam kenyataan sama, Hasni berkata keputusan PRU-15 itu merupakan isyarat jelas rakyat kepada UMNO dan BN di mana pihaknya melihat Zahid akan bertanggungjawab atas keputusan tersebut.

“Oleh yang demikian, UMNO Johor percaya Presiden UMNO akan mengambil tanggungjawab yang jelas dan berprinsip demi kelangsungan parti dan orang Melayu amnya.

“Justeru pemilihan UMNO yang bakal diadakan tidak lama lagi perlulah berlangsung berdasarkan kerangka pemulihan UMNO. Keyakinan pengundi kepada parti ini perlu segera dipulihkan agar UMNO kembali diyakini semua rakyat Malaysia,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-