Wednesday, December 7, 2022

SPRM panggil Muhyiddin, Khairy, Zafrul bantu siasatan dana RM600b

bharian.com.my
Oleh Wartawan BH
bhnews@bharian.com.my
 - Disember 7, 2022 @ 4:45pm
SPRM akan memanggil Muhyiddin, Khairy dan Tengku Zafrul untuk memberi keterangan berhubung dakwaan salah guna dana RM600 bilion ketika pandemik COVID-19.

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijangka dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlaku salah guna dana RM600 bilion ketika pandemik COVID-19.

Laporan portal berita The Vibes yang memetik sumber berkata siasatan SPRM itu susulan laporan yang diterima daripada beberapa pihak yang mendakwa berlaku penyelewengan dalam pengurusan dana negara ketika pandemik itu melanda negara mulai 2020.

Ketika pentadbiran Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Khairy yang juga Menteri Sains dan Teknologi pada permulaan pentadbiran Muhyiddin, kemudiannya bertukar portfolio itu dengan Datuk Dr Adham Baba sebagai Menteri Kesihatan.

Menurut Vibes, laporan mengenai siasatan membabitkan tiga individu berkenaan mula didedahkan oleh blog Datuk Ahirudin Attan atau dikenali sebagai RockyBru.

Menurut blog itu, Tengku Zafrul dipanggil SPRM berikutan beliau adalah Menteri Kewangan sewaktu pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional bagi menangani pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak 2020.

"Ada pihak memberitahu saya bahawa bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yasin yang menjadikan Tengku Zafrul seorang Senator dan Menteri Kewangan pada 2020, juga akan dipanggil oleh badan antirasuah itu.

"Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin juga akan diminta membantu siasatan. Beliau memegang jawatan itu sejak Ogos 2021 dan di bawah Muhyiddin, beliau memegang portfolio Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi," kata Rocky Bru.

Sementara itu, BH menghubungi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki untuk mengesahkan perkara itu, namun tiada maklum balas setakat ini.

Media semalam melaporkan, Azam mengesahkan pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion yang dilakukan kerajaan terdahulu.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-