K. Parkaran
-December 11, 2022 7:46 AM
Penguasaan undi Melayu oleh Perikatan Nasional (PN) di Kelantan, Terengganu dan Kedah perlu ditangani Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata penganalisis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Sejumlah 27 daripada 44 calon Pakatan Harapan (PH) hilang deposit di kawasan majoriti Melayu di Kelantan, Terengganu dan Kedah, pada PRU15.
Justeru, situasi berkenaan dilihat sebagai tamparan terhadap gabungan pelbagai kaum itu, kata penganalisis.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata trend berkenaan membimbangkan ketika gabungan itu yang kini menerajui kerajaan perpaduan ditolak di negeri terbabit, yang mana kesemua calon PH bertanding tumpas kecuali di Sungai Petani, Kedah.
Katanya, Pengerusi PH Anwar Ibrahim yang kini perdana menteri, sedaya mungkin mengekang sentimen kaum dan agama yang tidak pernah berlaku dalam politik negara, terutama mengambil kira kerajaan ditunjangi parti dari pelbagai kaum buat pertama kalinya.
“Perlu diingatkan semua calon itu adalah Melayu dari PKR dan Amanah, dua parti yang membawa stigma kerana bersekutu dengan DAP. Bukan mudah untuk mengalihkan gelombang yang berlaku terutama di tiga negeri yang mana mereka mengundi berdasarkan faktor agama.
“Kita hanya menipu diri sendiri jika berpandangan pengundi ini menyokong Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan. Tidak, mereka mengundi PAS dan bukan Bersatu, menjurus kepada gelombang spiritual,” katanya kepada FMT.
Azmi berkata, petanda jelas daripada keputusan membabitkan DAP dan PAS yang mana menjadi satu-satunya parti yang calonnya tidak hilang deposit, sekali gus menunjukkan jurang dalam antara kaum dan agama walaupun negara pada satu ketika dulu pernah mekar dalam keharmonian antara kaum.
Katanya, rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan 22 calon dari Barisan Nasional (BN) juga hilang deposit, manakala 13 bagi PN. Calon pilihan raya hilang deposit sekiranya tidak berjaya meraih satu perlapan undi daripada jumlah undi.
“Bagaimanapun, gambaran paling besar (calon hilang deposit) merupakan calon bukan Muslim dari MCA, Gerakan dan MIC.”
Azmi berkata, penting bagi kerajaan perpaduan membuktikan kepada rakyat bahawa konsep baharu kerajaan hari ini mampu membawa penyelesaian menghapuskan sebarang bentuk elemen pelampau, selain menambah kebergantungan kepada Anwar menangani perkara sensitif untuk beberapa tahun mendatang.
“Sekiranya kerajaan gagal menunjukkan bahawa agenda dibawa merupakan yang terbaik memacu negara ke depan, corak PRU15 mungkin kembali berulang pada PRU16, jika tidak lebih teruk. Saya harap Anwar berkemampuan membalikkan situasi yang berlaku,” katanya.
Katanya, satu-satunya perkara yang mencetuskan harapan dalam keputusan PRU15 membabitkan prestasi calon Melayu dari DAP, Syahredzan Johan, di kawasan majoriti Melayu di Bangi, yang mana beliau meraih 141,568 undi, jumlah undi kedua terbesar diperoleh.
Undi paling tertinggi diraih calon DAP, Gobind Singh Deo, yang mendapat 142,875 undi selepas menang di Damansara.
Keseluruhannya, sejumlah 367 calon hilang deposit RM10,000 setiap seorang pada PRU15 membabitkan RM3.67 juta, satu rekod kepada SPR.
Menurut data SPR, 192 daripada 221 kerusi ditandingi menyaksikan sekurang-kurangnya seorang calon hilang deposit. Jumlah yang hilang deposit dalam satu kawasan ditandingi berlaku di Batu membabitkan lapan calon, diikuti Ampang (7) dan Kota Raja serta Bangi (masing-masing 6).
Antara pemimpin terkenal yang mengalami nasib sama adalah bekas perdana menteri yang juga pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), anaknya, Mukhriz (Pejuang-Jerlun), bakal presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Zuraida Kamaruddin (Ampang), Presiden Putra Ibrahim Ali (Putra-Rantau Panjang) dan bekas presiden PPP, M Kayveas (Ipoh Barat).
Nama lain termasuk bekas naib presiden Amanah, Husam Musa (Pasir Mas), bekas presiden MCA, Ong Tee Keat (Warisan-Pandan), Naib Presiden MIC A Kohilan Pillay (Batu), bekas Ahli Parlimen DAP dan PKR, Wee Choo Keong (bebas-Wangsa Maju) dan bekas naib presiden PKR, Tian Chua (bebas-Batu).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.