Tuesday, December 20, 2022

Boleh percaya Anwar tak campur tangan kes mahkamah? Soal Tun Faisal

agendaily.com
20/12/2022
Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mempersoalkan ikrar Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak campur tangan dalam kes mahkamah.

Seorang bekas pemimpin UMNO meluahkan rasa kurang percaya terhadap jaminan dan ikrar Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memerangi rasuah, tidak campur tangan dalam kes mahkamah dan memastikan kebebasan badan kehakiman.

Bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz turut mempersoalkan berhubung janji Anwar untuk menurunkan harga minyak selepas 24 jam mengangkat sumpah Perdana Menteri.

Menurutnya beliau mempertikaikan kebolehpercayaan ikrar Anwar untuk tidak campur tangan dalam kes mahkamah berdasarkan beberapa janji yang dibuat sebelum ini telah tidak ditepati.

Ini termasuk Anwar pernah menafikan audio perbualan dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sedang perkara itu sememangnya berlaku, katanya.

Tun Faisal juga berkata Anwar pernah berjanji tidak melantik bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, tetapi tidak menepatinya.

Katanya Perdana Menteri juga sebelum ini berjanji tidak melantik Zahid, sebaliknya Ahli Parlimen Bagan Datuk yang kini dibicarakan terhadap tuduhan rasuah diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Terdahulu, Anwar memberi jaminan bahawa kerajaannya tidak akan campur tangan dalam mana-mana kes mahkamah yang sedang berlangsung.

Beliau turut memberi jaminan bahawa beliau akan memastikan kebebasan badan kehakiman.

“Selaku perdana menteri, saya tidak akan campur urusan badan kehakiman, dan mereka (hakim) jalankan (tugas) dengan bebas dan telus.

“Mereka bertanggungjawab sepenuhnya kepada Perlembagaan (Persekutuan) dan rakyat, dan akhirnya kepada Allah SWT,” katanya pada sidang Dewan Rakyat pagi tadi (20 Disember 2022).

Sementara itu, Tun Faisal berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan menerima nasib buruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu jika mendengar cakapnya berhubung pelan jajaran baharu dirancang Zahid dan Anwar.

“Jika pemimpin dan ahli UMNO percaya apa yang saya sakap mengenai Zahid, sokongan terhadap Anwar dan jajaran baharu, UMNO dan BN tidak akan kalah begitu teruk macam sekarang.

“Saya telah lawan Zahid tapi ahli UMNO pilih untuk percaya Zahid, pembodek-pembodek beliau dan ejen Anwar dalam UMNO. Masih tak percaya lagi Zahid memang dah lama rancang untuk bersama Anwar dan Pakatan Harapan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-