Wednesday, December 7, 2022

Azalina mula langkah pengasingan kuasa peguam negara, pendakwa raya

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 7, 2022 5:16 PM
Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said memulakan langkah pertama untuk pelan pengubahsuaian mengenai pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya.

Menulis di media sosial, ahli parlimen Umno itu berkata bahagian hal ehwal undang-undang jabatan perdana menteri telah bertemu dengan pejabat peguam negara (AGC) semalam untuk taklimat mengenai "kemungkinan" pengasingan kuasa itu.

“Berikutan perbincangan ini, jabatan peguam negara akan menyediakan satu kertas pelan pengubahsuaian AGC.
“Ini langkah pertama ke arah pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya dan saya berharap kerjasama baik antara jabatan peguam negara dan pihak kami di pejabat menteri undang-undang & reformasi institusi akan membuahkan hasil secepat mungkin, insya-Allah,” katanya.

Laporan sebelum ini menyatakan, Azalina menegaskan untuk menyemak semula undang-undang yang sudah lapuk serta membuat pindaan yang diperlukan supaya ia relevan pada masa kini.

Antara yang akan diusahakan ialah pengasingan kuasa untuk memelihara kebebasan budi bicara pendakwa raya yang dikatakan penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi itu.

Pelbagai pihak telah lama menggesa agar kedua-dua peranan itu dipisahkan demi mengekalkan kebebasan pendakwa raya.
Pada September lalu, Bersih mendesak kerajaan supaya melaksanakan pengasingan kuasa itu berkuat kuasa serta-merta, dengan menyatakan bahawa AGC telah menubuhkan jawatankuasa kerja untuk meneliti perkara itu tahun lepas.

Badan pemantau pilihan raya itu memetik sentimen orang ramai berhubung keputusan mahkamah yang melepas tanpa membebaskan ahli Parlimen Umno Abdul Azeez Abdul Rahim susulan permohonan timbalan pendakwa raya, pada 23 Sept lalu.

Ia juga merujuk keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi daripada semua pertuduhan rasuah dalam kes sistem visa asing (VLN) pada hari yang sama. Pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan.

[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-