Showing posts with label Johor. Show all posts
Showing posts with label Johor. Show all posts

Monday, February 10, 2025

Sila tanding semua kerusi, pemimpin Umno Johor cabar PH

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
0 Feb 2025, 06:08 PM

Ketua Umno Sri Gading Lassim Burhan berkata kenyataan PKR dan Amanah sering bangkit isu agihan kerusi untuk PRN16 mencerminkan sikap gelojoh serta pentingkan diri.
Ketua Umno Sri Gading Lassim Burhan berkata Umno negeri belum pernah membincangkan pembahagian kerusi untuk PRN16. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin akar umbi Umno Johor mencabar parti komponen Pakatan Harapan (PH) bertanding di semua 56 DUN pada PRN akan datang, selepas Pemuda PKR negeri meminta Umno tidak mendominasi kerusi berpotensi dimenangi mereka.

Ketua Umno Sri Gading Lassim Burhan berkata kenyataan pemimpin PKR itu dan Amanah sering membangkitkan isu pembahagian kerusi menjelang PRN Johor ke-16 mencerminkan sikap gelojoh dan pentingkan diri gabungan itu.

“Lebih baik AMK (Pemuda PKR) dan sekutunya bertanding semua kerusi tanpa memikirkan soal berapakah kerusi yang akan Umno tandingi pada PRN16 nanti.

“Tiada siapa yang sibuk nak halang kamu bertanding,” katanya dalam kenyataan sambil menegaskan Umno bukan parti komponen PH.

“Umno boleh bertanding semua (DUN) dan Umno juga boleh memilih kerusi mana yang dirasakan sesuai untuk ditandingi.”

Tegasnya, Umno Johor belum pernah membincangkan pembahagian kerusi untuk PRN16.

“Gambaran yang diberikan pula seolah-olah Umno tamak dan PRN akan berlangsung esok.”

Terdahulu, Naib Ketua Pemuda PKR Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad, berkata rundingan pembahagian kerusi pada PRN akan datang perlu mempraktikkan prinsip menang-menang melibatkan PH dan BN.

Katanya, kerajaan negeri diketuai Onn Hafiz Ghazi perlu membuktikan keikhlasan bekerjasama dengan menjemput pemimpin PH menyertai pentadbiran negeri di pelbagai peringkat, termasuk jawatan ketua kampung.

Disember lalu, Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, Parlimen Muar dan DUN Puteri Wangsa yang dimenangi Muda pada pilihan raya lalu perlu diserahkan kepada PH memandangkan dua kerusi itu diberikan kepada Muda yang menjadi rakan sekutu politik PH ketika itu.

Tuesday, October 29, 2024

Polis siasat insiden kibar bendera asing di Johor Bahru

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
29 Oct 2024, 11:13 AM

Program anjuran sebuah pertubuhan kebudayaan di Sentosa itu kelmarin menghimpunkan penganut agama membabitkan lebih daripada 10 negara.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat berkata siasatan termasuk di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949. (Facebook pic)

PETALING JAYA: Polis membuka kertas siasatan terhadap insiden tular pengibaran bendera negara luar oleh sekumpulan individu dalam satu acara perarakan festival budaya antarabangsa di Sentosa, Johor Bahru malam kelmarin.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata polis menerima satu video tular semalam yang menunjukkan sekumpulan individu berkenaan mengibarkan bendera negara luar.

Menurutnya, program anjuran sebuah pertubuhan kebudayaan itu menghimpunkan penganut agama membabitkan lebih daripada 10 negara.

“IPD Johor Bahru Selatan telah menerima satu laporan polis berhubung pengibaran negara luar dalam perarakan itu pada 3 petang semalam.

“Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Beliau berkata pihaknya akan memanggil penganjur dan saksi terbabit acara berkenaan bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi talian Hotline Johor Bahru selatan 07-2182323 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Thursday, September 5, 2024

PAS Johor akur Bersatu tanding PRK Mahkota, akan bantu calon menang

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin-05 Sep 2024, 10:00 AM

Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin berkata pihaknya tidak akan merayu terhadap keputusan pucuk pimpinan membenarkan Bersatu bertanding pada PRK Mahkota.
Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin berkata tidak timbul soal boikot kerana siapa saja calonnya, mereka tetap dari Perikatan Nasional. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: PAS Johor menegaskan tidak timbul soal boikot kerana mereka akur dengan keputusan pucuk pimpinan membenarkan Bersatu bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) pada PRK Mahkota 28 Sept ini.

Pesuruhjayanya, Abdullah Husin berkata PAS Johor tidak akan merayu terhadap keputusan muktamad pucuk pimpinan itu.

Kita dari awal sudah putuskan kita serah kepada pusat buat keputusan akhir dan bila pusat buat keputusan, sudah pasti telah mengambil kira pelbagai faktor, jadi kita terima, kata Abdullah yang juga naib pengerusi PN Johor kepada FMT.

Kita akan bantu menangkan calon PN di PRK Mahkota, tak berbangkit soal boikot ke apa sebab beberapa pilihan raya kita guna lambang PN, jadi siapa saja calon, mereka tetap dari PN.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, PN memutuskan Bersatu akan bertanding pada PRK Mahkota selepas mengambil kira kerusi itu milik Bersatu sebelum ini.

Menurutnya, pengumuman calon dijangka dibuat seminggu sebelum hari penamaan calon pada 14 Sept ini.

PRK Mahkota akan diadakan 28 Sept ini susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.

Sharifah Azizah yang juga ketua Wanita Umno Kluang sejak 1993 merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri itu daripada Pakatan Harapan dengan majoriti 5,166 undi pada PRN Mac 2022.

Thursday, April 25, 2024

PM nafi pertimbang tubuhkan kasino di Forest City

malaysiakini.com
Haspaizi Zain
Diterbitkan: Apr 25, 2024 3:07 PM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan laporan media berhubung dakwaan kerajaan sedang dalam rundingan untuk membuka kasino di Forest City di Johor.

Anwar juga berkata laporan berkenaan adalah tidak benar sama sekali.

"(Pertimbangan) Lesen kasino tak betul, tak betul...itu tipu," katanya ringkas ketika ditemui di majlis rumah terbuka Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Komunikasi di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, laporan Bloomberg memetik sumber sebagai mendakwa, Malaysia sedang berunding dengan beberapa taikun untuk menubuhkan kasino di sana dan Anwar telah bertemu dengan pengasas Berjaya Corp Vincent Tan dan Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting pada minggu lalu.

menurut laporan itu, wakil Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, serta pegawai kanan kerajaan lain, turut hadir pada mesyuarat itu. Sultan Ibrahim adalah antara pemegang saham projek itu.

Bagaimanapun, menurut laporan itu, perbincangan mengenai projek kasino berkenaan masih dalam peringkat awal.

Friday, February 16, 2024

Ketua bahagian Umno tak puas hati rombakan exco Johor

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
16 Feb 2024, 9:30am

Ketua-ketua bahagian mendesak pentadbiran negeri agar menggugurkan exco yang tiada jawatan pada peringkat bahagian, menurut sumber.
Hanya tiga ketua bahagian Umno tersenarai dalam barisan baharu exco Johor, iaitu (dari kiri) Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi (Simpang Renggam); Zahari Sarip (Segamat) dan Jafni Shukor (Kulai).

