Oleh Afiq Mohd. Shah
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sekarang adalah waktu terbaik untuk kembali bekerja dan menjelmakan perubahan yang dimahukan rakyat.
Ia selepas beliau membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri menerusi usul undi percaya yang diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan di atas kepercayaan yang diberikan.
Pada masa sama, Anwar turut menghargai sokongan yang disifatkannya jelas dan tegas.
“Kerajaan hari ini telah membawa satu Usul Percaya kepada Perdana Menteri dan berjaya membuktikan keabsahan dukungan majoriti di Dewan Rakyat.
“Terima kasih dan penghargaan atas kepercayaan dan sokongan yang jelas dan tegas.
“Kini masa untuk bekerja dan menjelmakan perubahan yang didambakan rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri ke-10, apabila Usul Undi Percaya terhadapnya diluluskan dengan lebih suara bersetuju pada hari pertama Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-15 hari ini.
Keabsahan Ahli Parlimen Tambun itu disahkan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul, yang mengumumkan keputusan tersebut selepas undian suara dibuat sebaik 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang selesai membahaskannya.
Terdahulu usul itu dikemukakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan disokong seorang lagi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.