Saturday, December 17, 2022

MP UMNO, BN masih boleh tentang undi percaya, usul kerajaan

agendaily.com
17/12/2022
Ketua Pemuda PAS dan Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari.

Ahli Parlimen (MP) yang sekarang ini berpihak kepada kerajaan PH-UMNO pimpinan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim masih boleh menentang usul, termasuk undi percaya di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari berkata paling teruk risiko sekiranya MP terbabit tidak menyokong sebarang usul dibawa kerajaan ialah kehilangan kerusi Parlimen, namun jika Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan maka Perikatan Nasional sedia membantu.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional itu berkata MP yang disingkirkan kerana tidak menyokong usul kerajaan masih boleh bertanding jika PRK diadakan.

“Kepada MP-MP UMNO/BN yang masih punya hati dan prinsip untuk tidak berteduh di bawah kerajaan yang diketuai PH, mereka masih boleh menentang usul kerajaan di dalam Parlimen.

“Paling teruk risiko yang dihadapi ialah hilang kerusi. Namun, mereka boleh bertanding semula jika diistiharkan pilihan raya kecil,” katanya dalam satu kenyataan ketika mengulas syarat yang dikenakan kerajaan PH-UMNO kepada semua MP yang menyokong kerajaan.

Terdahulu PH yang turut dianggotai DAP, mengukuhkan cengkaman ke atas semua MP yang menyokong pembentukan Kerajaan Persekutuan, dengan mewajibkan mereka memberi sokongan dalam setiap usul yang dibawa di Dewan Rakyat.

Kegagalan MP terbabit memberi sokongan atau undi kepada Anwar atau usul dibawa kerajaan di Parlimen sehingga memberi kesan kepada keabsahan Kerajaan Pusat, dikira sebagai pelanggaran yang dianggap sebagai perletakan jawatan atau pemberhentian daripada menjadi ahli Parlimen.

Perkara itu terkandung dalam perjanjian yang ditandatangani pemimpin-pemimpin parti gabungan yang membentuk Kerajaan Pusat hari ini (16 Disember 2022).

Kegagalan, keengganan atau kecuaian daripada berbuat demikian hendaklah diambil kira sebagai pelanggaran tanggungjawab Ahli Parlimen secara individu kepada parti itu, yang dianggap sebagai perletakkan jawatan dan/atau pemberhentian daripada menjadi Ahli Parlimen dan bahawa kerusi beliau dikosongkan dalam kerangka maksud Artikel 49A(1) Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS berkata Perikatan Nasional sedia memberi peluang kepada MP terbabit sekiranya PRK diadakan.

“Dengan mood rakyat seperti di Padang Serai, tidak mustahil mereka boleh menang semula. Tetapi, jika mahu teruskan untuk menyokong kerajaan campuran Pakatan Harapan/Barisan Nasional, terpulanglah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-