PETALING JAYA: Beberapa ketua bahagian Umno di Johor tidak senang dengan rombakan portfolio exco negeri baru-baru ini, kerana menurut mereka, pemimpin-pemimpin lain yang lebih layak tidak mendapat tempat dalam barisan pentadbiran negeri.

Seorang ketua bahagian, yang enggan namanya disiarkan berkata, rombakan itu sepatutnya melibatkan lebih ramai ketua bahagian.

Rombakan yang diumumkan pada Selasa menyaksikan hanya tiga ketua bahagian Umno terlibat, iaitu Ketua Umno Simpang Renggam Onn Hafiz Ghazi, yang juga menteri besar Johor; Ketua Umno Segamat, Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Zahari Sarip; dan Ketua Umno Kulai, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Jafni Shukor.

Sumber itu berkata, ketua-ketua bahagian mendesak agar pentadbiran negeri menggugurkan exco yang tidak memegang jawatan pada peringkat bahagian.

“Bagaimanapun, apabila barisan (exco) baharu diumumkan, itu tidak berlaku,” katanya.

Majoriti barisan 10 exco pilihan Onn Hafiz terdiri daripada Adun yang tidak memegang sebarang jawatan pada peringkat bahagian, kata sumber itu.

“Ramai Adun lain yang juga ketua bahagian lebih layak, dan sepatutnya dipertimbangkan (sebagai exco),” katanya.

Sementara itu seorang lagi ketua bahagian yang juga enggan namanya disiarkan bersetuju bahawa jawatan exco sepatutnya diserahkan kepada ketua-ketua bahagian.

“Mereka juga mampu memikul tugas itu, jadi saya tidak nampak apa salahnya beri mereka jawatan itu,” katanya.

Tambahnya, langkah melantik ketua bahagian dalam barisan exco juga menunjukkan bahawa kepimpinan parti percaya kepada ahlinya.

“Ini akan mendorong ketua bahagian yang juga exco bekerja lebih keras untuk parti, yang akan membantu parti mencapai prestasi lebih baik pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, Pemuda Umno Johor berpuas hati dengan rombakan tersebut, menurut ketuanya, Noor Azleen Ambros.

Pelantikan itu diputuskan oleh menteri besar dan mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, katanya.

Antara yang dilantik sebagai exco ialah Aznan Tamin, yang belum pun berusia 40 tahun. Beliau ditugaskan portfolio pendidikan dan penerangan.

Sumber itu berkata, pelantikan Aznan melengkapi semangat Pemangku Sultan dan menteri besar, yang masing-masing berusia 39 tahun dan 44 tahun.

Dalam rombakan exco pada Selasa lepas, hanya Norliza Noh digugurkan, dengan portfolionya diambil alih Aznan, sementara portfolio beberapa exco lain ditukar.

Saturday, September 2, 2023

Isu kerjasama UMNO-DAP buat akar umbi berterusan beralih hati

bharian.com.my
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
bhnews@bh.com.my
 - September 2, 2023 @ 2:57pm
KUALA LUMPUR: Tindakan pemimpin UMNO yang memberi gambaran atau persepsi positif terhadap DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram tidak mudah memikat 'hati' penyokong parti itu untuk mengundi calon Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan menjangka peralihan undi oleh pengundi atau penyokong UMNO yang tercetus semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini kepada Perikatan Nasional (PN) akan berlaku lagi dalam PRK Pulai, Simpang Jeram dan Pelangai.

"Mereka melihat UMNO tidak mampu menangani isu dominan DAP dalam Kerajaan Persekutuan. Ini menyebabkan (pengundi UMNO) beralih 'hati'.

"Alternatif mereka adalah PAS dan pengundi UMNO tidak akan berasa bersalah mengundi calon PAS serta tidak mengundi calon AMANAH dalam kes ini," katanya.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin UMNO yang memberikan persepsi positif terhadap DAP bagi menarik pengundi parti itu untuk mengundi calon PH dalam PRK Pulai dan Simpang Jeram.

Turut sependapat, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, yang menyatakan tidak ada jaminan penjelasan dibuat oleh pemimpin UMNO dalam memberikan persepsi positif terhadap DAP akan menambat hati penyokong mereka mengundi calon PH.

"Ini bergantung kepada sejauh mana penjelasan itu dapat diterima sepenuhnya atau diterima sebahagiannya.

"Yang penting, penjelasan itu perlu diberikan secara menyeluruh dan perlu ditembusi di setiap pusat daerah mengundi (PDM).

"Sejauh mana luasnya pencerahan itu, ia bergantung kepada gerak kerja yang ada. Tapi setakat ini, belum ada jaminan untuk mampu menambat 'hati' penyokong UMNO," katanya.

Awang Azman turut berpendapat pemimpin UMNO perlu kerap 'turun ke bawah' bagi menjelaskan mesej dan rasional kerjasama antara UMNO dengan PH supaya ia dapat difahami oleh akar umbi parti.

"Ramai yang keliru, tidak faham dan maklumat yang mereka terima itu tidak dikemaskini. Jadi, ia perlu dijelaskan kepada akar umbi," katanya.

Jangan bagi pelampau kuasai negara - Mat Sabu

malaysiakini.com
Shakira Buang
Diterbitkan: Sep 2, 2023 9:15 AM
Perpaduan yang dibina di negara ini perlu terus utuh agar sebarang bentuk ekstremisme yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama dapat dielakkan.

Justeru, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata kemenangan wakil calon kerajaan perpaduan dalam dua pilihan raya kecil (PRK) pada 9 September ini disifatkan sebagai penting.

Tegas Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan ia juga bagi menyekat kemaraan puak pelampau agama dan kaum.

“Kemenangan calon wakil kerajaan ini penting kerana kita tidak mahu golongan pelampau kaum atau pelampau agama menguasai keadaan (pentadbiran kerajaan).

“Kita lihat di beberapa negara Islam lain yang telah musnah dan hancur hingga mengakibat rakyatnya susah dan miskin, porak peranda dan sebagainya.

“Kita tidak mahu adu domba luar, sebaliknya kita bina perpaduan antara kaum ini antaranya melalui kerajaan perpaduan yang ada hari ini,” katanya ketika berucap dalam ceramah Pakatan Harapan di Wisma DAP Muar, Taman Sakeh Baru, malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Bakri Tan Hong Pin.

Isu kaum bukan masalah negara

Sementara itu, ketika berucap di pentas yang sama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan soal hubungan antara kaum kini bukanlah menjadi masalah kepada negara.

Sebaliknya Loke berkata masalah yang dihadapi negara ketika ini adalah politik daripada puak pelampau.

“Hari ini kita punya isu bukan isu perkauman, bukan isu antara Melayu dengan Cina atau India.

