Saturday, December 10, 2022

Ronald kekal bersama Bersatu, tak ikut langkah pengkhianat Hajiji

agendaily.com
10/12/2022
Calon Perikatan Nasional Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee melambai kepada ratusan penyokongnya yang hadir pada hari penamaan calon pada 5 November 2022.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee kekal bersama Bersatu dan tidak akan meninggalkan parti seperti dilakukan pemimpin lain yang mengumumkan keluar parti hari ini.

Naib Presiden Bersatu itu berkata tidak akan mengikut langkah pengkhianat Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri berkenaan, Datuk Seri Hajiji Noor yang mengumumkan pemimpin Bersatu Sabah keluar parti berkuat kuasa hari ini.

“Bersatu di Sabah masih kekal di sini dan kita akan membina semula parti ini. Saya masih Ketua Bahagian Bersatu Beluran. Saya masih kekal dalam Bersatu di Sabah,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Menurut bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu, pemimpin Bersatu Sabah telah mengadakan perjumpaan pada Jumaat lalu namun beliau tidak menerima sebarang jemputan atau dimaklumkan tentangnya.

Mengulas lanjut, katanya, tindakan yang diambil oleh Hajiji itu tidak menyebabkan Bersatu di Sabah berkubur.

Beliau menyatakan keyakinan untuk membangunkan semula parti itu di Sabah pada bila-bila masa.

“Saya tahu sesetengah ketua bahagian mempunyai pandangan berbeza mengenai keputusan (keluar parti) itu. Tetapi mereka berhak memilih parti yang ingin disertai demi kelangsungan politik mereka,” katanya.

Jelas beliau, pemimpin-pemimpin Bersatu Sabah berhak membuat apa-apa keputusan yang dirasakan terbaik untuk mereka.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Ronald satu-satunya pemimpin Bersatu yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) manakala semua pemimpin yang lain bertanding di bawah logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Semasa GRS didaftarkan secara rasmi pada Mac lalu, Bersatu antara salah sebuah parti yang membentuk gabungan yang kini disertai lima parti.

GRS dianggotai oleh Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-