Sunday, December 11, 2022

KOLUM | Yang sentiasa dilupakan politikus

malaysiakini.com
Abdullahjones
Diterbitkan: Dec 11, 2022 9:00 AM
KOLUM | Apabila diumumkan senarai menteri baru-baru ini, mereka yang bergiat dalam seni sedikit kecewa.

Hal itu kerana dengan terdedahnya senarai para ahli kabinet itu, tidaklah dapat dilihat dengan jelas siapakah menteri yang dilantik untuk mewakili mereka.

Mulanya mereka keliru apabila tiada lagi istilah kesenian dalam kementerian pelancongan. Namun hal itu kemudiannya dijelaskan bahawa hal kesenian masih lagi duduk di bawah kementerian yang sama.

Cuma namanya saja tak dimasukkan.

Lega sedikit reaksi kumpulan itu kemudian. Sepertinya mereka tahu yang seperti selalu, tidak akan ada sebarang riak pada air yang akan mencetuskan reaksi yang akan membawa kepada sedikit perubahan kepada pekerjaan mereka.
Gambar hiasan
Seniman sudah lama tahu bahawa datanglah menteri dari planet mana sekali pun, mereka selamanya akan dilayan sebagai badut sarkas yang hanya diperlukan apabila datang masa untuk menghiburkan orang ramai.

Kepada kerajaan, seni adalah hiburan. Seni adalah sekadar berjoget, bergelek dan seumpamanya untuk kesukaan.

Dan kepada sesetengah menteri pula, artis wanita adalah calon isteri.

Penyanyi dan pelakon dibawa ke sana sini hanya untuk menarik undi. Maka berbondong-bondonglah mereka datang kepada partai politik dengan harapan untuk dipandang dan diambil serius.

Tak penting, bukan diperlukan

Memekiklah mereka menyatakan sokongan agar dilihat sebagai wira perjuangan.

Alangkah bodohnya mereka.

Seniman sentiasa lupa bahawa ahli politik adalah kumpulan manusia spesies khas. Adalah mustahil untuk sesiapa pun juga masuk ke gerombolan orang politik itu tanpa menjadi penjilat.

Setelah menjilat sekali pun, tidak ada sebarang jaminan bahawa mereka akan dibela nasibnya.

Golongan pelukis pula hanya perlukan pujian bahawa karya mereka adalah bagus. Lebih afdal jika yang memuji itu adalah orang luar. Orang putih misalnya.

Dengan itu mereka merasakan bahawa mereka adalah penting. Lalu tidak ada lagi sebarang kepentingan untuk meluluskan satu perutusan yang mewajibkan semua pejabat kerajaan memiliki sekurang-kurangnya sebuah karya pelukis tempatan, misalnya.

Para seniman sepatutnya berhenti bermimpi. Mereka harus faham bahawa seni bukanlah sesuatu yang penting dan diperlukan di dalam negara ini.

Pelantikan menteri pula nampaknya bukan dibuat mengikut kepandaian bidang orang tertentu, tetapi mengikut kesetiaan kepada partai.

Kerana itu mereka tanpa segan silu melantik siapa pun untuk diletakkan di mana-mana kementerian pun.

Setelah semua itu, kami ingin mencadangkan kepada semua pelukis yang ada di negara ini agar menghadiahkan sekeping karya mereka kepada menteri yang bertanggungjawab atas kebajikan mereka.

Kumpul semuanya, sewa sebuah Lori besar dan hantar lukisan-lukisan tersebut kepada beliau sekali gus.

Mungkin dengan cara begitu menteri terbabit akan mula sedar bahawa di negara kita ini ada kumpulan orang yang menghasilkan karya lukisan sebagai sumber pendapatan.

ABDULLAHJONES ialah penulis, pelukis dan pengembara.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-