“Hari ini masalahnya bukan soal hubungan antara kaum antara Melayu, Cina dan India tetapi masalah kita ialah ada puak-puak yang mengamalkan politik melampau, politik ekstrem, yang akan memecah belahkan negara kita ini,” katanya.
Justeru, Loke mengingatkan pihak yang cenderung memainkan isu berbaur 3R (raja, agama dan kaum) tidak mengadu domba soal kaum di negara ini.

“Tak payah bermusuhan di antara satu sama lain, kita tiada masalah untuk duduk bersama. Melayu, Cina dan Iindia duduk bersama berpuluh tahun tiada menjadi masalah

“Cina bukan musuh kepada Melayu dan Melayu juga bukan musuh kepada orang India dan Cina, kita sama-sama rakyat Malaysia,” katanya.

Bagi memastikan perpaduan yang ada di negara ini kekal utuh Loke mengingatkan pentingnya untuk pengundi di dua kawasan pilihan raya kali ini iaitu di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram untuk keluar mengundi.

“Undi pada 9 September ini bukan saja memilih seorang wakil rakyat, memilih seorang wakil rakyat adalah tanggungjawab tetapi apa yang lebih penting adalah memilih hala tuju negara.

“Kita hanya ada satu pilihan iaitu memilih untuk memastikan negara kita terus bersatu padu mengamalkan politik bekerjasama, berbilang kaum, satu masyarakat majmuk adalah pilihan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Mengundi bagi hala tuju negara

Tambah Loke, pengundi juga perlu keluar mengundi bagi memilih hala tuju negara.

“Jalan ekstrem bukan pilihan kita, jalan (pemikiran) sempit bukan pilihan kita. Politik perkauman bukan pilihan kita, kita hanya ada satu pilihan iaitu menjayakan projek perpaduan ini, menjayakan kerajaan perpaduan bermaksud menjayakan masyarakat majmuk di negara kita.

“Jadi PRK kali ini ialah nak memastikan bahawa hala tuju politik negara kekal politik sederhana, kekal politik pelbagai kaum kerana PH bersama dengan BN kita punya politik adalah pelbagai kaum,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agong Amanah Hatta Ramli menyatakan keyakinannya bahawa dengan kemenangan calon wakil kerajaan dalam dua PRK kali ini akan dapat menutup mulut pembangkang yang berusaha mahu menghancurkan demokrasi dan kerajaan yang ada hari ini.
“Kerja mereka tak lain adalah nak jatuhkan kerajaan. Kita baru nak mula bangun semula selepas pelbagai episod dalam negara, kita baru nak bentuk kerajaan, baru sembilan bulan (mentadbir) diganggu tanpa henti.

“Tetapi percayalah kalau kita menangkan saudara Nazri Abdul Rahman di Simpang Jeram dan Suhaizan Kayat di Pulai, kita akan tutup mulut pembangkang-pembangkang ini.

“Mereka tidak lagi boleh mengatakan mereka mahu jatuhkan kerajaan,” katanya.

Jelas Hatta, usaha berterusan pihak pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada juga adalah satu kesalahan politik yang sepatutnya tidak boleh dibenarkan.

“Kita tak boleh jatuhkan kerajaan melainkan melalui pilihan raya, bukan sepanjang masa. Kalau begitu kita tidak akan berhenti berlawan. Jadi kita perlu bersatu, kita nak perpaduan dan inilah kerajaan perpaduan yang telah dibina.

“Biar kita mentadbir, cukup lima tahun kemudian buat penilaian. Kita bebas untuk memilih sekali lagi untuk lima tahun akan datang.

“Nak bawa Abdul Hadi ke Muhyiddin Yassin ke …tetapi biarkan kerajaan sedia ada laksanakan tanggungjawabnya dan kita nilai kemudian,” tegasnya.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan kematian penyandang kedua-dua kerusi tersebut Datuk Seri Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lepas.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September ini, masing-masing bakal menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon PH, Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.

Bagi Parlimen Pulai, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Suhaizan dari PH akan berdepan dengan Zulkifli Jaafar dari PN dan Samsudin Mohamad Fauzi, calon Bebas yang akan menggunakan simbol kunci.

Di Simpang Jeram, Nazri yang merupakan Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri bersaing dengan calon PN iaitu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya dan calon Bebas yang juga ahli perniagaan, S Jeganathan.

Tuesday, August 29, 2023

Alasan ‘selamatkan Islam’ pandang rendah pemikiran rakyat Johor, kata Jazlan

freemalaysiatoday.com
Mohamad Fadli
 - 29 Aug 2023

Rakyat Johor bukan sahaja berpengetahuan tinggi tentang Islam tetapi juga mendakap kemajmukan negeri mereka, tegas Nur Jazlan Mohamed.
Hadi Awang guna slogan ‘selamatkan Islam’ seolah-olah tak percayakan orang Melayu, kata Nur Jazlan Mohamed. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Presiden PAS Hadi Awang dibidas kerana didakwa merendahkan pemikiran rakyat Johor apabila memujuk mereka memilih Perikatan Nasional atas alasan untuk ‘menyelamatkan Islam’.

Pemimpin Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed percaya rakyat Johor tidak akan termakan alasan itu kerana mereka mendakap kemajmukan negeri itu.

“Masa PRN enam negeri dia pakai alasan yang sama di Kelantan, Terengganu, dan Kedah…keadaan di Johor tak sama kerana masyarakat majmuk,” kata ketua Umno Pulai itu kepada FMT.

Jazlan turut mengingatkan Hadi bahawa rakyat Johor yang beragama Islam telah dididik mengenai agama, menerusi sistem kerajaan negeri yang “telah melahirkan orang Melayu yang berpengetahuan tinggi mengenai Islam.”

“Dia menggunakan slogan ‘selamatkan Islam’ seolah-olah dia tak percayakan orang Melayu,” katanya, sambil mempertikaikan alasan itu digunakan di negeri yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Hadi pada Ahad lepas menggesa ahli Umno memilih calon PN pada PRK DUN Simpang Jeram atas alasan itu tanggungjawab mereka untuk menyelamatkan Islam.

PRK DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai akan ke peti undi pada 9 Sept.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata Hadi cuba mengaburi ahli Umno dengan alasan ‘selamatkan Islam’.

“Ternyata PAS mengeksploitasi sentimen agama untuk dapatkan kuasa,” dakwanya.

Puad mendakwa kemenangan PAS di Simpang Jeram akan menyebabkan parti itu terus-menerus menggunakan sentimen agama.

“Bangsa Johor mesti menghalangnya,” katanya.

Puad menambah kehadiran 13 Adun Pakatan Harapan sudah cukup untuk jadi pengimbang yang berkesan di Dewan Undangan Negeri Johor.

Jentera PH-BN serasi di Pulai, Simpang Jeram - Akmal Saleh

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 29, 2023 8:45 AM
Keserasian jentera Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dilihat menyerlah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, kata Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh.

Dr Muhamad Akmal berkata keserasian yang dipamerkan jentera PH-BN, khususnya komitmen daripada jentera Pemuda Umno pada PRK Itu lebih mantap, berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini, sekali gus menghentikan tomahan yang kononnya BN Johor menolak calon PH khususnya di Pulai iaitu Suhaizan Kaiat.
Beliau berkata Pemuda Umno di semua peringkat cawangan di Pulai, bersolidariti menyokong Suhaizan yang mewakili gabungan PH-BN dan memastikan kerusi itu kekal milik PH.

