Friday, December 16, 2022

NGO Muafakat Nasional mampu ubah imej PN, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
'Ainin Wan Salleh
-December 16, 2022 9:15 AM
Annuar Musa mengumumkan barisan pemimpin Muafakat Nasional semalam.

PETALING JAYA: Pengerusi NGO Muafakat Nasional (MN) Annuar Musa mungkin memainkan peranan penting dalam mengubah imej konservatif Perikatan Nasional (PN) kepada sederhana, menurut seorang penganalisis.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya (UM), berkata MN akhirnya akan menjadi mesra PN kerana NGO itu diketuai oleh orang-orang seperti Annuar dan bekas ketua Umno Selangor Noh Omar, yang dikatakan mempunyai hubungan baik dengan pemimpin Bersatu.

“Ia berkemungkinan akan membantu mengubah imej PN daripada yang bergantung kepada retorik perkauman dan agama, kepada yang lebih sederhana tetapi masih dominan Melayu, bersesuaian dengan ciri-ciri Bersatu,” katanya kepada FMT.

Katanya, beliau menganggap MN lebih kepada gerakan sosial yang dibentuk untuk mengukuhkan sokongan kepada PN dalam jangka panjang.

Semalam, Annuar mendedahkan barisan pemimpin MN. Mereka terdiri daripada bekas Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin, pemimpin Bersatu Redzuan Yusof, Zuhdi Marsuki (PAS), Khairuddin Abu Hassan (Pejuang) serta selebriti seperti penyanyi Jamal Abdillah dan pelakon Eizlan Yusoff.

Terdapat tiga pemimpin bukan Melayu dalam NGO itu ialah Chua Hock Kuan, Subash Chandrabose dan bekas Ahli Parlimen Segamat Edmund Santhara Kumar.

Awang Azman berkata, penglibatan orang bukan Melayu dalam NGO itu akan menunjukkan PN mampu memperjuangkan suara masyarakat etnik lain.

Beliau juga berkata, MN berkemungkinan akan menjejaskan kedudukan Umno jika parti berasaskan Melayu itu tidak mengemukakan naratif balas untuk menunjukkan bahawa ia adalah sederhana dan progresif. Ia memerlukan bantuan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk melakukan ini.

Seorang lagi penganalisis, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata masih terlalu awal untuk mengukur sama ada MN akan berkesan untuk menjatuhkan Umno atau menguntungkan PN.

Katanya kepada FMT, beliau tidak meragui jika NGO itu bermotifkan politik.

“Saya rasa ini modus operandi biasa,” katanya. “Pertama, wujudkan NGO dan selepas mendapat tarikan dari segi keahlian, mohon untuk menjadi parti politik atau menyertai parti lain.”

Beliau berkata bahawa Parti Bangsa Malaysia (PBM) mempunyai permulaan yang sama.

Beliau berkata, penubuhan MN juga boleh menjadi strategi Annuar untuk meraih sokongan ribuan ahli supaya beliau mempunyai pengaruh untuk menyertai PN.

Pada Isnin, Annuar, bekas Ahli Parlimen Ketereh, mendakwa NGO itu menerima lebih 10,000 permohonan dalam talian beberapa jam selepas ia dibuka untuk pendaftaran.

Ketika dihubungi, Khairuddin menegaskan bahawa MN adalah kumpulan non-partisan yang tidak mempunyai kecenderungan politik.

“Ya, ia terdiri daripada pelbagai jenis personaliti, termasuk ahli parti politik, tetapi kita semua bersatu dengan matlamat bersama untuk menyatukan orang Melayu dan, pada masa yang sama, menegakkan hak orang bukan Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-