Sunday, December 11, 2022

Bersatu sasar bunuh Umno tetapi tersasar, kata Zahid

freemalaysiatoday.com
Faisal Asyraf
-December 11, 2022 11:43 PM
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi di majlis Ulang Tahun ke-10 Persatuan Usahawan Wanita Cina Malaysia (MCWEA) dan Anugerah Kecemerlangan MCWEA 2022.
(Gambar Facebook).

PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan Perikatan Nasional (PN) bahawa sebahagian daripada objektif gabungan itu untuk menggantikan Umno sudah dicapai.

Zahid yang juga timbalan perdana menteri itu berkata, matlamat penubuhan Bersatu untuk membunuh Umno tetapi masih gagal untuk berbuat demikian.

“Jelas dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) matlamat ini sebenarnya jauh dari sasaran mereka. Saya harap ini akan menimbulkan kesedaran dalam kalangan rakyat khususnya ahli akar umbi. Tujuan halus mereka itu mesti ditolak oleh ahli Umno keseluruhannya,” katanya kepada wartawan selepas majlis ulang tahun ke-10 Persatuan Usahawan Wanita Cina Malaysia (MCWEA) di sini.

Zahid mengulas mengenai kenyataan pengerusi PN Pahang, Saifuddin Abdullah baru-baru ini yang berkata, sebahagian objektif penubuhan Bersatu untuk menggantikan Umno dicapai selepas gabungan itu berjaya memenangi 74 kerusi dalam PRU15.

Dalam PRU15 PN memenangi 74 kerusi di mana 43 daripadanya dimenangi PAS dan 31 lagi oleh Bersatu.

Barisan Nasional pula memenangi 30 kerusi di mana 26 daripadanya dimenangi Umno.

Sementara itu, Zahid juga mengucapkan terima kasih kepada ‘seseorang’ yang pernah menghalang Umno daripada diharamkan.

“Kita tahu bahawa matlamat mereka lebih jauh daripada itu sebenarnya. Ketika seseorang menjadi menteri dalam negeri, di atas mejanya sudah ada surat untuk mengharamkan dan membatalkan Umno, namun kita mengucapkan terima kasih pada seseorang yang dapat batalkan hasrat itu,” katanya tanpa mengulas lanjut siapa individu yang dimaksudkannya itu.

Ketika ditanya mengenai cadangan ketua Umno Sungai Besar Jamal Md Yunos yang mencadangkan satu usul dibuat dalam Pemilihan Agung Umno supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan, Zahid berkata Umno menerima apa jua usul yang boleh mengukuhkan parti itu.

“Itu pandangan peribadi beliau dan kita terima apa sahaja usul yang dapat memperkukuhkan Umno.

“Apa yang lebih penting kita dapat rapatkan saf dalam kalangan kita setelah terpukul dengan kuatnya dalam PRU15 yang lalu. Kita akan mengkaji semua aspek kerana apa yang paling penting adalah untuk kita rapatkan saf kepimpinan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-