“Walapun pertama kali BN tidak bertanding di kerusi Pulai, atas semangat perpaduan kita (PH-BN) kita bersama-sama bersolidariti menyokong calon PH.

“Keserasian antara jentera juga saban hari semakin bertambah baik dan momentum ini, akan berterusan sehingga 9 Sept (hari mengundi) ini,” katanya kepada pemberita pada sesi ceramah kelompok yang turut dihadiri Suhaizan di Taman Cempaka, Kempas di Johor Bahru malam tadi.

Dr Muhamad Akmal berkata di peringkat akar umbi BN pula, jentera serta kepimpian parti akan terus memberi penjelasan, agar kefahaman mengenai kerjasama gabungan Kerajaan Perpaduan, dapat diperkukuh dan diterjemahkan dalam bentuk undi memenangkan calon PH.

Pada PRK Parlimen Pulai Suhaizan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon PN Zulkifli Jaafar dan Samsudin Mohamad Fauzi yang akan bertanding sebagai calon Bebas.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar di dua kerusi jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 Sept diikuti hari pengundian 9 Sept.

- Bernama

Sunday, August 27, 2023

PRK: Undi calon PN untuk selamatkan negara; Islam, Hadi beritahu ahli Umno

freemalaysiatoday.com
Mohd Farhan Darwis
 - 27 Aug 2023

Abdul Hadi Awang meminta penyokong atas pagar Umno “insaf” dan bertanggungjawab selamatkan negara dan Islam.
Abdul Hadi Awang berkata PAS tidak pernah berhasrat menggantikan Umno, sebaliknya hanya berusaha menjayakan penyatuan ummah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang “memujuk” ahli Umno mengundi calon Perikatan Nasional (PN) di PRK DUN Simpang Jeram dengan alasan tindakan itu tanggungjawab mereka untuk menyelamatkan negara dan Islam.

Menurut Hadi, penyokong Umno juga perlu mengundi calon PN Dr Mohd Mazri Yahya atas alasan semak dan imbang walaupun kemenangan itu tidak mampu menukar kerajaan negeri dikuasai Barisan Nasional (BN).

“Orang Umno di Johor kena fikir panjang sebelum mengundi, ada kewajipan nak selamatkan negara, walaupun tidak memerintah, tetapi satu kerusi inilah amar makruf nahi mungkar di DUN demi selamatkan agama dan umat.

“Saya harap sahabat Umno atas pagar insaf, tanggungjawab nak selamatkan negara bersama Islam, walaupun satu kerusi makna sangat besar kerana kerusi ini akan jalankan amar makruf nahi mungkar di DUN,” katanya dalam ceramah di Muar malam tadi.

Pada PRK Simpang Jeram 9 Sept depan, Mazri ditentang Nazri Abdul Rahman dari Pakatan Harapan (PH) dan calon bebas S Jeganathan.

PRK diadakan susulan kekosongan luar jangka kerana kematian penyandangnya Salahuddin Ayub, 23 Julai lalu. Proses sama juga berlangsung di Parlimen Pulai yang turut diwakili bekas menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup itu.

Dalam ceramah itu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut menjelaskan partinya sama sekali tidak pernah berhasrat menggantikan Umno sebaliknya hanya berusaha untuk perpaduan dan penyatuan ummah.

“Bila masa PAS nak bunuh Umno?, itu sahaja dalam kepala dia (pemimpin Umno),” katanya

Sementara itu, AJK PAS Pusat Ahmad Amzad Hashim dalam ceramah sama juga menyentuh soal penyatuan ummah, merujuk kerjasama Umno dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) yang wujud selepas BN tewas PRU14.

Katanya, PAS sentiasa berpegang kepada hasrat tersebut dengan menjaga hubungan baik dengan sesama ahli Umno.

Saturday, August 26, 2023

Saya tak ada hak pertikai kegilaan Sanusi - Zahid

malaysiakini.com
Alyaa Alhadjri
Diterbitkan: Aug 26, 2023 10:52 AM
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi memperolokkan kenyataan pengarah pilihan raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Umno bakal "berkubur" dalam dua pilihan raya kecil (PRK) di Johor.

"Tanyalah dia kenapa dia cakap macam tu. Saya tak ada hak untuk mempertikaikan kegilaan seseorang," kata Ahmad Zahid sambil tertawa kepada pemberita di luar Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Sanusi semalam yang mendakwa Johor bukan lagi kubu kuat BN dan PN bakal menewaskan pencabarnya di parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Sanusi dilapor berkata pengundi akan terus menolak Umno dalam PRK itu disebabkan kerjasama parti itu dengan PH dan pengerusinya, Anwar Ibrahim.

“Sampai masa sudah, BN-PH akan terbalik dengan gelombang ini. Di sana (Johor) dilahirkan di sana juga kuburnya. Bukan lagi kubu kuat,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Terdahulu Ahmad Zahid bersama pemimpin dan penyokong BN dan PH mengiringi calon gabungan itu bagi kerusi Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat ke pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bharu.

Saingan 3 penjuru di Pulai, Simpang Jeram

freemalaysiatoday.com
Mohamad Fadli
 - 26 Aug 2023

PH yang akan mempertahankan kerusi itu dicabar calon PN dan bebas.
(Gambar Facebook Suhaizan Kayat)

PETALING JAYA: PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan bebas.

Calon PH Suhaizan Kaiat akan berdepan Zulkifli Jaafar daripada PN dan Samsudin Mohamad Fauzi (bebas) bagi kerusi Pulai.

Suhaizan adalah bekas speaker DUN Johor, naib pengerusi Amanah negeri dan ketua Amanah Pulai.

Manakala Zulkifli, usahawan kelahiran Tampoi adalah timbalan ketua Bersatu Pulai.

DUN Simpang Jeram pula menyaksikan calon PH Nazri Abdul Rahman berdepan Dr Mohd Mazri Yahya daripada PN dan Jeganathan Subramaniam (bebas).

Nazri adalah timbalan ketua Amanah Bakri, manakala Mazri, pakar bedah vaskular dan endovaskular adalah timbalan pesuruhjaya PAS Johor merangkap Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

PRK kedua-dua kerusi itu diadakan susulan kekosongan luar jangka kerana kematian penyandangnya Salahuddin Ayub, 23 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal pada 5 Sept dan 9 Sept sebagai hari mengundi.

Pada PRU14, Salahuddin merampas Pulai daripada Barisan Nasional dengan kelebihan 28,924 undi. Beliau menewaskan dua pencabar lain dengan 33,174 undi pada PRU15 dengan memperoleh 64,900 berbanding calon BN, Nur Jazlan Mohamed (31,726) dan calon PN, Loh Kah Yong (20,677).

DUN Simpang Jeram yang terletak dalam Parlimen Pulai mempunyai sekitar 55% pengundi Melayu. Ia pernah dimenangi PAS pada PRU12 dan PRU13.

