Oleh Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@bh.com.my
- Disember 10, 2022
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: UMNO yang disenarai sebagai menteri dan timbalan menteri dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan, dilihat cenderung menyokong Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti akan datang.Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata percaturan itu ketara menerusi pemilihan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dan barisan menteri serta timbalan menteri yang berada dalam kelompok penyokong kuatnya.
Jika Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dapat meyakinkan akar umbi keputusan bersama Pakatan Harapan (PH) berjaya mengukuhkan UMNO, Mohd Azizuddin berkata, Ahmad Zahid berkemungkinan dapat mempertahankan jawatan dalam pemilihan parti selewat-lewatnya Mei tahun depan.
"Apabila Ahmad Zahid ada tempat dalam kerajaan, ia memberi kelebihan dan kuasa kepadanya, apatah lagi jawatan disandang amat tinggi, iaitu Timbalan Perdana Menteri.
"Dalam UMNO, penyokong dan pemimpin akar umbi lebih cenderung memilih individu yang mempunyai autoriti dan jawatan tinggi dalam kerajaan untuk menerajui parti.
"Pelantikan pemimpin yang dilihat cenderung kepada Ahmad Zahid di kementerian kanan turut mengukuhkan kedudukannya seperti Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Hasan sebagai Menteri Pertahanan dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan yang kembali sebagai Timbalan Menteri Kewangan.
"Situasi ini memberi cabaran besar kepada kumpulan yang disebut-sebut akan mencabar Ahmad Zahid seperti Khairy Jamaluddin yang tidak mempunyai jawatan dalam parti, di Parlimen atau kerajaan," katanya kepada BH, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas prospek dalam pemilihan UMNO akan datang, susulan pelantikan menteri dan timbalan menteri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika ini, seramai 11 wakil UMNO dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan.
UMNO turut diwakili Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Yang turut tersenarai, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said; bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Siti Aminah Aching (Beaufort), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong) dan Datuk Mohamad Alamin (Kimanis).
Sebelum ini, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau, secara terbuka menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk bertanding sebagai Presiden UMNO sekiranya kekal sebagai Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Dalam satu temu bual, bekas Menteri Kesihatan itu juga memaklumkan akan berbincang bersama Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengenai siapa yang akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.