Sunday, December 25, 2022

Anwar tak mampu tangani krisis ekonomi, kata Dr Mahathir

agendaily.com
25/12/2022
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu mengatasi masalah ekonomi dan pemulihan pasca pandemik kerana masih menumpukan kepada usaha mengekalkan jumlah sokongan di Dewan Rakyat.

Bekas Perdana Menteri (PM) dua kali Tun Dr Mahathir Mohamad tidak yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim berupaya memimpin Malaysia berdepan krisis kemelesetan ekonomi dan cabaran pemulihan pasca pandemik.

Malah beliau juga bimbang dengan kemampuan Anwar mencipta strategi dan kaedah terbaik untuk keluar daripada krisis, apatah lagi fokus PM kesepuluh itu sekarang ini tertumpu kepada usaha mengekalkan jumlah sokongan di Dewan Rakyat.

Dr Mahathir berkata, ia terbukti berdasarkan prestasi Anwar ketika berada dalam kerajaan lebih 20 tahun lalu, sambil berkata bekas timbalannya dalam Kabinet ketika itu tidak dapat menangani masalah ketika menjadi pemangku PM pada 1997.

Beliau mengakui bimbang dengan kebolehan Anwar sebagai PM kerana berdasarkan pengalaman lampau, Presiden PKR itu gagal merangka penyelesaian ketika berdepan krisis kewangan 1997/1998, apatah lagi kini berdepan lebih banyak masalah rumit.

“Ketika itu, nampak dia tidak dapat cipta satu cara untuk mengatasi krisis. Sama ada di masa hadapan, dia boleh cipta cara menangani masalah negara, belum kita dapat tentukan.

“Tetapi berdasarkan pengalaman semasa dia jadi TPM (dan) menunjuk kebolehannya, saya khuatir. Sekarang ini negara menghadapi banyak masalah seperti kesan pandemik, ekonomi merosot teruk, keadaan politik tidak stabil.

“Rakyat masih tidak senang dengan keadaan negara. Banyak masalah yang perlu ditangani oleh kerajaan Anwar,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan BH baru-baru ini yang disiarkan hari ini (25 Disember 2022).

Dr Mahathir juga berkata Anwar yang juga selaku Menteri Kewangan ketika itu, gagal mencari jalan penyelesaian apabila krisis kewangan melanda dan lebih rela mengikut pendapat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, yang berisiko menyebabkan Malaysia muflis.

“Pada masa saya jadi Perdana Menteri kali pertama, saya pergi cuti selama dua bulan. Semasa saya cuti, Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM), diberi tanggungjawab sebagai pemangku Perdana Menteri, tetapi nampak dia tak dapat menangani masalah.

“Selepas itu pula, berlaku krisis kewangan yang mana ringgit Malaysia turun nilainya. Pada masa itu, Anwar juga menjadi Menteri Kewangan.

“Cara dia menangani masalah kejatuhan nilai ringgit itu dengan mengikuti pendapat IMF dan Bank Dunia. Saya berpendapat, kalau kita ikut IMF dan Bank Dunia, kita akan jadi muflis dan kita tak dapat laksanakan dasar ekonomi negara kita.

“Tetapi Anwar tak ada cadangan yang lain selain daripada mengikuti IMF dan Bank Dunia, sebab itu saya terpaksa ambil alih tugas Kementerian Kewangan, saya cari jalan untuk selamatkan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pandangannya sama ada Anwar memiliki keupayaan untuk memimpin Malaysia berdepan cabaran kemelesetan ekonomi yang diramal melanda dunia tahun depan.

Dr Mahathir berkata, jika dibenarkan Anwar berkuasa dan melaksanakan dasarnya, beliau yakin negara tidak akan dapat mengatasi masalah krisis kewangan ketika krisis berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-