PH merampasnya pada PRU14 dengan majoriti 7,687 undi. Gabungan itu mempertahankan kerusi tersebut pada PRN Johor 2022, menyaksikan kelebihan undi berkurangan kepada 2,399.

Pada PRN Johor 2022, Salahuddin memperoleh 8,749 undi mengalahkan calon BN, Lokman Md Don (6,062) dan Zarul Salleh daripada PN (6,350).

Ahmad Zahid, Hamzah Zainuddin iring calon PRK PULAI

hmetro.com
Ogos 26, 2023 @ 9:44am
Gambar kiri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengiringi calon Kerajaan Perpaduan Suhaizan Kaiat. Gambar kanan, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta beberapa pemimpin bersama penyokong PN hadir mengiringi calon mereka, Zulkifli Jaafar.

JOHOR BAHRU: Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengiringi calon Kerajaan Perpaduan Suhaizan Kaiat bagi proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, hari ini.

Ahmad Zahid yang berbaju korporat BN bersama rombongan penyokong Kerajaan Perpaduan berarak bersama calon ke pusat penamaan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bharu pada 8.45 pagi.

Turut mengiringi calon, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu, Pengerusi UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta beberapa pemimpin Kerajaan Perpaduan.

Sepanjang perarakan, kumpulan merah-biru tua daripada Kerajaan Perpaduan itu turut mengibarkan bendera parti-parti dalam gabungan itu selain melaungkan takbir serta slogan "Kerajaan Perpaduan" dan "Malaysia MADANI".

Sementara itu, bagi pihak Perikatan Nasional (PN), Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta beberapa pemimpin bersama penyokong PN hadir mengiringi calon mereka, Zulkifli Jaafar.

Suhaizan merupakan calon pertama yang tiba di pusat penamaan calon pada 8.45 pagi diikuti Zulkifli pukul 8.46 pagi dan Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) Samsudin Mohamad Fauzi yang akan bertanding sebagai calon Bebas pada 8.50 pagi.

Suasana di pekarangan pusat penaman calon juga "hangat" dan meriah dengan sorakan penyokong daripada setiap parti politik selain membawa sepanduk dan bendera sebagai simbolik solidariti bersama calon.

Bagi menjamin kelancaran serta keselamatan, sebanyak 2,500 anggota dan pegawai polis ditugaskan di sini termasuk memasang penghadang serta kawat berduri bagi memisahkan kumpulan parti politik serta mengelakkan sebarang konfrontasi dan provoksi antara kumpulan itu.

Sementara itu di MUAR, calon AMANAH yang mewakili gabungan BN-PH (Pakatan Harapan) Nazri Abdul Rahman tiba di pusat penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim kira-kira 9.05 pagi.

Nazri yang juga Timbalan Ketua AMANAH Bakri diiringi Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari.

Turut hadir mengiringi Nazri ialah Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa dan Ahli Parlimen Bakri Tan Hong Pin daripada DAP.

Terdahulu, Nazri bersama kira-kira 1,000 penyokong yang memakai pakaian parti berwarna merah dan biru, berarak sejauh 800 meter di sepanjang jalan menuju ke pusat penamaan, sambil melaungkan "Kerajaan Perpaduan".

Proses penamaan calon bermula 9 pagi tadi dan calon-calon mempunyai tempoh sejam hingga 10 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan masing-masing.

PRK Pulai dan Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan serentak dengan hari pengundian awal pada 5 September, diikuti hari pengundian 9 September. 

-- BERNAMA

Monday, November 21, 2022

UMNO Johor bantah kerjasama dengan PH

agendaily.com
21/11/2022
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.

UMNO Johor menolak kerjasama BN-PH bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang membabitkan DAP.

“Buat masa sekarang, keutamaan parti-parti politik di Malaysia adalah untuk membentuk sebuah koalisi politik yang stabil dan kerajaan yang berfungsi serta moderat untuk memimpin Malaysia mendepani cabaran-cabaran sosial dan ekonomi masa hadapan.

“Oleh yang demikian, UMNO Johor berpendirian bahawa koalisi politik yang dibentuk tidak perlu melibatkan parti DAP,” kata Pengerusinya, Datuk Seri Hasni Mohammad dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini media melaporkan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama beberapa pimpinan BN mengadakan pertemuan dengan pimpinan PH termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara dipercayai bagi membincangkan hal pembentukan kerajaan itu.

Namun usaha Zahid itu ditentang beberapa pemimpin termasuk Hishamuddin dan beberapa pimpinan lain.

Dalam kenyataan sama, Hasni berkata keputusan PRU-15 itu merupakan isyarat jelas rakyat kepada UMNO dan BN di mana pihaknya melihat Zahid akan bertanggungjawab atas keputusan tersebut.

“Oleh yang demikian, UMNO Johor percaya Presiden UMNO akan mengambil tanggungjawab yang jelas dan berprinsip demi kelangsungan parti dan orang Melayu amnya.

“Justeru pemilihan UMNO yang bakal diadakan tidak lama lagi perlulah berlangsung berdasarkan kerangka pemulihan UMNO. Keyakinan pengundi kepada parti ini perlu segera dipulihkan agar UMNO kembali diyakini semua rakyat Malaysia,” katanya.

Saturday, December 25, 2021

‘Kerajaan satu majoriti Johor’ kaji kemungkinan adakan PRN

agendaily.com
25/12/2021

Kerajaan gabungan BN/PN Johor kini memiliki 28 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala pembangkang 27 kerusi. - Gambar FB

Susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian, kerajaan Johor pimpinan UMNO yang disokong Bersatu dan PAS, kini hanya memiliki kelebihan satu kerusi, berbanding pembangkang.

Berdasarkan laman sesawang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mempunyai 56 kerusi, dengan UMNO menguasai 14 kerusi; MIC (dua); dan PAS (satu). Susulan kematian Osman jumlah kerusi dimiliki Bersatu kini sebanyak 11.

Sementara pembangkang dibarisi DAP dengan 14 kerusi; Amanah (sembilan) dan PKR (empat).

Kerajaan gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri sebagai Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, kini memiliki 28 kerusi DUN, manakala pembangkang pula 27 kerusi.

Susulan itu, kedudukan kerajaan negeri kini dalam keadaan genting dengan hanya berkelebihan satu kerusi, namun tidak memadai untuk diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Hasni hari ini.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri akan meneliti dan memantau sebarang reaksi, khususnya dalam kalangan parti yang bergabung membentuk kerajaan pada hari ini, serta kemungkinan perlunya PRN diadakan.

“Kedudukan getir itu tidaklah memadai untuk PRN diadakan memandangkan situasi politik di negeri itu berbeza berbanding di Sarawak atau Melaka.

“Kerajaan yang ada ini bertambah tidak stabil dan saya sedang memantau sekiranya berlaku keadaan sedemikian. Dengan kematian Datuk Osman Sapian, menjadikan Johor tinggal satu majoriti sahaja.

