Saturday, December 3, 2022

Anwar terpaksa terima hakikat Zahid ketua blok terbesar sokong PH - Mujahid

bharian.com.my
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
bhnews@bh.com.my
 - Disember 3, 2022 @ 5:14pm
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. - NSTP/L MANIMARAN

IPOH: Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mujahid Yusof melihat pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai sebahagian daripada anggota Kabinet tidak akan menjejaskan perjalanan kes mahkamah membabitkan Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.

Beliau berkata, secara asasnya, tiada apa-apa kaitan prasyarat kes mahkamah dan kedudukan Ahmad Zahid dalam Kabinet sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) kerana kes akan tetap berjalan.

"Apa sahaja keputusan mahkamah adalah bebas dan tidak akan terikat dengan perlantikan beliau dalam Kabinet. Segala pematuhan undang-undang terpakai kepada Ahmad Zahid sebagai implikasi apa yang akan berlaku ke atas dirinya di mahkamah nanti," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya lagi, hakikatnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa menerima kenyataan bahawa Ahmad Zahid masih mengemudi BN yang menyumbang 30 kerusi Parlimen bagi menyokong kerajaan perpaduan sebagai blok kedua terbesar selepas PH.

Mengenai portfolio Menteri Kewangan dipegang Anwar, Mujahid berkata, imej pro rakyat dan bersih daripada rasuah bakal ditentukan oleh Anwar sendiri walaupun secara dasar Perdana Menteri tidak sepatutnya memegang dua portfolio yang boleh dilihat mempunyai konflik kepentingan.

Katanya, keperluan segera imej integriti pentadbiran dapat dipacu oleh Anwar sendiri dalam kedudukannya sebagai Menteri Kewangan.

"Isu pemberian kontrak dan proses pemberian yang telus serta dasar penjimatan ditentukan oleh Anwar sendiri. Siapa lebih layak meletakkan tapak perubahan struktural kewangan negara selain Anwar sendiri yang melaungkannya sejak era reformasi lagi?

"Saya yakin di atas keperluan ini, Anwar mengambil alih tugas Menteri Kewangan walaupun sepatutnya Perdana Menteri tidak memegang dua portfolio yang boleh dilihat ada konflik kepentingan," katanya.

Katanya, imej elitis pro bangsawan yang dibawa Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sewaktu menjadi Menteri Kewangan dalam pentadbiran kerajaan terdahulu juga bercanggah dengan imej pro rakyat Kabinet diterajui Anwar.

Beliau berkata, ia berbeza dengan kali ini Tengku Zafrul diberi jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang dijangka tugasnya akan membawa pelaburan luar ke dalam negara.

"Mungkinkah imej elitis pro perniagaan oleh Tengku Zafrul akan membantu? Kita akan tunggu dan lihat," kata Mujahid.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-