“Maka dengan itu, perlu saya memahami reaksi khususnya parti-parti yang bergabung untuk tubuh kerajaan. Perbincangan atau perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah untuk memaklumkan tentang kedudukan kerajaan Johor yang hari ini mempunyai majoritinya yang amat tipis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Pelepasan Sumbangan Bantuan Banjir Pemuda UMNO Johor dan Rakyat Johor di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri di sini hari ini, lapor Utusan.

Rabu lalu, Osman yang juga bekas Menteri Besar meninggal dunia kira-kira jam 11.45 malam di kediaman anaknya di Kuala Lumpur.

Hasni berkata pihaknya akan melihat reaksi terkini ADUN Johor menerusi Persidangan Khas DUN yang diadakan pada 6 Januari ini.

Katanya, Sidang Khas DUN itu adalah untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri Johor 1895 berkenaan meluluskan had usia pengundi dan calon kepada usia 18 tahun.

“Dengan keadaan negeri satu majoriti ini saya perlu melihat dan meninjau keadaan semasa. Sama ada kita nak buat Pilihan Raya Kecil (PRK), Speaker DUN sudah jelaskan tidak perlu kerana sudah melepasi tempoh tiga tahun.

“Jadi mengenai PRN, jika ada kemungkinan saya perlu melihat kepada keperluan tersebut berdasarkan reaksi dan keadaan terkini Johor. Kemungkinan mengadakan PRN ini saya kira tidak boleh disandarkan sepertimana berlaku di Melaka atau Sarawak.

“Ini kerana selama tempoh hampir dua tahun ini kita telah menguruskan perjalanan DUN dengan baik malah berjaya menggubal beberapa dasar,” katanya.

Tuesday, July 13, 2021

Gara-gara Zahid: Jika Kerajaan Pusat bertukar, Johor juga bertukar

agendadaily.com
13/7/2021


Pemimpin UMNO negeri enggan ikut arahan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Kedudukan kerajaan negeri Johor di bawah pimpinan UMNO ibarat ‘di hujung tanduk’ susulan tindakan Presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak memikir kesan sampingan setelah mengisytiharkan menarik balik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tindakan Zahid – tanpa restu akar umbi UMNO dengan harapan kerajaan PN di peringkat Pusat tumbang apabila PM meletak jawatan – ternyata meleset, malah ia kini memberi kesan kepada kerajaan Johor dipimpin Datuk Hasni Mohammad.

Zahid kini dilihat tersepit apabila kenyataannya pada awal pagi Khamis lalu bahawa UMNO menarik balik sokongan terhadap PN dan PM, tidak dipedulikan pemimpin peringkat negeri, sebaliknya hanya Majlis Tertinggi (MT) yang menyokong, itupun selepas dipaksa, sebagaimana dikatakan Ahli MT Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa mereka seolah-olah didesak.

Keengganan pemimpin negeri melayan pendirian Zahid itu boleh dilihat apabila kerajaan negeri Johor sehingga kini masih mengekalkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu membarisi kerusi Exco.

Mereka ialah Adun Puteri Wangsa, Mazlan Bujang; Adun Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi Adun Tenang, Mohd Solihan Badri, dan Adun Larkin (Tanjong Puteri), Datuk Mohd Izhar Ahmad.

Namun keadaan di Johor yang ketika ini mempunyai 29 kerusi gabungan kerajaan dan 27 lagi milik pembangkang – DAP dan PKR – boleh berubah sekiranya Zahid serta sekutunya terus menerus mendesak PM meletak jawatan.

Jika dua orang sahaja Adun Johor menarik sokongan kepada UMNO, maka Dewan Undangan Negeri (DUN) akan tergantung dan kerajaan UMNO tidak berfungsi. Apa lagi jika empat Adun Bersatu menarik balik sokongan itu sebagaimana dinyatakan oleh Adun Permas Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh, semalam.

Che Zakaria semalam memberi amaran bahawa empat Adun Bersatu Johor sedia menarik balik sokongan mereka terhadap UMNO yang mengetuai kerajaan negeri, sekiranya desakan menukar kerajaan pada peringkat Pusat terus dilakukan.

“Kami ingatkan UMNO supaya berhenti daripada bermain politik, sekiranya Kerajaan Pusat bertukar maka kerajaan negeri di Johor juga akan bertukar.

“Bukan empat sahaja tetapi enam atau lebih Adun Bersatu sedia menarik sokongan. Jadi jangan main-main atau cuba berbuat sesuka hati semata-mata kerana mahu berkuasa.

“Jangan guna alasan kononnya ia dibuat demi rakyat tetapi sebaliknya ia demi kepentingan diri dan kuasa mereka. Jika benar berjuang untuk rakyat maka berhentilah berpolitik, tumpu dan selesaikan isu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desas-desus terdapat gerakan segelintir pemimpin UMNO yang mahu menubuhkan kerajaan baharu peringkat Pusat walaupun jawatan Timbalan Perdana Menteri sudah diberikan kepada parti itu.

Che Zakaria turut mengingatkan UMNO agar tidak terus menerus mendesak Muhyiddin meletak jawatan.

Katanya, desakan dibuat beberapa pemimpin UMNO itu mempunyai agenda tersendiri dan tidak mewakili keseluruhan parti berkenaan.

“Jangan perkotak-katikkan Perdana Menteri, kami tidak rela Presiden kami terus dipermainkan. Tan Sri Muhyiddin seperti getah dan orang yang memaksanya melepas jawatan seperti penukul.

“Semakin kerap penukul memukul getah semakin liat dan kuat getah itu malah penukul itu pula berbalik dan terkena muka sendiri. Kita harap pemimpin politik tumpu kepada masalah rakyat,” katanya.

Tuesday, March 30, 2021

Kerajaan negeri boleh tumbang bila-bila masa, kata PPBM Johor

freemalaysiatoday.com
Fahmi Yusof
-March 30, 2021 7:42 PM

Timbalan Badan Pimpinan PPBM Johor Md Nasir Hashim (kiri) berkata Hasni sepatutnya lebih matang dan cermat dalam membuat sebarang kenyataan. (Gambar Bernama)

PAGOH: PPBM Johor mengingatkan Menteri Besar Hasni Mohammad kerajaan negeri itu boleh tumbang bila-bila masa jika dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PPBM kecewa dan menarik sokongan.

Timbalan Badan Pimpinan PPBM Johor Md Nasir Hashim berkata, PPBM Johor amat kecewa dengan kenyataan Hasni dalam ucapan di Perhimpunan Agung Umno yang jelas memperlekeh kedudukan dan sumbangan PPBM dalam permuafakatan kerajaan negeri.

Katanya, Hasni sepatutnya lebih matang dan cermat dalam membuat sebarang kenyataan melibatkan parti yang mendukung kerajaan negeri pada hari ini.

“Sebagai Menteri Besar beliau sepatutnya menumpukan usaha meningkatkan ekonomi dan membangunkan negeri serta bekerjasama baik dengan pasukan pelbagai parti dalam Perikatan Nasional (PN).

“Jika sikap angkuh dan sombong beliau berterusan, hubungan baik antara parti yang membentuk kerajaan negeri akan tercalar dan ini akan memberikan tanggapan negatif kepada rakyat terhadap kestabilan serta kewibawaan kerajaan negeri.

“Saya ingin mengingatkan Menteri Besar, sekiranya terdapat mana-mana dua ADUN daripada parti yang membentuk kerajaan negeri Johor kecewa dengan kenyataan dan pendirian beliau, kerajaan yang ada sekarang boleh tumbang bila-bila masa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sabtu lalu, FMT melaporkan Hasni ketika menyampaikan perbahasan di Perhimpunan Agung Umno mendakwa, melalui kajian yang dilakukan Umno Johor, sokongan terhadap PN di negeri itu adalah lemah berbanding Umno selain mendakwa kedudukan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri juga lemah walaupun di kawasan sendiri di Pagoh.

Friday, June 19, 2020

Bersama PN, Bersatu akan melukut di tepi gantang - Maszlee

Dr Maszlee Malik
Diterbitkan Hari ini 11:29 am

ULASAN | Johor ialah sebuah negeri yang mencipta keajaibannya yang tersendiri apabila setelah berpuluh tahun dikuasai Umno, Johor akhirnya jatuh ke tangan Pakatan Harapan (ph) semasa Pilihan Raya Umum ke-14.

Walaupun Bersatu bukanlah pemenang terbesar kerusi-kerusi Dun yang dipertandingkan, namun Johor telah diserahkan kepada Bersatu untuk dianggap sebagai negeri Bersatu.

Ini merupakan satu pengiktirafan yang tinggi kepada Bersatu oleh parti-parti komponen PH yang akhirnya dikhianati oleh Bersatu feksyen Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Akhirnya kerana pengkhianatan inilah, Bersatu diserah secara percuma kembali kepada Umno selepas Langkah Sheraton.

Jika disorot kembali, pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, Bersatu diberi amanah untuk bertanding di 17 kerusi di kawasan majoriti Melayu dan rata-ratanya untuk berlawan dengan Umno.

Bersatu berjaya meraih kemenangan dengan 8 kerusi untuk Pakatan Harapan mengambil alih Kerajaan Negeri dengan jumlah 36 kerusi, berbanding 20 untuk gabungan lawan (17 dari Umno, 1 dari MIC dan 1 dari PAS).

Sejurus kemudian, 3 lagi Adun Umno yang menang di Endau, Johor Lama dan Sedili melompat ke Bersatu, menjadikan kerusi Bersatu 11 sekali gus meningkatkan jumlah kerusi PH menjadi 39, manakala kerusi BN (dan PAS) tinggal 17.
Kerusi yang ditandingi oleh Bersatu di Johor melibatkan 524,413 pengundi. Daripada 524,413 pengundi ini, kita boleh bahagikan komposisi etniknya seperti berikut:

Komposisi etnik Melayu ialah 63 peratus.

Cina ialah 29 peratus.

India pula 8 peratus.

Daripada jumlah keluar mengundi iaitu seramai 434,473 (bersamaan dengan 82.8 peratus), sokongan undi popular Bersatu berada berada di tahap 49.4 peratus melalui undi yang diraih sebanyak 214,703.

Bersatu berjaya meraih undi sebesar itu kerana sumbangan undi bukan Melayu sebanyak 133,550. Ternyata di Johor, undi bukan Melayu lebih besar berbanding undi Melayu yang hanya sebanyak 81,150.

Kesimpulannya di Johor, tahap sokongan undi Melayu untuk Bersatu berada di tahap 29.6 peratus sahaja.

Rundingan pembahagian kerusi

Kini, sejurus Langkah Sheraton, Tan Sri Muhyiddin telah membawa keluar Bersatu dari PH dan bergabung dengan gabungan tidak berdaftar yang digelar sebagai Perikatan Nasional (PN). Hasilnya, Johor bukan lagi milik Bersatu seperti di dalam PH.
Bukan sekadar Menteri Besar Johor bukan dari Bersatu, malah Bersatu menjadi pasif dan tidak sedominan Umno.

Agak menarik, Umno yang dahulunya kalah dan ditolak oleh rakyat Johor, kini kembali memerintah Johor dengan pengorbanan besar dari Bersatu yang telah memberikan segalanya kepada Umno.

Sejarah akan merakamkan peristiwa yang paling ironik ini, dan anehnya ia boleh diterima oleh Bersatu feksyen Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan rela hati.

Walau bagaimanapun, cabaran yang terbesar bukanlah di waktu sekarang ini. Jika Bersatu mampu untuk melihat ke hadapan dan berfikir sedikit panjang, cabarannya ialah pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan Pilihan Raya Negeri yang akan belangsung selari dengan PRU15 tersebut.

Dalam menuju pilihan raya negeri atau Pilihan Raya Umum ke-15, rundingan pembahagian kerusi dengan rakan-rakan dalam ‘PN’ tentunya tidak mudah.

Bersatu yang sangat bermurah hati menggadaikan negeri milik mereka kepada Umno melalui pakatan tidak berdaftar, tentunya mengharapkan untuk diberi laluan oleh PAS dan Umno di Johor tanpa diganggu untuk bertanding di sekurang-kurangnya 11 kerusi milik Bersatu kini.
Tanggapan mereka bahawa pertandingan satu lawan satu bertembung dengan PH, Bersatu feksyen Tan Sri Muhyiddin akan memperoleh kemenangan mudah.

Namun, ia tidak semudah itu.

Situasinya, daripada 11 kerusi Bersatu kini, 3 kerusi daripadanya merupakan kerusi tradisi Umno. Bersatu juga tewas kepada Umno di ketiga-tiga kerusi ini pada PRU14.

Kalaupun menang atas tiket Bersatu pada PRU15 nanti, kerusi ini pada dasarnya adalah kerusi Umno.

Daripada 8 kerusi asal yang dimenangi Bersatu, paling tidak pun cuma 1 kerusi (iaitu Bukit Kepong) yang agak selamat untuk Bersatu, manakala 7 kerusi lain, tidak akan selamat.

Tiga daripada mereka sudah pasti kalah, terutamanya kerusi Puteri Wangsa kerana ia merupakan kawasan campur yang mana Bersatu memenanginya adalah kerana pengundi bukan Melayu yang menyokong PH, manakala 4 lagi akan kalah ataupun menang tipis berdasarkan demografi bukan Melayu yang besar, termasuk kerusi Gambir milik perdana menteri.

Senario calon Bersatu hilang deposit

Perlu diingat, sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini, Bersatu berjaya meraih undi di Dun-Dun yang mereka tandingi pada PRU14 kerana sumbangan undi bukan Melayu (133,550) yang lebih besar berbanding undi Melayu (81,150).

Perlu diulang, tahap sokongan undi Melayu untuk Bersatu di Johor berada pada tahap 29.6 peratus sahaja.

Sekiranya Bersatu memilih untuk bersaing sendiri sebagai parti melayu semata-mata dan tidak memanfaatkan asas pengundi bukan Melayu dan pengundi Melayu bukan Umno-PAS, segmen pasaran Bersatu cuma seramai 81,150.

Semua sedia maklum, hampir separuh daripada undi Melayu ini adalah bekas pengundi tradisi Umno yang mengundi Bersatu pada PRU14 atas faktor menolak korupsi dan rasuah Umno, begitu juga dengan faktor Tun Dr Mahathir.

Tun Dr Mahathir merupakan faktor penting sehingga ramai pengundi tradisional Umno di Johor beralih kepada Bersatu atau PH sewaktu itu.

Jika dipisahkan undi mereka ini, asas yang ada untuk Bersatu adalah di sekitar 9 peratus undi popular sahaja. Bilangan ini tidak cukup untuk memenangkan Bersatu jika berhadapan tiga penjuru, hatta jika berhadapan dengan PH nanti pun sekiranya Tun tidak lagi bersama dengan Bersatu.

Dengan 9 peratus undi popular, tak sukar untuk membayangkan senario semua calon Bersatu di Johor nanti. Semuanya akan hilang deposit pada PRU15 nanti.

Untuk menghadapi PRU15 nanti juga, Bersatu perlu membawa 11 kerusi ini sebagai bekal berunding berkenaan agihan kerusi sekiranya Bersatu akan bertanding di bawah payung PN yang masih tidak berdaftar.

Persoalannya, jika kerusi sedia ada pun Bersatu cuma mampu menang 1 kerusi, di samping 3 kerusi percuma dari Umno, bagaimana mungkin Bersatu boleh membuat tuntutan untuk berebut lebih banyak kerusi? Apatah lagi untuk memenangkan kerusi tersebut dan menyumbang kepada koalisi PN.

Jika berterusan bersama PN, Bersatu akan termaktub dalam buku sejarah sebagai sebuah parti satu musim pilihan raya di Johor.

Yang jelas, Bersatu Johor dengan bermurah hati dan reda bahawa mereka tidak akan selamanya kembali dipilih sebagai Menteri Besar Johor. Mereka juga sangat bermurah hati untuk mewakafkan kerusi tersebut selamanya kepada Umno.

Dan bersama PN juga bermaksud Bersatu rela melukut di tepi gantang dengan menobatkan Umno selamanya sebagai pemerintah Johor.

Persoalan saya, apakah ini yang dimahukan oleh rakyat ketika mereka mengundi Bersatu dalam PRU 14 yang lalu?

Apakah ini juga harapan hali-ahli Bersatu di Johor ketika mereka meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu pada awal penubuhannya dahulu?

DR MASZLEE MALIK ialah Anggota Parlimen Simpang Renggam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Thursday, April 30, 2020

‘Pilihan raya negeri Johor jika Umno - Bersatu terus berbalah’

BERITA

Zikri Kamarulzaman

Perbalahan antara Umno dan Bersatu yang tidak berkesudahan mungkin menyaksikan pilihan raya negeri Johor bakal diadakan tidak lama lagi, kata sumber Umno negeri itu.

Bercakap kepada Malaysiakini petang ini, beliau berkata, ini akan menjadi kenyataan selagi Bersatu tidak berhenti daripada mengasak Umno bagi mendapatkan lebih banyak jawatan lantikan politik.

"Bersatu menekan kami untuk mendapatkan jawatan tetapi Umno membalas dengan mengancam untuk mengadakan pilihan raya negeri," katanya dengan syarat tidak mahu namanya didedahkan.

Bersatu Johor mengadu bahawa lantikan politik, termasuk untuk menerajui GLC negeri, tidak dilakukan secara adil dan menuduh Umno mengketepikannya.

Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan negeri di Johor setelah Bersatu berpaling tadah daripada Pakatan Harapan untuk berganding bahu dengan BN dan PAS.
Sumber itu percaya bahawa Bersatu akan mengalah jika berdepan dengan ugutan supaya pilihan raya negeri diadakan.

"Umno Johor jauh lebih kuat, kita boleh memenangi pilihan raya ini sendiri.

"Kelebihan memihak kita. Habis, kalau snap polls dia (Bersatu) nak ke siapa? (Pakatan) Harapan? Memang tak la,” katanya.

Dewan Undangan Negeri Johor mempunyai 56 kerusi, daripada jumlah itu, kedua-dua Umno dan DAP masing-masing mempunyai 14 kerusi. Baki kerusi dipegang oleh Bersatu (11), Amanah (9), PKR (4), MIC (2), PAS (1) dan Bebas (1).

Secara keseluruhan PN mempunyai 29 kerusi dan PH pula 27.

Bekas menteri besar Johor Osman Sapian, bagaimanapun, berkata, pembubaran DUN Johor bukan dalam bidang kuasa kerajaan negeri.
“Ini kuasa Tuanku Sultan,” katanya kepada Malaysiakini.

Seksyen 7 (2) (b) Perlembagaan Johor menyatakan bahawa sultan mempunyai budi bicara untuk tidak menunaikan permintaan untuk membubarkan DUN.

Osman berkata sebagai sekutu dalam PN, Umno Johor juga mesti membincangkan cadangan pembubaran dengan kepemimpinan tertinggi gabungan itu, termasuk Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

“Kalau dia (Umno) tak runding, maka dia tak menghormati Bersatu sebagai ahli PN,” katanya.

Begitu juga, Osman berkata, sebarang lantikan politik mesti dibincangkan dengan kepimpinan PN.

“Dia kena bincang dengan kepimpinan tertinggi baru tahu boleh selesai atau tidak.

“Kita di peringkat ketua bahagian Bersatu belum pernah dipelawa untuk bincang perkara ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang lebih yakin bahawa penyelesaian “menang-menang” mampu dicapai.

“Saya sangat yakin dengan kepimpinan Hasni Mohammed sebagai MB, dia seorang yang kompeten.

“Saya (telah) jumpa MB, dia sedang teliti perkara ni dan Insya-Allah dalam masa terdekat akan diumumkan win-win situation,” katanya.

Bagi Mazlan, perselisihan pendapat dalam parti adalah perkara biasa yang diibaratkannya sebagai asam garam politik.

Anggota exco negeri itu juga menegaskan bahawa setkat ini kerajaan negeri berfungsi dengan lancar.

Pada 27 April, pemimpin Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri dalam satu tulisannya meminta parti lain yang membentuk kerajaan PN agar tidak memandang enteng keberadaan mereka dalam gabungan berkenaan.
Solihan, yang merupakan anggota exco kerajaan negeri dan Adun Tenang, juga berkata, penyertaan Bersatu dalam lantikan politik seperti di GLC mesti menjadi sebahagian daripada kerjasama PN.

Sejak itu, pemimpin Bersatu Johor yang lain, termasuk Osman, menyuarakan perkara yang sama.

Thursday, February 27, 2020

PH tumbang di Johor, tak cukup 2 Adun

BERITA

Gabungan baru akan menggantikan pentadbiran Pakatan Harapan di Johor, kata setiausaha sulit sultan Johor Jaba Mohd Noah.

Katanya, keputusan itu diambil selepas sultan Johor berpuas hati gabungan itu memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Katanya, 28 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) memilih gabungan baru manakala 26 lagi memilih Pakatan Harapan.

“Oleh yang demikian, gabungan parti yang baharu berhak untuk memberikan cadangan nama calon menteri besar, sebelum sususan barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang baru dilantik,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-